oleh: zizi hashim
Sebenarnya, apa yang paling menyakitkan bukanlah kehilangan, tapi pandangan orang terhadap luka yang disembunyikan. Filem Tabayyun membuka jendela kepada kehidupan seorang ibu tunggal yang cuba bertahan dalam dunia yang gemar menghakimi sebelum memahami. Ia bukan cerita cinta semata-mata, tapi lebih kepada perjalanan menjadi manusia, yang terluka, yang ingin dimaafkan, dan yang perlahan-lahan belajar untuk memaafkan diri sendiri.
Filem ini kalau menurut saya tidak sekadar menyapa mata, tetapi menghunjam terus ke rongga batin dengan perlahan, lembut, namun meninggalkan gema yang lama berdiam. Bukan kerana plot yang penuh kejutan, tapi kerana keberaniannya menelusuri belukar emosi yang biasa disembunyikan kaum hawa, terutama mereka yang memilih untuk terus kuat meskipun dunia mengadili tanpa belas kasihan.
Dibawah tangan sutradara Key Mangunsong dan ditulis oleh Titien Wattimena, Tabayyun yang diadaptasi daripada novel laris karya Ilyas Bachtiar, mengetengahkan Titi Kamal sebagai Zalina, seorang wanita yang tampak tenang dari luar, tetapi menyimpan badai dalam dadanya. Setiap hari Zalina hidup dalam getar sunyi, membesarkan anak lelakinya, Arka (Farrell Rafisqy), di tengah pandangan serong masyarakat dan ruang kerja yang penuh bisik-bisik tajam. Dia bukan wanita lemah, tapi kekuatannya datang dari luka yang tidak pernah sepenuhnya sembuh. Di ruang kerja, Zalina kelihatan berdiri kukuh. Tetapi di rumah, saat hanya dia dan Arka berdua, terlihat rapuh itu ada, dan sangat nyata.
Hidupnya yang penuh teratur mulai berubah dengan kehadiran Arlo (Ibrahim Risyad), lelaki muda dari kelas sosial berbeza dan juga anak kepada majikannya, menyapa hidup Zalina seperti musim semi yang datang terlalu lambat. Manis, tapi penuh ragu. Arlo jatuh hati pada Zalina, bukan kerana simpati, tetapi kerana kekaguman yang tulus. Namun, cinta yang datang lewat bukan semestinya lebih mudah. Cinta dalam dunia realiti tidak pernah sesederhana puisi. Arlo sudah dijodohkan dengan Arum (Naysilla Mirdad), dan lebih malang lagi, ibunya, Samira (Jenny Rachman), tidak menerima Zalina dan menentang keras hubungan itu. Sementara masa silam yang Zalina sembunyikan makin menggugat ketenangan yang telah susah payah dibina.
Filem ini tidak memaksakan kebetulan-kebetulan manis, sebaliknya memaparkan bagaimana cinta yang jujur pun boleh kalah dengan stigma dan warisan luka generasi. Maka bermulalah konflik yang menelanjangkan prasangka, perbezaan darjat, dan ketakutan terhadap masa lalu yang belum selesai. Yang paling menggetarkan jiwa adalah watak Arka. Dalam lakonan polos Farrell Rafisqy, dia menjadi nadi emosi yang tulus. Dalam usia kecilnya, dia sudah belajar apa itu kehilangan, bukan kerana seseorang pergi, tetapi kerana seseorang tak pernah hadir.
Ketika Arka bertanya, “Boleh tak Arlo jadi papa?”, terdengar sederhana tapi begitu jujur hingga saya terasa ingin masuk ke layar skrin dan memeluknya. Sangat menusuk, menyorot kerinduan seorang anak terhadap sosok lelaki yang tak pernah hadir, dan impian kecil tentang keluarga yang utuh. Saya termenung lama selepas babak itu. Kerana saya tahu, kadangkala cinta tidak lahir dari darah, tapi dari keberanian untuk hadir. Soalan itu bukan sekadar permintaan, tapi pengakuan bahawa setiap anak berhak untuk merasa disayangi, meski oleh orang yang bukan dari darahnya.
Arlo sendiri bukan tipikal hero yang datang menyelamatkan. Dia seorang lelaki muda dengan trauma sendiri. Tumbuh membesar tanpa bapa, dibesarkan oleh ibu yang menggenggam masa depannya seerat takdir. Meski hidup dalam limpahan kemewahan, dalam dirinya, ada pergolakan yang tak kurang pedih berbanding Zalina. Dia bukan pahlawan, dia hanya manusia biasa yang ingin bebas dari bayang-bayang ibunya yang mengatur dari A sampai Z. Dia mencari makna, mencari hak untuk memilih jalan hidupnya sendiri. Dan mungkin, justeru itu yang membuat mereka saling memahami dalam diam.
Dari segi teknikal, Tabayyun hadir dalam ton sinematografi sederhana tetapi terasa hangat, seperti lampu kuning yang menemani malam-malam sepi. Visualnya tidak terlalu mencuba untuk megah, tapi cukup mendukung suasana hati yang berubah-ubah. Tona warnanya lembut dan senada dengan emosi yang dibawa wata-wataknya. Meski ada babak antara Arlo dan ibunya terasa repetitif dan sedikit melelahkan, ia masih boleh dimaafkan kerana diselamatkan oleh lakonan mantap para pelakon. Titi Kamal cemerlang menjadi nadi cerita, menampilkan sisi seorang wanita kuat tetapi pada masa yang sama tidak malu memperlihatkan sisi lelah dan hancur yang dipendam terlalu lama.
Skor muziknya, terutama lagu "Tanpa Balasmu" oleh Fabio Asher, berfungsi sebagai nyanyian batin, memperdalam adegan tanpa mencuri perhatian. "Lewat Semesta" dari Anggis Devaki dan "Menaruh Hati Tanpa Hati-Hati" oleh Nabila Ellisa menyelubungi emosi dengan lirik dan melodi yang sangat resonansi. Setiap lagu bak refleksi dari hati para karektor yang sunyi, berharap dan kecewa yang diam-diam berteriak. Namun terdapat saat-saat di mana naratif terasa berat sebelah, terlalu memberi ruang kepada emosi hingga sedikit mengabaikan perkembangan konflik sampingan. Durasi hampir 2 jam juga membuat beberapa babak terasa meleret-leret. Tapi saya percaya, filem yang jujur tentang luka dan pengampunan seperti ini tidak perlukan formula rumit untuk menyentuh hati. Ia hanya perlu keikhlasan, dan Tabayyun memilikinya.
Lebih dari itu, Tabayyun mengingatkan kita pada sesuatu yang sering kita lupa di zaman serba cepat ini: untuk mendengar dulu sebelum menilai, memahami sebelum menuding. Tabayyun istilah yang membawa makna mencari kejelasan sebelum menghukum, bukan hanya menjadi tajuk, tetapi juga menjadi jiwa dalam filem ini. Dan sewaktu Arlo melafaz, “Seburuk apa pun masa lalu seseorang, dia tetap berharga di mata Allah,” saya seperti disapa satu kebenaran yang terlalu lama terbenam: bahawa setiap manusia punya hak untuk dimaafkan, termasuk diri kita sendiri.
Filem ini bukan untuk ditonton dengan kepala kosong. Ia untuk jiwa-jiwa yang pernah disalah erti, atau yang sedang belajar untuk tidak cepat menilai. Jika anda ibu tunggal, atau anak yang pernah kehilangan figura seorang ayah, atau sekadar manusia yang pernah berharap untuk difahami, Tabayyun akan menjadi cermin yang lembut, tetapi jujur. Tayangan di pawagam Malaysia bermula 10 Julai 2025, sediakan tisu, dan hati yang terbuka kerana filem ini tidak hanya mahu anda menangis, ia mahu anda turut mengerti.
Kalau menurut saya, filem ini bagaikan pelukan bagi sesiapa yang pernah merasa dilukai hanya kerana mereka tidak hidup seperti yang masyarakat harapkan. Semoga ia menjadi ruang renung buat kita yang terlalu mudah percaya pada separuh cerita lalu mencipta luka penuh. Dalam filem ini, yang paling kuat bukanlah cinta tetapi keberanian untuk memaafkan.