oleh: zizi hashim
Apa jadinya kalau kamu tinggal serumah dengan sahabat masa kecil, yang diam-diam kamu cintai, tapi dia menyembunyikan sebuah rahsia besar darimu? Filem 'Tak Ingin Usai di Sini' (TIUDS) sepanjang durasi 108 minit mengangkat tajuk cinta dan pengorbanan dengan cara yang familliar tetapi masih tetap mampu membuat hati tenggelam. Dibintangi Bryan Domani dan Vanesha Prescilla, TIUDS sedang ditayangkan di pawagam Malaysia sejak 3 Julai 2025.
Hasil air tangan kreatif sutradara Robert Ronny, TIUDS adalah adaptasi dari filem Korea More Than Blue (2009) yang membawa kisah cinta klasik ke layar lebar dengan pendekatan yang manis tapi melankolik. Ketika waktu tidak memihak dan cinta memilih diam, masih adakah ruang untuk bahagia dalam kehilangan? Itulah persoalan yang membungkus seluruh jiwa dalam 'Tak Ingin Usai di Sini'.
K dan Cream, dua jiwa sebatang kara yang berteduh di bawah bumbung persahabatan sejak usia remaja. Mereka saling menjaga, berkongsi hidup, dan diam-diam menyulam rasa, namun tidak pernah menyatakan cinta yang perlahan-lahan tumbuh menjadi akar. Bryan membawa watak K dengan emosi yang terkawal tapi menyengat, seorang lelaki yang menyimpan rahsia besar tentang takdir hidupnya. Vanesha pula memancarkan kehangatan dan kekosongan Cream dengan jujur dan santai bersahaja.
Mereka hidup serumah, bukan dalam makna asmara, tetapi sebagai dua insan yang saling melindungi. Mereka berdua yatim piatu, saling bertaut bukan hanya kerana kesepian, tetapi kerana keperluan untuk merasa masih dimiliki, meski tampak hanya sebatas sahabat tanpa kata 'cinta' yang terucap. Namun, ternyata ada yang disembunyikan. K telah lama tahu bahawa hidupnya terbatas kerana penyakit yang tak kunjung sembuh. Dia mengidap barah dan tahu waktunya hampir tamat.
Tidak mengakui cintanya terhadap Cream, K memilih mundur perlahan dan mencuba mencarikan sosok lain yang boleh menjaga Cream setelah dirinya pergi. Sebuah bentuk cinta yang tragis, kerana memilih pergi justeru demi melihat orang yang dicintai bahagia. Bahkan, dia mencarikan pengganti, si Armand, seorang doktor gigi dengan luka batin tersendiri akibat kisah silamnya bersama Vero. Di sinilah ketegangan emosi berlaku, mencipta dilema antara redha dan keinginan.
Berjalan dengan alur yang relatif tenang, bahkan cenderung lambat di beberapa bahagian. Namun, justeru dari situ saya merasa cerita ini ingin membawa penonton meresapi emosi para karektornya, bukan sekadar menonton lalu lewat begitu saja. Vanesha tampil lembut sebagai Cream, dengan gesture semulajadi. Sementara Bryan Domani berhasil memainkan watak K dengan penuh intensiti emosi. Ya, K sebenarnya menanggung beban yang tidak pernah mampu dia lepaskan. Dia berpura-pura kuat di hadapan Cream meski hatinya hancur. Kemistri mereka benar-benar juara dan meyakinkan, meski pada awalnya sedikit kekok tetapi comel.
Sejujurnya, sebahagian besar cerita terasa cukup mudah diramal. Dari awal saya memang sudah boleh meneka bagaimana konflik ini akan berkembang dan bagaimana ending-nya (apatah lagi ini remake dari filem asal). Namun, bukan bererti filem ini kehilangan daya tarik. Justeru pada klimaks filem, saya dibuat cukup terhentak dengan kejutan. Emosinya dibangun perlahan tetapi berterusan, yang membuat saya ikut terjebak dalam perasaan ‘kalau’. Ya, kalaulah mereka jujur sejak awal, kalaulah waktu masih boleh dirundingkan.
‘Tak Ingin Usai di Sini' memang bukan filem dengan konsep paling baru. Namun, kesederhanaannya itulah yang jadi daya pikat. It never gets old! Ini adalah filem yang bicara tentang mencintai dalam diam, tentang pengorbanan yang tak pernah diminta, dan tentang keberanian untuk melepaskan, meski saat yang paling kamu inginkan adalah untuk tetap berada di sampingnya. Dari sini, konflik batin K dan Cream buat saya dan penonton ikut berjuraian airmata, apalagi dengan plot twist yang speechless!
Rossa, yang juga muncul sebagai cameo, khas untuk menyanyikan lagu “Aku Baik Saja” sangat serasi dengan vokal dan penyampaiannya. Setiap kali lagu ini diputar, pasti airmata mengalir laju tak mampu ditahan lagi. Penampilan pelakon pembantu seperti Rayn Wijaya, Davina Karamoy, dan Rukman Rosadi juga solid, menambah kedalaman cerita tanpa mengalihkan fokus dari K dan Cream. Cuma sedikit sayang watak Vero atau Armand kurang dieksplorasi, maka peranan mereka cuma sekilas menumpang lewat meski punya potensi untuk lebih memperkaya cerita.
Kalau menurut saya, 'Tak Ingin Usai Di Sini' mengajar kita bahawa cinta tidak selalu soal memiliki, tapi juga soal keikhlasan untuk melihat orang yang kita sayang bahagia, meski itu ertinya kita harus mengalah. Mesej ini relevan, apalagi buat generasi muda yang terkadang lupa bahawa cinta sejati itu perlu pengorbanan. Selain itu, TIUDS turut memikat kerana pendekatannya yang intim. Ia berbisik, bukan berteriak, membuatkan penonton benar-benar masuk ke dunia K dan Cream. Ia menguji kesabaran, tetapi juga menghargai keheningan. Dalam keheningan itulah cinta mereka hidup, bernafas perlahan, dan akhirnya reda dengan tenang.
Saya suka karektor Cream, perempuan ceria yang sebenarnya rapuh, manja dan sangat bergantung pada K. Momen-momen kecil seperti mereka merayakan ulang tahun bersama atau latihan ketika janji pernikahan buat hati jadi hangat, tetapi juga penasaran kerana tahu endingnya bakal tidak mulus. Plot twist di menjelang akhir filem adalah kejutan yang buat filem ini berbeza dari drama romansa biasa.
Tanpa spoiler, twist ini memberi perspektif baru tentang keputusan K dan Cream, dan sekaligus mungkin buat penonton berfikir berulangkali tentang definisi cinta sejati. Buat kamu yang pernah mencintai seseorang diam-diam, yang pernah berharap waktu akan berhenti saat bersamanya, filem ini akan terasa seperti kaca. Indah, tetapi mudah pecah. Filem ini sangat layak ditonton bersama pasangan atau sahabat yang suka drama romansa dengan emosi yang kuat. Bawa tisu, dan biarkan perasaanmu larut. Kerana seperti K dan Cream, cinta sejati tak harus memiliki tetapi tetap kekal dalam ingatan.
"Kerana kejadian dalam hidup itu cepat berlalu, tetapi memori itu selamanya..."