oleh: zizi hashim
Bunyi deruman enjin kembali memecah sunyi, menghantam terus ke dada. Deruman enjin itu adalah degupan jantung buat mereka yang hidup di tepi litar, yang membesar dengan adrenalin 'Impak Maksima' yang pertama, 18 tahun lalu. Sekian lama menyepi, filem yang pernah mencetuskan kegilaan motorsport tempatan kembali menyalakan bara. Impak Maksima 2 hadir bukan dengan langkah yang ringan, tetapi bagai kereta drift yang meletus dari selekoh terakhir. Penuh kuasa, sepenuh jiwa. Kini, kisah itu bersambung. Bukan dengan langkah malu-malu, tapi dengan gegaran seribu kereta dan jiwa yang berkecamuk, mencipta semula satu fenomena, impak yang maksima untuk kali yang kedua.
Disuntik euforia semangat baru oleh sutradara Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri, karya ini membentangkan semula legasi 2007 dengan pelakon asal seperti Zul Huzaimy, Dato’ Sri Eizlan Yusof dan Dynas Mokhtar, namun kini bersilang dengan tenaga baharu seperti Arfie Shah, Nelissa Nizam dan Fad Bocey. Gabungan ini bukan sekadar memenuhi ruang, tapi mencipta kontra yang berkesan antara kematangan dan idealisme muda. Berlatar belakangkan lokasi seperti Lembah Klang, Johor Bahru dan Melaka Bandaraya Bersejarah, filem ini tidak sekadar menyaji kereta mewah atau aksi stunt, tetapi potret realiti budaya drift tempatan yang semakin diterima.
Deruan tayar dan asap yang berkepul itu adalah naratif tentang semangat, konflik, dan percubaan anak muda mencari ruang dalam dunia yang penuh tekanan. Rudy, watak pemuda protagonis dengan semangat berapi namun keliru arah, dilakonkan oleh Arfie Shah dengan keseimbangan yang hampir sempurna, antara raw dan matang, antara amarah dan harapan, menyimpan gelora dalaman dengan sejarah gelap dan masa depan samar. Tanpa rupa stereotaip hero, Arfie membawa watak ini dengan aura mengancam; meski kelihatan sedikit 'keras', saya suka kerana memancarkan karisma yang sukar disangkal.
Dari bengkel APDCREW hingga ke litar drift, perjalanan Rudy sarat dengan konflik emosi, tekanan kelas sosial, dan pertarungan harga diri. Dia bagaikan cerminan anak muda Malaysia hari ini: terperangkap antara kehendak sendiri dan tekanan dunia. Jalan cerita yang kelihatan klise pada babak awal sebenarnya menyimpan kejutan. Plot twist yang muncul menjelang akhir filem menampar saya seperti hempasan pintu kereta. Tiba-tiba, pedih, dan tak dijangka. Tapi itulah seni penceritaan: saat kau fikir kau sudah tahu arah, pengarah mengubah litar. Satu tepukan kuat buat sutradara yang berani cuba 'benda gila' seperti Dr. Ahmad Idham.
Dan kemudian hadir Gia, lakonan Nelissa Nizam pula tidak terpinggir dalam arus maskulin filem ini. Dia bukan hiasan, tetapi tulang belakang emosi. Hubungannya dengan Rudy membawa sentuhan lembut yang memperkaya naratif yang dominan dengan testosteron. Dan bila dia melangkah lebih jauh daripada sekadar kekasih layar, penonton akan mula sedar, dia mungkin menjadi pencatur utama dalam sekuel akan datang. Buat saya semakin tak sabar menunggu dan tiga kali ganda teruja. Jangan lah sampai kena tunggu lagi 18 tahun pula.
Setiap babak Rudy bersama Gia bagaikan jeda tenang dalam keghairahan dunia permotoran yang bising. Kemistri mereka terasa autentik, dan hubungan mereka memberikan dimensi emosi yang mengikat saya sebagai penonton. Hendak ke tandas pun saya tahan, takut terlepas babak-babak menarik. Sementara itu, kehadiran Fad Bocey sebagai Naim menjadi penyegar naratif. Lawaknya bukan disuap, tapi terbit secara semula jadi, menyuntik kelucuan yang tidak dibuat-buat. Wajahnya sahaja sudah cukup untuk menggoncang seluruh pawagam dengan gelak ketawa. Namun, di sebalik lawak santainya, wujud rasa sayang dan kesetiaan tulen terhadap Rudy, persahabatan mereka mengimbau dinamika ikonik Malik-Fadzil dalam filem KL Gangster.
Visualnya? Dinamik dan menggigit. Sentuhan sinematografi Raja Mukhriz bukan calang-calang. Dari trek ke jalanan, dari asap tayar ke genangan air mata, semuanya disusun rapi. Begitu juga aksi stunt oleh Eddy Sharizan, menjadikan babak pertarungan lebih daripada sekadar tumbuk-menumbuk. Ia jadi ritual, jadi percaturan harga diri. Aksi? Oh ya, adrenalin memang tak putus-putus. Dari drift selekoh tajam hingga tumbukan berasaskan dendam, semua terasa "real". Tapi perlu diakui, koreografi pergaduhan selalunya berat sebelah. Rio dan Kachip terlalu dominan, meninggalkan Rudy dan Naim tanpa peluang menyerlah. Pun begitu, kemunculan Khenobu sebagai Kachip dengan tenaga hiperaktifnya benar-benar mencuri tumpuan. Dia mungkin bukan watak utama, tapi setiap adegan bersamanya terasa seperti ledakan kecil.
Sebagai seseorang yang tidak terlalu mengikuti genre perlumbaan atau drift, keghairahan terhadap Impak Maksima 2 datang dengan kejutan. Saya tidak menyangka akan ralit menonton filem ini. Walaupun plotnya agak generik, cara ia dibawakan terasa segar, seperti dijemput pulang ke era 2000-an dengan nafas baharu. Penampilan semula beberapa karektor asal menyuntik nostalgia yang hangat, dan sayangnya francais ini dibiarkan tidur terlalu lama. Namun filem ini membuktikan bahawa Impak Maksima masih punyai potensi besar sebagai siri filem permotoran Malaysia.
Plot twist? Tanpa sebarang bayangan awal, ia menyusup dan meletup, menjadikan momen itu sangat kuat dan bermakna. Sebuah kejutan yang bukan sahaja menjadi kemuncak penceritaan, tapi juga menyerlahkan keupayaan penulis skrip untuk mencipta impak dramatik yang tidak dibuat-buat. Impak Maksima 2 bukan hanya tentang kereta, kelajuan atau perlumbaan. Ia tentang pilihan, tentang harga kematangan, tentang dendam lama yang perlu dileraikan agar masa depan boleh disambut. Watak-watak lama hadir untuk menyerahkan obor kepada generasi baru. Dan ia dilakukan dengan gaya yang cukup menggetarkan.
Meski ada yang pro-kontra, saya puji keberanian filem ini untuk melawan kebiasaan, untuk menghormati yang lama sambil memuliakan yang baru. Itu cukup untuk menjadikannya sebuah karya yang layak dikenang. Bak eksperimen sosial dalam bentuk aksi, Impak Maksima 2 membuka medan baru untuk filem tempatan yang ingin menggali budaya drift dan komuniti modifikasi kenderaan sebagai nadi penceritaan. Disokong oleh penaja-penaja besar seperti Goodyear, Petronas Syntium, Ultra Racing, HJC Helmet dan ramai lagi, Impak Maksima 2 bukan saja menggegarkan litar, ia turut menggoncang industri filem aksi tempatan dengan skala dan semangat yang jarang terlihat.
Jangan tunggu tayangan televisyen atau strim digital,filem ini WAJIB TONTON di layar lebar. Untuk siapa saja yang ingin rasai nostalgia, semangat, dan degup jantung dunia drift Malaysia, inilah peluangnya! Dan jika ini permulaannya, saya tak sabar menanti Impak Maksima 3 dengan harapan: semoga legasi ini terus menyala di jalan-jalan harapan. Tayangan di pawagam seluruh Malaysia bermula 17 Julai 2025 ini, jom ramai-ramai sapot lokal. Jom penuhkan pawagam, anda pasti takkan kecewa!
"Luka boleh sembuh, Bro... Parut seumur hidup! Kita budak kereta, kita settle cara kereta..."