'Keeper' Bawa Penonton Ke Lorong Paranoia, Manipulasi Dan Ketakutan Yang Sukar Dibezakan Dari Realiti

oleh: zizi hashim

Bermula terlalu perlahan dengan kesunyian yang berdegung. Sejenis hening yang merbahaya, yang selalu muncul sebelum sesuatu pecah. Osgood Perkins, dengan reputasinya membina seram yang merayap seperti kabus lewat malam, kembali lagi dengan nadi yang lebih intim, lebih tersudut, dan lebih menghimpit perasaan manusia dari dalam. Keeper bukan seram yang menjerit. Ia seperti bayang di tepi pintu. Diam, tetapi cukup mengganggu sehingga anda mula mempersoalkan bagaimana sebuah hubungan boleh menjadi ruang paling merbahaya di dunia.

Filem ini mengikuti Liz (Tatiana Maslany) dan kekasihnya Malcolm (Rossif Sutherland), pasangan yang mengambil langkah ke sebuah kabin terpencil untuk “memulakan semula”, namun apa yang menunggu sebenarnya adalah retakan halus yang kemudian membesar seperti kulat gelap, memakan batas normaliti satu persatu. Satu peristiwa misteri mengubah segalanya, dan sejak detik itu, batas realiti di antara mereka mulai kabur.

Atmosfera yang dibina Perkins memang khas: sunyi, basah, tercekik. Namun kali ini sunyinya tidak selalu membawa faedah. Ada saat-saat ia terasa meleret, seakan filem sengaja membiarkan penonton tersesat tanpa kompas. Perlahan sangat sehingga emosi mula goyah, bukan kerana takut, tetapi kerana jemu menanti sesuatu yang tidak kunjung tiba. Namun ironi peliknya, setiap frame tetap cantik, setiap bayang terasa seperti muncul dengan niat tertentu.

Persembahan cemerlang Maslany menjadi lilin yang menyala di tengah gelap itu. Dia bukan sekadar membawa karektor Liz; dia merasukinya. Getar halus di wajahnya, resah yang disorokkan di antara nafas, dan bisikan ketakutan yang tidak pernah diluahkan dengan jelas, semuanya membuatkan wataknya memikul lebih banyak tragedi daripada yang tertulis. Tanpanya, filem ini mungkin longlai sepenuhnya.

Perjalanan Keeper sebenarnya mengingatkan saya kepada karya Perkins terdahulu: selalu ada ruang psiko-emosional yang cuba dibedah siasat, selalu ada misteri yang berlapis-lapis, tetapi tidak semua lapisan itu matang. Ada momen di mana tidak masuk akal terasa seperti gurauan yang tidak sampai. Ada ketika, dialognya seperti serpihan puzzle yang sengaja dibuang agar penonton tidak menemui gambaran lengkap.

Namun di situlah ajaibnya Perkins: dia bukan pembina seram untuk semua orang. Dia adalah pemahat sunyi, dan Keeper ialah arca yang tidak siap sepenuhnya. Ada beberapa pengkritik luar menyifatkannya sebagai membosankan, malah ada yang menyamakannya dengan filem pelajar yang hilang arah. Ada yang merungut tentang babak akhir yang cuba menjelaskan terlalu banyak, tetapi tidak cukup meyakinkan. Saya faham semua kritik itu, kerana memang terdapat detik yang terasa seperti penyudah yang ditampal secara terburu-buru.

Tetapi saya juga memilih untuk melihat sisi lain: filem ini sebenarnya tidak meminta penonton memahami logiknya. Keeper lebih jujur jika ditonton sebagai mimpi buruk. Rawak, kabur, sesekali tidak masuk akal, tetapi tetap menyentuh sesuatu yang kita takut hadapi: orang yang kita cintai mungkin menyimpan kengerian yang bukan kita mampu ubati. Adegan-adegannya, meski perlahan, masih membawa gema yang mengganggu. Rumah terpencil itu bukan 'rumah hantu', tetapi rumah emosi yang hampir runtuh.

Setiap langkah Liz terasa seperti langkah seseorang yang tidak lagi mengenali dirinya. Dan Maslany menangkap semuanya dengan ketelitian seorang artis yang tahu betapa nipisnya garis antara kewarasan dan kegilaan. Sejujurnya, Keeper tidak sempurna. Ia terbelah antara ingin menjadi karya surreal dan ingin menjadi thriller psikologi klasik. Kadang ia berjaya, kadang ia terjatuh. Namun anehnya, filem ini tetap tinggal lama dalam kepala, mungkin kerana cara ia menakutkan kita bukan dengan hantu, tetapi dengan potensi bahawa cinta boleh berubah menjadi kegelapan.

Jika anda peminat seram slow burning yang menekan dada seperti kabus malam, Keeper mungkin menyentuh sisi gelap yang anda cari. Jika anda mahu aksi, twist agresif dan ketakutan tradisional filem ini mungkin terasa seperti perjalanan dalam kamar sunyi yang terlalu panjang. Namun satu hal yang pasti, Tatiana Maslany memberikan persembahan yang patut ditonton di layar besar, kerana ketepatan emosinya ialah seram sebenar dalam filem ini.

Meski filem ini senyap dan perlahan, saya akui ada beberapa babak yang membuat penonton terkejut kuat secara mendadak. Tayangan di pawagam Malaysia bermula pada 14 November 2025, Keeper ialah kengerian yang bernafas perlahan dalam durasi 1 jam 39 minit. Menyelinap, merayap, dan tidak tergesa-gesa. Tetapi jika anda benarkan filem ini memeluk anda dengan sunyinya, ia akan meninggalkan bekas yang sukar hilang.