oleh: zizi hashim
Kisah ini bermula dari luka. Luka yang menembusi dada seorang anak angkat bernama Borhan. Dibesarkan oleh Ahmad, seorang lelaki yang melihat cahaya dalam gelapnya dunia anak-anak terbuang, Borhan membesar bersama Shamsir, abang angkat yang akhirnya menjadi duri paling dalam di hatinya. Tragedi malam itu, sebutir peluru yang meragut ingatan dan melemparkan Borhan ke dalam dunia sepi yang bernama Hospital Tumpoi, merupakan titik mula kepada sebuah perjalanan bukan untuk menyelamatkan dunia, tapi untuk menyelamatkan dirinya sendiri.
Borhan bukan Bruce Wayne. Dia tidak punya istana, tidak punya teknologi canggih, malah tidak punya kewarasan yang stabil. Tapi dia punya satu perkara yang menjadikan wataknya begitu menyentuh: rasa kehilangan yang begitu mendalam, dan keinginan yang membara untuk memahami siapa dirinya, meski di tengah ribuan bayangan yang berbisik di kepalanya. Kegilaan Borhan adalah lapisan-lapisan luka yang belum sempat sembuh. Dan dari celah-celah itulah, lahir sosok Keluang Man.
Ada filem yang bila kita tonton, lepas itu kita terus lupa dan tak ingat dah. Tapi ada juga filem yang buat kita terasa macam ada satu tangan datang sentuh bahu kita, bila kita pusing, kita nampak semula wajah kita sendiri masa kecil, sedang duduk bersila depan TV, tertawa tanpa perlu sebab. 'Keluang Man' buat saya rasa begitu. Saya masih ingat. Setiap kali malam Isnin, lepas berita, saya akan tunggu animasi itu. Kasar dan bersahaja lukisannya, namun penuh semangat.
'Keluang Man' bukan adiwira yang hebat gaya atau rupa. Tapi dia kelakar, dan dalam lawak bodoh dia itu ada sesuatu yang ganjil seolah-olah dia sedang berjuang dalam dunia yang menolaknya, tetapi dia tetap degil mahu bertarung. Seorang pesakit mental, tetapi percaya pada keadilan. Saya tak faham semua itu masa kecil. Tapi sekarang, filem ini buat saya sedar: mungkin saya juga sedang bertarung dalam senyap.
Dalam durasi 2 jam 17 minit, filem ini bukan sekadar “aksi”, dan jauh sekali dari niat untuk jadi klon kepada mana-mana adiwira Barat. Borhan, yang dilakonkan dengan emosi berserabut oleh Nas-T, adalah wajah sebenar ramai antara kita yang jatuh, terbiar, dan akhirnya menyembunyikan diri dalam topeng. Dia ditembak oleh abangnya sendiri, Shamsir. Hilang ingatan, dan hidup di Hospital Tumpoi, tempat yang penuh sunyi dan bisu, tempat orang-orang “gila” dikurung, dan kadang-kadang dilupakan.
Namun, dalam gelap itu, Borhan mencipta makna. Dia jadi Keluang Man! Bukan kerana dia mahu jadi wira, tetapi kerana dia mahu tahu siapa dirinya. Dan itu yang buat saya terkesan. Filem ini, jauh lebih daripada apa yang ditampilkan di poster dan trailer. Ia adalah tentang identiti. Tentang bagaimana kita semua cuba memahami siapa kita sebenarnya, dalam dunia yang tidak pernah betul-betul mahu faham.
Sebagai penonton dan juga penulis yang pernah kecewa dengan filem adaptasi, saya masuk ke pawagam dengan ekspektasi sederhana. Tapi seawal dari babak pertama lagi, saya tahu Anwari tidak main-main. Dia bukan sahaja menghormati versi asal, tapi juga membentuk satu semesta baru yang lebih berani, lebih rawak, dan kadang-kadang terlalu jujur untuk tidak menyakitkan.
Dia tidak takut untuk mengacau format. Satu ketika kita dalam babak serius tentang trauma, tiba-tiba ia bertukar menjadi mimpi animasi, atau babak imaginasi yang aneh. Ada masa saya ketawa, ada masa saya diam kerana tidak tahu harus sedih atau kagum. Dan itu, kalau menurut saya, adalah kekuatan filem ini. Ia bergerak seperti kepala Borhan. Tidak menentu. Huru-Hara. Tetapi sangat manusiawi.
Nas-T amat mengejutkan. Dari tubuhnya yang tidak stereotaip ‘hero’, ke ekspresi matanya yang kelihatan sentiasa mencari sesuatu yang hilang, dia menjadikan Borhan, satu karektor yang dekat dan menyakitkan. Dia tidak cuba menjadi wira, tapi dia menjadikan ‘usaha untuk jadi wira’ itu sesuatu yang menyentuh.
Remy Ishak pula sebagai Shamsir, bukan antagonis biasa biasa. Tak ada ketawa jahat atau monolog kuasa. Dia hanya seorang lelaki yang menyimpan dendam lama, dan menyuarakannya dengan dingin yang hampir tragik. Dalam satu babak mereka bertemu, saya rasakan beban bertahun-tahun terlepas hanya dalam sepasang mata yang saling benci tapi rindu, dalam masa yang sama.
Apa yang buat filem ini jadi peribadi untuk saya bukan cuma ceritanya. Tapi segala yang menyelubungi filem ini. Muziknya, latarnya, warna-warna kelam dengan cahaya neon yang seperti luka cuba disembunyikan dengan kosmetik nostalgia. Lagu-lagu pilihan seperti "Tragedi Oktober", "Sha Na Na", dan kemunculan semula lagu tema asal 'Keluang Man' dalam versi yang lebih segar dan garang, buat hati saya seolah-olah berjalan semula ke dalam bilik tidur tahun 1998. Kipas siling berbunyi, katil bersepah, dan saya yang masih remaja dan belum kenal apa itu erti kehilangan.
Hospital Tumpoi bukan sekadar lokasi. Ia metafora kepada seluruh dunia kita, tempat kita pendam semua yang tak terluah. Tempat trauma, kesakitan, dan memori yang kita takut untuk sentuh semula. Borhan keluar dari tempat itu bukan kerana dia sembuh. Tapi kerana dia dah bersedia untuk hadap dunia, walaupun dalam kepala dia semuanya masih belum stabil. Dan kadang-kadang saya rasa, bukankah itu juga yang kita semua buat? Kita semua pernah jadi 'Keluang Man'. Berlari keluar dari “rumah sakit” kita sendiri, cuba jadi seseorang, meski hati dan kepala masih berkecamuk.
'Keluang Man' ialah filem yang kita tak boleh nilai hanya dari teknik atau struktur cerita. Ia tidak sempurna. Ya, ada babak CGI yang kaku, ada humor yang mungkin tak kena dengan semua generasi, ada aksi yang kadang terasa tergesa-gesa. Namun di sebalik semua itu, ia adalah filem yang jujur, dan lebih penting, ia datang dari tempat yang kita semua kenal. Kenangan, luka, dan harapan. Anwari dan seluruh pasukan produksi berjaya bukan kerana mereka buat filem yang besar, tetapi kerana mereka buat filem yang benar. Tentang seorang lelaki yang mungkin gila, tetapi masih mahu menjadi cahaya untuk orang lain.
Dan apabila saya melangkah keluar dari pawagam malam itu, saya duduk termenung agak lama dalam kereta. Lagu tema masih terngiang, tiba-tiba rasa rindu pada masa yang telah pergi. Mungkin kerana saya sedar, meski kita semua dah besar, ada bahagian dalam diri kita yang masih tunggu untuk diselamatkan. Dan mungkin, dalam dunia yang kejam ini, kita perlukan 'Keluang Man', bukan sebagai wira, tapi sebagai cermin. Bahawa walau seteruk mana pun kepala kita berperang, kita tetap boleh jadi seseorang, walaupun tanpa sempurna.
29 Mei nanti, kalau ada masa, pergilah tengok filem ni. Bukan sebab ia filem terbaik, tapi sebab kita berhutang kepada versi kecil diri kita sendiri… yang pernah percaya pada 'Keluang Man'. Dan jangan lupa, kita enjoiii!!!