Filem Seram-Heist 'Gundik' Bikin Penonton Ketawa, Takut Dan Gementar Dalam Satu Nafas

oleh: zizi hashim

Sejak babak pertama, saya sudah terasa ditarik masuk ke dalam dunia yang aneh tapi cukup menggoda. Lebih seram, jantung saya berdegup laju, beberapa kali ketawa berdekah, dan ada juga detik di mana saya hanya mampu diam… tercengang. Filem arahan sutradara Anggy Umbara ini, yang akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 24 Julai 2025, menggabungkan genre seram, heist dan komedi secara cukup berani. Kisah rompakan yang perlahan-lahan berubah menjadi mimpi buruk dan penuh unsur mistik. Dan keajaiban ini dibalut dalam suasana era kolonial yang begitu meyakinkan.

Rumah besar milik Nyai, anggun tapi penuh rahsia. Jalan-jalan berbatu, perabot antik, cahaya remang dan bunyi bisu yang terasa bergema di sebalik dinding. Semua itu membina ilusi masa silam yang hidup. Sinematografinya benar-benar cemerlang. Sudut-sudut gelap rumah Nyai seolah menyimpan sesuatu yang tidak ingin dibangkitkan. Lampu yang berkelip perlahan, ya Tuhan, meremang bulu tengkuk!

Kisahnya bermula dengan Otto (Agus Kuncoro), bekas tentera yang baru lepas penjara dan tekad untuk membuat 'job' terakhir iaitu merompak rumah seorang gundik yang dikatakan menyimpan kekayaan luar biasa. Dia mengumpulkan semula komplot lama yang terdiri dari Saud (Dian Sidik), Reza (Arief Didu), dan Baim (Maxime Bouttier), seorang pemandu teksi yang terseret masuk kerana desakan hidup. Mereka sangka ia cuma misi mudah: masuk, ambil, dan blah. Namun rumah Nyai bukan rumah biasa-biasa. Dan Nyai (dilakonkan oleh Luna Maya)… bukan perempuan sembarang. Dialah penjaga rahsia, mungkin juga makhluk yang menghuni antara dua alam.

Dari sinilah filem mula menggelincir masuk ke ranah yang lebih gelap, lebih ghaib, dan jauh dari jangkaan awal. Luna Maya menyerlah dengan karisma dingin dan penuh teka-teki. Dia tak perlu banyak cakap, tatapannya sudah cukup buat saya rasa tak selesa. Karektornya elegan dan menyeramkan dalam masa yang sama. Sementara itu, Maxime sebagai Baim memberi nafas segar dengan lakonannya yang bersahaja, semula jadi, dan penuh energi muda. Interaksi antara geng perompak ini pula membuatkan banyak babak-babak intens menjadi lebih santai dan lucu. Dialog seperti “Ni hantu ke ATM?” memang cukup untuk buat satu pawagam ketawa meletup!

Apa yang membuat Gundik menonjol dari filem seram lain adalah campuran genre yang rencam tetapi harmoni. Anggy tidak sekadar bergantung pada teknik terkejutkan penonton, meski sejujurnya, beberapa babak memang buat saya tersentak! Lebih daripada itu, dia menyelami sisi gelap manusia: ketamakan, pengkhianatan, dan nafsu. Watak-watak dalam filem ini bukan sahaja terperangkap dalam rumah, tetapi juga terperangkap dalam motif dan konflik mereka sendiri. Otto dengan degilnya, dan Baim yang semakin goyah dengan rancangan gila itu, membawa dimensi moral yang menarik.

Unsur budaya tempatan seperti mitos Nyi Roro Kidul pula menjadikan naratif lebih dekat dan berakar. Namun begitu, ada bahagian yang terasa sedikit lemah. Bahagian pertengahan terasa agak perlahan, terlalu banyak imbas balik yang sedikit menggugat momentum ketegangan. Beberapa babak kejutan juga seperti dibuat-buat, tidak sepadu dengan naratif utama. Tapi saya boleh terima, sebab dalam durasi 112 minit itu saya masih rasa terhibur.

Penghujung filem juga meninggalkan rasa ingin tahu. Saya tak mahu dedahkan spoiler, tapi saya yakin, masih banyak ruang untuk kesinambungan. Satu sekuel? Mungkin. Dan saya pasti akan kembali ke pawagam untuk itu. Secara visual, Gundik adalah karya yang mengasyikkan. Rumah Nyai seakan watak itu sendiri, penuh lapisan dan penuh sejarah. Tata seni dan elemen budaya Jawa memberi aura mistik yang sukar dijelaskan tapi terasa.

Tapi sayangnya, elemen emosi dalam naratif tidak sekuat visualnya. Yang paling saya kesali,  watak Nyai yang sejak awal begitu misteri dan magnetik… tidak dikembangkan secukupnya. Asal-usulnya hanya disentuh ringan. Kenapa dia jadi gundik? Apa hubungannya dengan kutukan itu? Semua dibiarkan tergantung. Bila akhirnya Nyai ‘selesai’, saya tak sempat merasa kehilangan. Emosi itu sepatutnya meledak, tapi sayangnya cuma bergetar sekejap sebelum reda begitu saja.

Namun filem ini tetap punya kejutan yang menyengat, ada satu plot twist yang buat saya sedikit blur. Tapi disebabkan pembangunan sebelum itu agak tidak konsisten, kesannya tidak sekuat yang sepatutnya. Ia seperti mendengar letupan dari kejauhan, ya, saya sedar ada dentuman, tapi saya tak sempat rasa gegarannya. Ada beberapa adegan mungkin agak berat, tapi secara keseluruhan masih dalam lingkungan terkawal.

Kalau tanya saya, adakah Gundik berbaloi ditonton? Jawapannya,  Ya. Sangat. Ia adalah pengalaman sinematik yang pelbagai rasa. Menakutkan tapi lucu, suram tapi penuh warna. Sekiranya anda jenis yang suka filem seram yang berakar pada budaya dan menyelitkan humor, Gundik adalah wajib tonton untuk anda. Tapi nasihat saya, bawa geng, sebab bila babak seram datang bertalu-talu, anda mungkin perlukan tangan untuk digenggam.