
oleh: zizi hashim
Hal pertama yang saya sedari saat menyaksikan Legenda Kelam Malin Kundang adalah filem ini merupakan dongeng yang kemudian 'ditulis' ulang dalam format yang lebih rasional dan bersebab. Lupakan imaginasi sosok lelaki kaya dan sombong yang menghina juga tidak mengakui ibunya, kemudian ibunya sakit hati dan menyumpah anaknya itu menjadi batu seperti kisah-kisah yang diceritakan oleh ibu dan nenek kita dahulu. Rasa tidak selesa mulai perlahan-lahan memeluk dada.
Legenda Kelam Malin Kundang bukan kisah yang menyambut penonton dengan kehangatan nostalgia. Ia memilih jalan yang lebih dingin, lebih muram, seolah-olah mengajak kita menanggalkan dongeng masa kecil dan memandangnya dengan mata dewasa yang sudah letih percaya pada hitam-putih. Kisahnya berpusat pada Alif, seorang pelukis lukisan mikro yang sedang berusaha menyusun semula hidup selepas kemalangan ngeri yang meragut sebahagian memorinya. Kepulangan ke rumah bersama isteri, Nadine, dan anak mereka, Emir, pada awalnya terasa seperti peluang kedua, ruang untuk sembuh dan menata kembali jiwa yang terkoyak.


Namun ketenangan itu tidak bertahan lama apabila satu nama disebut: ibu.Masalah terbesar bukan sekadar kunjungan seorang ibu yang lama terpisah, tetapi hakikat bahawa Alif langsung tidak mengingati wanita tersebut. Wajahnya asing, gerak-gerinya janggal, dan setiap percakapan meninggalkan gema kecurigaan. Saat wanita itu akhirnya muncul di hadapan pintu, naluri Alif memberontak. Ada sesuatu yang tidak selari, seakan-akan ingatan yang hilang berusaha memberi amaran dengan caranya sendiri.
Sebagai seseorang yang membesar dengan versi moral Malin Kundang: anak derhaka, ibu teraniaya, hukuman mutlak, saya menemukan kelainan yang mengganggu dalam tafsiran ini. Filem ini tidak memilih jalan fantasi atau keajaiban, sebaliknya mengheret legenda lama ke wilayah thriller psikologi yang rasional dan logik. Hukuman tidak turun dari langit; ia tumbuh daripada trauma, struktur sosial, dan hubungan kuasa yang berlapis.


Di tangan Joko Anwar, Aline Djayasukmana dan Rafki Hidayat selaku penulis skrip, kisah itu menjadi jauh lebih gelap, tidak nyaman, dan jelas merupakan sebuah hukum sebab-akibat yang tidak mampu dihurai hanya dari satu aspek. Mereka bertiga mengubah kisah dongeng anak-anak menjadi masalah peribadi yang berkaitan dengan masalah sosial, dengan akar yang jauh lebih rumit dibanding sekadar anak 'derhaka' kepada ibunya. Rafki yang juga duduk di kerusi sutradara bersama Kevin Rahardjo mengubah rasa tidak nyaman itu dalam bentuk visual, dibantu dengan Ical Tanjung dari sebalik kamera.
Apabila memang tujuan Rafki dan Kevin adalah menyajikan psychological thriller yang tidak nyaman demi menggambarkan yang dirasakan Rio Dewanto sebagai Alif, maka saya rasa misi itu berjaya. Tangan dingin Ical benar-benar membuat suasana dunia Alif benar-benar dingin, suram, dan gelap, nyaris sepanjang filem ini berputar. Untuk beberapa bahagian bahkan membuat mata saya pening seperti yang dialami Alif saat ingatannya muncul satu persatu. Banyak penggunaan medium shot dan close-up membuatkan saya hampir terperangkap dalam ruang peribadi Alif. Melihat wajahnya, kegelisahan matanya dan kabur visual yang sengaja digunakan untuk menyamai kekacauan memorinya.


Filem ini tidak mencari kejutan murahan. Ketegangannya lahir daripada paranoia, dialog yang penuh tanda tanya, dan suasana yang terus menekan tanpa memberi ruang bernafas. Namun harus diakui, bukan semua penonton akan selesa dengan pendekatan ini. Legenda Kelam Malin Kundang bukan tontonan untuk mereka yang ingin berehat daripada suramnya dunia.
Beberapa kelemahan juga tidak dapat dielakkan. Ada dialog yang terasa kaku, sedikit menahan emosi yang sepatutnya boleh meledak lebih dalam. Watak sampingan pula muncul tanpa ruang cukup untuk berkembang, menjadikan beberapa jalur cerita terasa terhenti separuh jalan. Babak akhir yang sarat intensiti juga bergerak agak pantas berbanding pembinaan perlahan sejak awal, seolah-olah filem ini tergesa-gesa menutup luka yang baru sahaja terbuka.


Namun di sebalik cela itu, apresiasi tetap wajar diberikan. Filem ini berani memotret ketempangan Jakarta, termasuk lokasi kampung kolong bawah tol yang memberi rasa realisme kasar. Untuk sesaat, kota ini terasa tidak jauh bezanya daripada latar Slumdog Millionaire yang penuh jurang, penuh kontra dan jarang diberi perhatian kamera arus perdana.
Saya juga melihat Legenda Kelam Malin Kundang sebagai sebuah projek peralihan. Pengaruh Joko Anwar sebagai mentor jelas terasa, namun itu tidak seharusnya menenggelamkan usaha Rafki dan Kevin dalam menggarap filem panjang pertama mereka. Sebaliknya, rasa ingin tahu muncul: bagaimana karya mereka akan terlihat apabila bayang mentor itu semakin pudar.
Yang paling mencuri perhatian tetaplah Rio Dewanto sebagai Alif. Watak ini tidak mudah. Penuh lapisan trauma, kegilaan perlahan dan konflik batin yang sunyi. Rio memikulnya dengan disiplin yang mengkagumkan. Pada akhirnya, Legenda Kelam Malin Kundang meninggalkan kesan yang tidak segera hilang. Bukan kerana kejutan besar, tetapi kerana soalan yang terus bergema selepas kredit tamat: betapa rapuhnya ingatan manusia, dan sejauh mana seseorang boleh kehilangan dirinya sendiri tanpa pernah sedar bila proses itu bermula.
Tayangan di pawagam Malaysia bermula 11 Disember 2025, buat anda yang mencari tontonan berani keluar dari zon selesa, Legenda Kelam Malin Kundang layak diberi ruang. Filem ini bukan hiburan ringan untuk melupakan dunia, tetapi pengalaman sinematik yang menuntut perhatian, kesabaran dan keberanian berdepan sisi gelap manusia. Saksikan bagaimana legenda lama ditafsir semula dengan nada lebih dewasa, lebih rasional dan lebih menggugat emosi. Datanglah tanpa harapan manis, pulanglah dengan pertanyaan yang mungkin sukar dijawab, tetapi perlu direnungi.