oleh: zizi hashim
Sesekali hadir sebuah karya yang berani mengungkap sisi getir rumah tangga tanpa lapisan manis, dan Dilanjutkan Salah Disudahi Perih (DSDP) menjelma sebagai potret realiti yang menyentuh nadi. Karya terbaharu sutradara Benni Setiawan yang sebelum ini mencipta fenomena lewat siri Layangan Putus menghamparkan sebuah kisah romansa yang dekat dengan realiti, menyusup masuk ke ruang paling rapuh sebuah pernikahan, di mana cinta, cemburu, dan aturan agama terjalin menjadi simpul yang sukar dihuraikan.
Kisah tentang cinta yang salah arah, tentang keimanan yang diuji, dan tentang luka yang akhirnya menjadi riwayat pahit ini ditulis oleh penulis tersohor Garin Nugroho, mengangkat isu 'cina buta'. Sebuah tradisi pahit yang masih wujud, di mana seorang wanita yang diceraikan dengan talak tiga harus menikah dengan lelaki lain sebelum boleh kembali bersatu kepada suaminya yang asal. Isu sensitif ini digarap berani, digabungkan dengan elemen komedi, drama, dan romansa, mencipta pengalaman tontonan yang lebih segar daripada romcom biasa.
Kisah berpusat pada Alfa (Mikha Tambayong) dan Darian (Kevin Ardilova). Rumah tangga mereka runtuh kerana talak, namun benang perasaan tidak pernah benar-benar terputus. Ketika keluarga mendesak agar mereka kembali rujuk, Alfa terpaksa menikahi lelaki lain terlebih dahulu. Di sinilah hadir Zainun (Ibrahim Risyad), seorang sosok yang cukup sempurna: tampan, romantis, berilmu agama, dan menyayangi keluarga. Pernikahan itu, yang awalnya sekadar formaliti, membuka babak baru yang jauh lebih kompleks.
Darian yang tidak tentu arah kerana masih dihantui rasa memiliki tidak mampu berdiam diri. Cemburu menguasainya, membuatnya kerap mencampuri kehidupan baru Alfa dan dengan sengaja membiarkan luka lama terbuka kembali. Pertarungan emosi semakin getir apabila Darian sendiri bertemu dengan Intan (Tissa Biani), seorang gadis pemilik kedai kaca antik yang memberinya cahaya baru tentang cinta dan kesempatan untuk memulai hidup yang lain.
DSDP tidak sekadar menyorot cinta tiga segi, tetapi menggali dilema terdalam seorang wanita: memilih kembali ke pelukan lama yang pernah melukakan, atau melangkah ke masa depan bersama lelaki baru yang penuh harapan. Pertentangan antara kewajipan agama, desakan keluarga, dan kehendak hati mencipta sebuah naratif yang mengundang renungan.
Kekuatan filem ini bukan hanya pada plot ceritanya, tetapi juga pada dialog-dialog dewasa yang penuh makna. Ada humor absurd tentang talak dan pernikahan semula yang membuat penonton tergelak, tetapi juga renungan tajam tentang bagaimana cinta sering dimanipulasi atas nama agama atau tradisi. Filem ini tidak menggurui, tetapi berani menyentuh tema akidah dengan cara halus, mengingatkan kita bahawa iman bukan hanya soal hukum, tetapi juga soal hati yang terluka.
Kevin Ardilova menyerlah dengan intensiti emosi yang sukar diramal, membawa Darian sebagai lelaki rapuh yang terbelenggu cemburu. Mikha Tambayong menampilkan Alfa dengan elegan, menahan badai dilema tanpa kehilangan maruah. Sementara Ibrahim Risyad menghidupkan Zainun sebagai sosok ideal yang membuat penonton turut bingung memilih. Kehadiran Tissa Biani sebagai Intan pula menambahkan lapisan romantisme dan harapan yang lembut.
Secara teknikal, sinematografinya sederhana tetapi efektif. Jakarta urban dijadikan latar yang realistik, dengan pencahayaan natural yang mengekalkan nuansa intim. Scoring muzik dari campuran pop Indonesia dan melodi original mampu menyalakan emosi di momen kritikal. Meski di pertengahan ada sedikit kelewatan tempo dengan adegan sedikit meleret, keseluruhan penyuntingan tetap padat.
Dan akhirnya, penutup filem ini dengan twist yang membuat seluruh pawagam berteriak terkejut, menjadi alasan mengapa ia akan diingat. Ada yang menyebutnya mengejutkan, ada yang merasakannya kejam, tetapi justeru itulah kekuatan: cinta yang salah memang tidak pernah memberi hujung bahagia dengan mudah.
Sebagai seorang penonton, saya merasakan filem ini relatable, ia menyentuh keresahan generasi muda tentang hubungan, cinta yang berulang-ulang salah, dan keputusan emosional yang akhirnya membawa perih. Ia juga memberi amaran bahawa cinta bukanlah alasan untuk membenarkan segalanya, kerana ada batas, ada hukum, dan ada hati yang harus dijaga.
Dilanjutkan Salah Disudahi Perih, terbitan Soex Entertainment dan diedarkan oleh Horizon Film Entertainment, akan mula menghantui pawagam Malaysia pada 2 Oktober 2025 ini. Sebuah karya berani yang memberi kesedaran bahawa cinta, jika dilanjutkan dengan cara yang salah, akhirnya hanya akan mewujudkan sisa-sisa luka. Jom, inilah saatnya ke pawagam dan rasakan sendiri perihnya cinta yang salah andai dilanjutkan!