Adaptasi Novel Buku Fixi 'Gantung: Musketeer Code' Dari Drama Bersiri Ke Filem Kupas Misteri Bunuh Diri

oleh: zizi hashim

Ada luka yang tak sempat dibalut, dan ada kisah yang tertinggal separuh jalan. Seperti judulnya Gantung, sudah ter'gantung' 7 tahun lamanya. Suatu ketika dahulu, ia meletup sebagai siri televisyen yang digilai ramai. Adaptasi dari novel gelap, liar dan penuh tanya karya Nadia Khan. Namun selepas episod akhir yang ter'gantung', baik watak, mahupun perasaan, pemintaannya tidak pernah padam. Tujuh tahun bukan jangka masa yang sekejap, penantian itu berubah menjadi desakan yang membakar.

Kini, kobaran api itu telah dilunaskan lewat filem Gantung: Musketeer Code, naskhah yang lahir dari dedikasi, darah dan pengorbanan. Diterbitkan oleh Neddo Works dan dikemudi sendiri oleh Nadia Khan selaku sutradara dan penganyam skrip, karya ini terasa seperti surat cinta buat peminatnya. Lebih dari itu, ia juga seumpama pengakuan yang tertunda bahawa trauma remaja, dendam sekolah dan persahabatan yang kusut, semua itu adalah realiti yang harus dilihat semula dari mata hati.

Empat sekawan: Gibbs, Ray, Troll dan KJ, antara sahabat dan suspek, terperangkap dalam misteri kematian seorang pelajar perempuan yang menggantung diri di auditorium sekolah. Persoalan demi persoalan berlegar di udara: apa yang terjadi malam itu? Siapa yang menanggung dosa sebenar? Dan siapa yang cuma mangsa kepada sistem yang tak mahu mendengar? 

Yang menarik, walau membawa benang merah dari versi drama dan novel, filem ini berdiri megah sebagai entiti sendiri. Sama ada anda datang dengan pengalaman kosong atau penuh memori dari siri terdahulu, Musketeer Code tetap menyambut dengan tangan terbuka, memaut penonton ke dalam dunia sekolah elit yang muram, menyesakkan, tetapi jujur dalam kecelaannya.

Sewaktu menonton filem ini, terasa seperti membuka semula jurnal lama yang pernah kita koyak halamannya, kerana terlalu sakit untuk dibaca, tapi terlalu berharga untuk dibuang. Gibbs, KJ, Ray dan Troll... mereka bukan sekadar watak. Mereka ialah potret zaman remaja yang penuh kegilaan, kejujuran yang terselindung, dan luka yang tak pernah diperiksa. Di sebalik dinding sekolah elit itu, tersembunyi trauma dan kebisuan yang mereka sendiri tak sangka masih ada di dalam diri mereka.

Apa yang menjadikan Gantung: Musketeer Code begitu kuat ialah kerana ia bukan sekadar adaptasi. Ia adalah ‘pengakuan terpendam’ dari Nadia Khan, yang tidak hanya menulis, tetapi juga mengarah dan menerbitkannya, dengan jiwa, dengan degil, dan dengan cinta. Melihat naskhah ini akhirnya muncul di layar besar setelah bertahun-tahun tertunda, terasa seperti menonton sahabat lama yang akhirnya berani bersuara setelah lama diam.

Lebih indah dan lebih membanggakan, filem ini tidak lahir dari bajet besar produksi komersial. Bukan hasil mesin korporat, tapi hasil tangan dan hati. Dibina dari crowdfunding, dari RM200,000 yang dikutip seikhlas mungkin dari peminat yang percaya. Hanya melalui penjualan buku dan cenderamata, filem ini berdiri sebagai manifestasi cinta peminat yang tak pernah layu. Ini bukan filem biasa. Ini naskhah kolektif. Setiap bingkai, setiap sunyi dan setiap denting piano latar, semuanya membawa berat sebuah janji yang pernah dibuat 7 tahun lalu. Sempat tertangguh dek pandemik, namun akhirnya penggambaran berjaya dijalankan antara Disember 2023 hingga Januari 2024, sebuah kemenangan senyap yang membawa gema.

Barisan pelakon pula menjadi tulang belakang emosi filem ini. Ikmal Amry, Hafreez Adam, Ben Amir dan Brandon Salim memberi warna pada keempat-empat watak utama dengan kematangan dan getar yang jujur. Shazia Rozaini pula muncul sebagai nafas baharu yang misteri namun berbekas. Penampilan figura hebat seperti Bront Palarae dan Sofia Jane menyuntik graviti pada babak-babak utama, sementara cameo dari nama-nama besar tanah air menghidupkan latar cerita dengan elegan.

Meski ada yang tak menonton drama sebelumnya atau belum pernah menyentuh novelnya, Musketeer Code tetap boleh dinikmati dan difahami. Ia adalah pintu baru, bukan sambungan semata. Dan itu yang menjadikannya matang dan universal. Lebih dari sekadar kisah ‘whodunit’ yang penuh teka-teki, Gantung: Musketeer Code ialah filem tentang sumpah yang tidak sempat ditamatkan, luka remaja yang tidak pernah sembuh, dan bagaimana masa lalu, meski kita mahu melupakannya, akan tetap datang menuntut jawapan.

Ada cerita yang menunggu terlalu lama untuk ditamatkan, sampai kita sendiri hampir lupa bagaimana ia bermula. Tapi filem Gantung: Musketeer Code tidak pernah benar-benar mati. Ia hanya berdiam di sudut ingatan, menunggu waktu yang sesuai untuk kembali menghantui. 5 Jun nanti, pawagam akan menjadi saksi kepada satu bab penamat yang selama ini hanya hidup dalam benak pembaca dan penonton. Kini ia bukan lagi mimpi, tapi realiti. Dan seperti yang dijanjikan dalam Musketeer Code: "All for one. One for all."

Ingatlah satu perkara: kadang-kadang, janji yang tertunda itu... bukan untuk ditamatkan, tetapi untuk diajarkan. Bahawa dalam hidup, yang mati bukan hanya orang. Tapi kadang-kadang, kepercayaan.