
oleh: zizi hashim
Sesekali pengalaman menonton filem seram terasa lebih daripada sekadar duduk diam dalam gelap. Rasa seperti diseret perlahan ke satu wilayah yang asing, penuh rahsia dan rasa tidak tenteram. Kong Tao hadir dengan getaran sebegitu. Tanpa perlu bergantung kepada kejutan murahan, filem ini memilih jalan yang lebih perlahan, lebih meresap… seolah-olah sesuatu sedang merangkak diam di bawah kulit, menunggu masa untuk menampakkan diri.
Naratifnya berpusat pada watak Fon (Kao Supassara Thanachat), seorang wartawan dari Thailand yang tidak mudah percaya pada penjelasan mudah. Kematian misteri yang dikatakan 'kemalangan' tidak pernah benar-benar meyakinkannya. Jejak penyiasatan membawa kepada dunia gelap ilmu hitam, atau dalam konteks kita, sesuatu yang dekat dengan istilah santau. Dalam masa yang sama, sekumpulan YouTuber yang terdiri dari Chenxin, Weikang, Potato dan Weien memulakan perjalanan ke Thailand dengan niat mencari konten seram untuk menaikkan jumlah tontonan. Namun apa yang mereka temui bukan sekadar cerita, tetapi sesuatu yang pulang bersama mereka… tanpa dijemput.


Sejak kembali ke Malaysia, gangguan demi gangguan mula menghimpit. Rasa cemas berubah menjadi realiti apabila salah seorang daripada mereka mati dalam keadaan yang mengerikan. Dari situ, filem ini mula menekan emosi penonton perlahan-lahan: tanpa tergesa-gesa, tetapi cukup menghimpit. Fon yang semakin yakin bahawa mereka terperangkap dalam lingkaran Kong Tao akhirnya bertemu Amin (Bront Palarae), seorang pemandu pelancong yang menjadi penghubung kepada dunia yang tidak terlihat. Bersama, mereka cuba merungkai misteri sebelum sumpahan itu menelan lebih ramai mangsa.
Apa yang membuatkan pengalaman ini terasa berbeza ialah pendekatan filem ini yang sangat berakar pada kepercayaan masyarakat Asia Tenggara. Elemen ilmu hitam yang dipaparkan terasa dekat, malah mungkin terlalu dekat. Idea bahawa sesuatu yang kecil seperti sehelai kain, tisu, atau kesan yang kita tinggalkan tanpa sedar, boleh menjadi pintu kepada malapetaka, menjadikan filem ini lebih menakutkan daripada kebanyakan kisah seram biasa. Ia tidak menjerit, tetapi berbisik… dan bisikan itu yang membuatkan fikiran tidak tenang.


Dari sudut lakonan, barisan pelakon memberikan persembahan yang cukup meyakinkan. Kao Supassara membawa watak Fon dengan keseimbangan antara rasional dan ketakutan yang perlahan-lahan memakan dirinya. Bront Palarae pula tampil dengan aura yang tenang tetapi sarat misteri, menjadikan watak Amin terasa seperti kunci kepada sesuatu yang lebih besar. Kehadiran pelakon Hong Kong, Philip Keung, turut menambah lapisan gelap yang lebih pekat, apatah lagi dengan usaha beliau mendalami bahasa Thai untuk memastikan lakonan terasa autentik.
Visual filem ini berjaya mencipta suasana yang tidak selesa dengan cara yang halus. Adegan siang diurus dengan kemas, namun apabila malam menjelma, ada momen yang terasa terlalu gelap sehingga beberapa ekspresi dan perincian terlepas dari pandangan. Namun mungkin itu juga sebahagian daripada niat, membiarkan penonton meraba dalam ketidakpastian, seperti watak-wataknya sendiri. Babak gore pula tidak berlebihan, tetapi cukup untuk meninggalkan kesan yang sukar dilupakan. Bunyi dan muzik memainkan peranan besar dalam membina suasana. Hembusan angin di hutan, bunyi sunyi di kabin terpencil, dan latar muzik ketika adegan sumpahan benar-benar membantu menghidupkan ketegangan. Ada detik di mana kesunyian itu sendiri terasa lebih menakutkan daripada apa yang dipaparkan di layar.


Namun, perjalanan cerita tidak sempurna sepenuhnya. Struktur naratif yang cuba menggabungkan terlalu banyak sudut. Wartawan, konflik pemaju tanah, dunia YouTuber, kadang-kadang membuatkan aliran terasa sedikit bercelaru. Ada juga momen teknikal seperti audio yang tidak sepadan dengan visual yang sedikit mengganggu pengalaman. Tetapi semua itu tidak cukup untuk menenggelamkan kekuatan utama filem ini, iaitu rasa seram yang perlahan dan berpanjangan.
Klimaks filem ini membawa pertembungan antara ilmu hitam dan ilmu putih yang cukup intens. Pertarungan tersebut tidak hanya bersifat fizikal, tetapi juga simbolik, tentang pilihan, tentang akibat, dan tentang bagaimana kuasa yang disalah guna akhirnya memakan diri sendiri. Kong Tao dengan jelas memperlihatkan bahawa ilmu hitam adalah pedang bermata dua; ia boleh memberi, tetapi juga merampas segalanya tanpa belas.
Gabungan produksi Malaysia, Thailand dan Singapura menjadikan filem ini terasa lebih luas, namun tetap dekat. Unsur budaya, kepercayaan dan cerita rakyat disulam dengan teliti, menjadikan pengalaman menonton terasa lebih autentik dan relevan untuk penonton rantau ini. Ia seperti cerminan kepada sesuatu yang pernah kita dengar sejak kecil, tetapi kini dipersembahkan dengan wajah yang lebih moden dan sinematik.
Kong Tao berani memilih jalan yang tidak mudah. Bagi yang menggemari filem seperti The Medium atau Incantation, Kong Tao menawarkan pengalaman yang sejenis. Perlahan, menghantui, dan sukar dilepaskan walaupun lampu sudah dinyalakan. Pada akhirnya, filem ini meninggalkan satu rasa yang sukar dijelaskan. Bukan takut yang mengejutkan, tetapi rasa gelisah yang tinggal lebih lama daripada yang dijangka. Dan mungkin itu yang paling menakutkan, apabila sesuatu tidak hilang meski cerita sudah berakhir. Tayangan di pawagam Malaysia bermula 19 Mac 2026 dengan durasi 1 jam 31 minit. Tayangan hari ke-2 sudah mencecah kutipan RM1 juta! Apa tunggu lagi? Jom tengok wayang!