
oleh: zizi hashim
Sungguh saya tak sangka, filem tentang biri-biri sahaja mampu memberi impak sebegini besar pada saya. Dari luar, ia kelihatan seperti sebuah naskhah keluarga yang comel tentang sekumpulan biri-biri bercakap dan cuba menyelesaikan misteri pembunuhan. Premis yang kedengaran sedikit aneh, malah mungkin seperti idea yang lahir daripada mesyuarat kreatif yang terlalu panjang. Gelak pertama saya hadir seawal beberapa minit pembukaan filem. Air mata pula tumpah jauh sebelum lampu panggung menyala semula.
Semakin cerita bergerak, semakin saya sedar bahawa filem ini menyimpan sesuatu yang jauh lebih berharga daripada sekadar misteri pembunuhan. Ada jiwa. Ada luka. Ada kasih sayang yang diam-diam menyelinap masuk ke relung hati. Setiap malam, George, seorang gembala yang penuh kelembutan, membacakan kisah misteri kepada biri-biri peliharaannya. Meski manusia menganggap haiwan tidak memahami apa yang didengar, kawanan biri-biri ini ternyata menyerap segala cerita yang dibacakan. Maka apabila George ditemui mati secara misteri, mereka yakin sudah memiliki segala ilmu yang diperlukan untuk mencari pembunuh sebenar.


Premis itu mungkin kedengaran lucu, tetapi daripada situlah The Sheep Detectives mulai berkembang menjadi sesuatu yang sangat istimewa. Saya suka bagaimana pengarah Kyle Balda, yang sebelum ini terkenal menerusi siri Minions dan Despicable Me, tidak memilih jalan mudah. Sebaliknya beliau membina sebuah dunia yang terasa hangat, ganjil, lucu dan pilu pada masa yang sama. Debut aksi nyata beliau terasa begitu matang sehingga sukar percaya ini merupakan percubaan pertamanya dalam genre tersebut.
Lembah berkabus, padang rumput yang luas, kandang tua yang dipenuhi bisikan rahsia serta perkampungan kecil yang seakan keluar daripada helaian novel klasik Inggeris menjadikan keseluruhan filem terasa seperti dongeng moden yang bernyawa. Sinematografinya memukau. Setiap bingkai kelihatan dirakam dengan penuh kasih sayang. Kabut pagi yang menyelimuti bukit-bukau, cahaya matahari yang menembusi celah rumput serta suasana malam yang muram memberikan identiti visual yang begitu mempesona. Ada momen tertentu yang membuat saya terlupa sedang menonton filem tentang biri-biri kerana visualnya begitu sinematik dan indah.


Lebih mengkagumkan, kesan visual CGI yang digunakan benar-benar meyakinkan. Biri-biri dalam filem ini terasa sungguh hidup. Mereka mempunyai personaliti tersendiri. Ada yang cemas, ada yang sombong, ada yang terlalu mudah percaya, ada yang sentiasa curiga terhadap segala perkara. Karakter-karakter itu dibina dengan cukup halus sehingga saya mula melihat mereka sebagai individu sebenar, bukannya sekadar haiwan digital.
Lily misalnya menjadi antara watak yang paling dekat di hati saya. Hubungannya dengan George terasa sangat tulus dan hangat. Kehilangan yang dialaminya selepas kematian George benar-benar menyentuh emosi. Hugh Jackman pula memberikan persembahan yang penuh kelembutan sebagai George, walaupun kehadirannya dalam filem ini tidak terlalu panjang.
Namun watak yang paling meninggalkan kesan kepada saya ialah Sebastian. Disuarakan oleh Bryan Cranston dengan penuh nuansa, Sebastian ialah biri-biri yang sering dipinggirkan kerana latar belakangnya. Apabila kisah silamnya mula dibongkar sedikit demi sedikit, filem ini berubah menjadi sesuatu yang jauh lebih berat daripada misteri pembunuhan biasa. Tema penerimaan, prasangka sosial dan pencarian tempat untuk merasa diterima disampaikan dengan begitu elegan.


Apa yang membuat saya paling kagum ialah keberanian filem ini berbicara tentang kematian. Kebanyakan filem keluarga selalunya cuba mengelakkan topik tersebut atau menyampaikannya secara terlalu lembut. Sebaliknya The Sheep Detectives memilih untuk berterus terang tentang kehilangan, kesedihan dan proses menerima hakikat bahawa orang yang kita sayang tidak akan kembali. Bagi kawanan biri-biri itu, kematian adalah sesuatu yang asing. Sebahagian daripada mereka percaya bahawa biri-biri yang mati hanya berubah menjadi awan di langit.
Kedengaran comel. Tetapi apabila realiti mula mengetuk pintu, filem ini perlahan-lahan bertukar menjadi renungan tentang bagaimana setiap makhluk menghadapi duka dengan cara yang berbeza. Saya tidak malu mengaku bahawa babak-babak menjelang penghujung filem benar-benar membuat saya sebak. Bukan kerana filem ini cuba memaksa penonton menangis. Sebaliknya kerana emosinya terasa jujur. Kesedihan yang dipaparkan terasa tulen. Airmata saya berlinang tanpa saya sedar. Sempat saya memarahi diri sendiri, "Dah kenapa nak nangis? Cerita pasal kambing je pun!" Tapi disitulah magisnya.


Humornya juga menjadi penyelamat yang sangat berkesan. Banyak dialog dan situasi lucu muncul secara semula jadi daripada karakter, bukannya dipaksa untuk mencipta gelak ketawa murahan. Saya ketawa berkali-kali sepanjang tayangan, kemudian beberapa minit selepas itu kembali termenung memikirkan makna yang tersirat di sebalik adegan tersebut. Struktur misteri "siapa pembunuhnya" pula dibina dengan kemas. Walaupun ada beberapa petunjuk yang membolehkan penonton meneka arah ceritanya lebih awal, filem ini masih berjaya menyimpan beberapa kejutan yang cukup memuaskan. Saya sendiri terpedaya dengan beberapa teori yang saya cipta sepanjang menonton.
Paling penting, filem ini tidak pernah memandang rendah kepada penontonnya. Kanak-kanak akan menikmati pengembaraan dan humor yang disajikan. Orang dewasa pula akan menemui lapisan emosi yang lebih mendalam tentang keluarga, kehilangan, memori dan penerimaan diri. Jarang sekali saya melihat sebuah filem keluarga yang mampu mengimbangi semua elemen itu dengan begitu baik. Tatkala kredit akhir mula bergulir, saya terduduk seketika sambil tersenyum. Ada rasa hangat yang sukar dijelaskan. Perasaan yang sama apabila selesai membaca sebuah novel yang baik atau mendengar cerita lama yang masih tinggal dalam ingatan bertahun-tahun kemudian.
The Sheep Detectives mungkin kelihatan seperti filem tentang sekumpulan biri-biri yang cuba menyelesaikan misteri pembunuhan. Hakikatnya, ia jauh lebih besar daripada itu. Ia tentang kehilangan. Tentang kasih sayang. Tentang menerima hakikat yang pahit. Tentang keberanian untuk meneruskan hidup meski hati masih menyimpan luka. Dan yang paling penting, ia mengingatkan bahawa kadangkala makhluk yang kelihatan paling naif sebenarnya mengajar kita perkara paling besar tentang menjadi manusia.
Saya hendak ulang tonton lagi, tak puas rasanya! Percayalah, pengalaman menonton filem ini jauh lebih bermakna di layar besar. Keindahan sinematografi, kehalusan animasi CGI, kemeriahan muzik latar dan emosi yang dibawa setiap watak benar-benar memerlukan ruang sebuah pawagam untuk dihargai sepenuhnya. Jarang saya keluar dari panggung dengan hati yang terasa begitu penuh. Bisikan angin di ladang mengiringi detik-detik kehilangan dan kerinduan, melonjak penuh semangat ketika misteri mula terungkai. Ending yang saya suka, saya pasti anda pun akan suka. Jom kita tengok wayang!