
oleh: zizi hashim
Hingar bunyi amaran kecemasan, langkah kaki yang berlari tanpa arah dan wajah-wajah panik yang terperangkap dalam sebuah bangunan pencakar langit menjadi pembuka kepada pengalaman yang cukup berbeza daripada kebanyakan filem zombie yang pernah saya tonton. Sejak Train to Busan meletakkan namanya sebagai antara karya zombie terbaik Asia, saya sentiasa tertanya-tanya ke mana lagi Yeon Sang-ho mahu membawa genre ini.
Zombi berlari laju sudah pernah dibuat. Dunia pasca-apokalips juga pernah diteroka menerusi Peninsula. Maka apabila Colony muncul, saya menjangkakan sesuatu yang serupa. Rupanya saya silap. Colony bukan sekadar tentang manusia melarikan diri daripada gerombolan mayat hidup. Ia tentang ketakutan yang lebih moden. Ketakutan terhadap dunia yang semakin saling terhubung sehingga manusia perlahan-lahan kehilangan identiti sendiri.


Kisahnya bermula apabila seorang penyelidik bioteknologi bernama Seo Young-chul membuat panggilan mengejutkan kepada pihak berkuasa. Dia mendakwa telah mencetuskan bencana dan dalam masa yang sama mengaku dirinya satu-satunya vaksin yang mampu menghentikannya. Dari situ, naratif bergerak ke sebuah bangunan pelbagai guna bernama Dunguri di tengah kota Seoul, lokasi berlangsungnya persidangan bioteknologi yang akhirnya bertukar menjadi medan hidup dan mati. Apa yang berlaku selepas itu mungkin kedengaran seperti formula biasa filem zombi.
Sekumpulan manusia terperangkap. Jangkitan mula merebak. Pihak berkuasa mengasingkan kawasan. Mangsa-mangsa cuba mencari jalan keluar. Namun Yeon Sang-ho tidak berhenti setakat itu. Keunikan terbesar Colony terletak pada zombie-zombienya. Kalau kebanyakan filem zombi menampilkan makhluk yang hanya tahu menggigit dan mengejar mangsa, makhluk dalam Colony seolah-olah mempunyai evolusi mereka sendiri. Pada awalnya mereka bergerak seperti haiwan liar, merangkak dan menyerang secara membuta tuli.


Namun semakin lama, mereka mula berdiri tegak, bergerak secara berkumpulan, belajar daripada persekitaran dan akhirnya mampu meniru suara manusia untuk memperdayakan mangsa. Sejujurnya, itulah bahagian yang paling saya nikmati. Ada satu momen ketika para survivor merancang laluan melarikan diri dan saya fikir mereka akhirnya berjaya mengatasi ancaman tersebut. Beberapa minit kemudian, zombie-zombie itu pula yang menyesuaikan strategi. Saya terus terdiam. "Eh, dia orang ni berfikir?" Dan ya, mereka memang boleh berfikir. Malah kadang-kadang terasa lebih tersusun daripada manusia sendiri.
Itulah sebab saya bergurau mengatakan zombie dalam filem ini mempunyai "kelas tersendiri". Kalau naik kapal terbang, mungkin mereka memang duduk di kelas perniagaan. Mereka bukan gerombolan yang sekadar menyerbu tanpa arah. Mereka seperti satu sistem yang hidup. Konsep ini sebenarnya diinspirasikan daripada organisma mirip kulat yang dikenali sebagai yellow slime mold, yang mampu berkongsi maklumat antara satu sama lain. Dalam Colony, pengetahuan yang diperoleh oleh seekor zombi boleh disebarkan kepada keseluruhan koloni, menjadikan mereka semakin sukar ditewaskan.


Secara tidak langsung, filem ini terasa seperti sindiran terhadap dunia hari ini. Media sosial. Kecerdasan buatan. Maklumat yang bergerak terlalu pantas. Masyarakat yang semakin seragam. Yeon Sang-ho menggunakan wabak zombie sebagai metafora kepada masyarakat moden yang terlalu bergantung kepada jaringan dan algoritma sehingga ruang untuk berfikir secara individu semakin mengecil. Menariknya, semua tema berat itu disampaikan tanpa membuat filem ini terasa sukar dihadam. Sebaliknya, Colony bergerak pantas. Aksi demi aksi disusun dengan cukup kemas. Setiap kali para survivor menemui jalan keluar, ancaman baru muncul. Setiap kali mereka mencipta strategi, koloni itu pula membalas dengan strategi yang lebih licik. Rasa tegang itu tidak pernah benar-benar hilang.
Dari sudut teknikal pula, filem ini memang mengkagumkan. Sinematografi oleh Byun Bong-sun menjadikan bangunan Dunguri terasa seperti makmal eksperimen yang perlahan-lahan berubah menjadi sarang pemangsa. Kamera bergerak rapat dengan watak-watak utama, membuatkan saya rasa seolah-olah turut terperangkap bersama mereka. Sudut atas bangunan, lorong sempit, ruang persidangan dan koridor yang panjang semuanya dimanfaatkan untuk membina rasa sesak dan cemas yang berterusan. Penataan bunyi juga memainkan peranan besar. Filem ini tidak bergantung kepada bunyi letupan atau muzik kuat semata-mata. Sebaliknya, keheningan tertentu digunakan dengan sangat berkesan.


Ada ketika saya lebih takut mendengar bunyi langkah perlahan daripada melihat zombie itu sendiri. Koreografi pergerakan zombie juga antara yang terbaik pernah saya lihat dalam filem Korea sejak Train to Busan. Tidak hairanlah kerana Jeon Young, individu yang mengendalikan pergerakan zombie dalam Train to Busan dan Peninsula, kembali mengemudi aspek tersebut. Hasilnya, koloni itu bergerak seperti satu organisma besar yang hidup, menyeramkan dan aneh pada masa yang sama. Barisan pelakonnya turut memberikan persembahan yang mantap.
Gianna Jun tampil tenang dan meyakinkan sebagai Se-jung, seorang profesor biologi yang lebih mengutamakan logik berbanding emosi. Koo Kyo-hwan pula berjaya menjadikan Young-chul sebagai watak yang sukar dibaca, berbahaya tetapi dalam masa yang sama menyimpan sisi tragis yang membuat kita simpati. Hubungan antara Hyun-seok dan kakaknya Hyun-hee pula menjadi nadi emosi yang paling menyentuh dalam filem ini. Kalau ada kelemahan, mungkin pada pembangunan sesetengah watak yang terasa sedikit terhad. Saya ingin mengenali mereka dengan lebih mendalam kerana idea filem ini sebenarnya cukup besar dan menarik. Namun fokus utama Yeon jelas tertumpu kepada konsep koloni itu sendiri dan bagaimana manusia bertindak balas terhadap ancaman yang sentiasa berevolusi.
Satu lagi perkara yang membuat saya tersenyum ialah babak telefon yang cukup tidak masuk akal tetapi menghiburkan. Jenis adegan yang membuat satu panggung ketawa seketika sebelum kembali menahan nafas beberapa saat kemudian. Secara keseluruhan, saya memang menikmati Colony. Adakah ia lebih hebat daripada Train to Busan? Bagi saya, tidak. Train to Busan masih mempunyai emosi yang lebih kuat dan penamat yang lebih meninggalkan kesan. Namun itu tidak bermakna Colony gagal.
Sebaliknya, ia berjaya berdiri dengan identitinya sendiri. Lebih moden. Lebih intelektual. Lebih eksperimental. Dan yang paling penting, cukup berani untuk membawa genre zombie ke arah yang berbeza. Ketika kebanyakan filem zombie sibuk menunjukkan bagaimana manusia melawan mayat hidup, Colony bertanya satu soalan yang lebih menakutkan: Apa jadi apabila gerombolan itu mula berfikir lebih pantas daripada kita? Saksikan sendiri Colony di pawagam berhampiran anda mulai 22 Mei 2026. Beranikah anda?