
oleh: zizi hashim
Sebab Grogu terlalu comel di mata saya, maka saya putuskan untuk menonton di pawagam. Saya datang dengan niat hendak berseronok sahaja tanpa letak harapan tinggi terhadap The Mandalorian and Grogu. Mungkin kerana sejak awal lagi filem ini tidak pernah dipromosikan sebagai karya epik berskala Revenge of the Sith atau sebuah naskhah yang mahu mengubah sejarah galaksi. Cukup sekadar mahu menikmati sebuah pengembaraan ringan bersama Din Djarin dan makhluk kecil bermata bundar yang berjaya mencuri hati jutaan peminat di seluruh dunia.
Kelibat Grogu yang muncul pada layar gergasi buat kali pertama sudah cukup membuatkan seluruh panggung tersenyum. Adakalanya sebuah filem tidak perlu menjadi karya terbaik dalam francais untuk meninggalkan rasa puas. Filem arahan Jon Favreau ini mengekalkan roh yang menjadikan siri The Mandalorian begitu dicintai sejak musim pertama. Hubungan antara Din Djarin dan Grogu kekal menjadi denyut utama penceritaan. Hubungan mereka terasa hangat, tulus dan manusiawi meski salah seorang daripadanya sentiasa bersembunyi di sebalik topi keledar manakala seorang lagi cuma berkomunikasi melalui bunyi-bunyi kecil.


Premisnya sebenarnya cukup mudah. Din menerima satu tugasan baharu yang akhirnya membawa mereka ke dalam konflik lebih besar daripada yang dijangka. Situasi menjadi semakin rumit apabila kemunculan semula keluarga Hutt mencetuskan ancaman baharu. Seperti kebanyakan kisah Star Wars, pengembaraan itu dipenuhi aksi, pelarian, makhluk-makhluk asing, dunia eksotik dan pelbagai cabaran yang memaksa mereka terus bergerak ke hadapan.
Kesederhanaan itulah yang menjadi kekuatan filem ini. Tiada plot yang terlalu rumit untuk dihadam. Tiada falsafah berat yang memerlukan penonton memerah otak sepanjang masa. Sebaliknya, filem ini memilih untuk menjadi sebuah pengembaraan yang menyeronokkan, penuh aksi dan mesra untuk seisi keluarga. Kadang-kadang kita memang perlukan filem seperti ini yang membenarkan kita duduk, ketawa, teruja dan menikmati dunia fantasi tanpa beban.


Salah satu perkara yang paling mencuri perhatian saya ialah sinematografinya. Setiap bingkai terasa seperti surat cinta kepada era klasik Star Wars. Hamparan landskap asing, kapal angkasa yang membelah langit galaksi, lorong-lorong futuristik dan dunia-dunia yang dihuni pelbagai spesies makhluk asing dirakam dengan cukup indah. Ada beberapa momen yang benar-benar membuat saya terdiam kerana kehalusan visualnya. Saya dapat merasakan pasukan produksi berusaha keras untuk mengekalkan kualiti sinematik yang pernah menjadikan musim pertama The Mandalorian begitu memukau.
Rekaan produksinya juga sangat kaya dengan perincian. Alam semesta Star Wars kembali terasa hidup. Makhluk-makhluk asing memenuhi setiap sudut layar, mencipta rasa bahawa galaksi ini benar-benar dihuni jutaan kisah yang belum sempat diceritakan. Kemudian hadir pula skor muzik hasil sentuhan Ludwig Göransson yang sekali lagi membuktikan mengapa beliau antara komposer terbaik dalam dunia hiburan masa kini. Muziknya mungkin berbeza daripada orkestra tradisional Star Wars, namun mempunyai identiti tersendiri yang segar dan emosional. Ada babak yang menjadi lebih mendebarkan hanya kerana cara muzik itu mengiringinya.


Babak aksi pula cukup menghiburkan. Pertempuran angkasa, kejar-mengejar, adegan menyelamat dan pertarungan berskala besar disusun dengan kemas tanpa terasa berlebihan. Ritma filem ini juga bergerak pantas. Tidak banyak ruang yang terasa kosong atau meleret. Hampir setiap babak mempunyai tujuan tersendiri untuk membawa perjalanan Din dan Grogu ke destinasi seterusnya. Meski begitu, saya akui filem ini masih mempunyai beberapa kelemahan. Penceritaannya kadang-kadang terasa seperti beberapa episod siri televisyen yang digabungkan menjadi sebuah filem.
Ada subplot kecil yang menarik tetapi tidak berkembang sepenuhnya. Saya juga berharap hubungan Din dan Grogu diberikan lebih banyak ruang sunyi untuk berkembang secara emosional. Ada kalanya filem terlalu sibuk bergerak ke lokasi seterusnya sehingga momen-momen kecil yang lebih intim terlepas begitu sahaja. Beberapa kesan CGI juga kelihatan sedikit kasar pada bahagian awal filem, terutama melibatkan makhluk bersaiz besar dan robot tertentu. Mujur kelemahan itu tidak cukup besar untuk merosakkan keseluruhan pengalaman menonton. Dan tentunya, bintang sebenar filem ini kalau menurut saya tetaplah si comel Grogu.


Entah bagaimana pasukan produksi berjaya menjadikan watak kecil itu lebih comel berbanding sebelumnya. Gabungan animatronik, boneka dan CGI membuatkan Grogu terasa hidup. Setiap gerakan kecil, setiap reaksi wajah dan setiap telatah spontan berjaya menghidupkan emosi penonton. Setiap kali dia muncul di layar, seluruh suasana terasa lebih cerah. Saya juga suka bagaimana filem ini memberi peluang kepada Grogu menunjukkan perkembangan baharu dalam kebolehannya. Dia tidak lagi sekadar penumpang comel yang duduk di dalam kapsul terbang. Kali ini dia mempunyai peranan yang jauh lebih penting dalam perjalanan cerita.
Kemunculan semula keluarga Hutt yang selama ini hanya dikenali melalui figura Jabba the Hutt tetapi kali ini penonton diperkenalkan kepada Rotta the Hutt, anak kepada Jabba, yang tampil jauh berbeza daripada apa yang pernah kita bayangkan. Saya tak sangka filem ini mampu membuatkan saya mengambil berat tentang seorang Hutt. Mungkin bukan filem Star Wars terbaik, The Mandalorian and Grogu juga bukan filem yang teruk. Kalau menurut saya, ia filem yang solid dan menghiburkan, sesuai ditonton bersama anak-anak, ibu bapa atau sesiapa sahaja yang mahu meluangkan masa dengan sebuah pengembaraan galaksi yang santai dan menyeronokkan.
Jalan ceritanya memang tidak terlalu kompleks atau berat, tetapi masih mempunyai cukup emosi dan kehangatan untuk membuatkan kita terus mengikuti perjalanan watak-wataknya hingga ke penghujung. Seorang pemburu upahan ala-ala Boba Fett yang dikenali sebagai Mandalorian, yang mengembara sambil melindungi Grogu, makhluk kecil yang sering digelar sebagai "Baby Yoda" oleh peminat dan saya sendiri. Pedro Pascal sekali lagi membawakan watak Mandalorian dengan sangat baik. Meski kebanyakan masa wajahnya terlindung di sebalik topi keledar, dia tetap berjaya menyampaikan emosi dan karisma watak itu dengan berkesan.
Apa yang paling saya suka, filem ini berjaya mengembalikan rasa seronok dan keterujaan yang pernah menjadikan filem-filem Star Wars klasik begitu istimewa. Filem ini turut menampilkan Sigourney Weaver dalam watak sokongan yang menambah lagi daya tarikannya. Mulai 22 Mei 2026, jangan lepaskan peluang menyaksikan The Mandalorian and Grogu di pawagam seluruh Malaysia. Sama seperti saya, datanglah kerana Grogu yang comel, menghiburkan dan sukar untuk tidak jatuh cinta kepadanya.