oleh: zizi hashim
27 Oct
27Oct

Gelombang nostalgia ternyata masih kuat bergema. Dua dekad selepas Ada Apa Dengan Cinta? mengubah landskap sinema romantik Nusantara, kisah antara Rangga dan Cinta kini kembali memikat. Kali ini dalam bentuk muzikal yang sarat emosi dan warna. Filem Rangga & Cinta arahan Riri Riza, yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 6 November 2025, mencetus fenomena seawal pra-tayangan lagi apabila tiket tayangan khasnya di TGV KLCC habis terjual hanya 12 jam selepas dibuka untuk jualan.

Menyedari sambutan yang luar biasa, pihak penganjur bersama TGV Cinemas segera menambah dua hall tambahan bagi menampung permintaan tinggi peminat yang enggan melepaskan peluang menjadi antara yang pertama menyaksikan kisah cinta abadi ini di layar besar.

Lebih istimewa, tayangan khas ini turut mempertemukan penonton dengan barisan kreatif di sebalik pembikinan filem termasuk pengarah tersohor Riri Riza, penerbit berpengaruh Mira Lesmana, serta Nicholas Saputra, figura yang pernah menghidupkan watak Rangga dalam versi asal Ada Apa Dengan Cinta? Dua wajah baharu yang kini memikul tanggungjawab besar, El Putra Sarira sebagai Rangga dan Leya Princy sebagai Cinta turut hadir memeriahkan acara, memperkenalkan nafas baharu kepada kisah lama yang tak pernah benar-benar berakhir.

Keterujaan penonton turut melimpah ke media sosial. Platform X dan Instagram dibanjiri luahan kecewa serta harapan agar lebih banyak hall dibuka. “Nak nangis, tak sempat beli tiket dah sold out,” tulis @syfqhizlyn. “Please add studio hall lagi,” rayu @pirrafirra, sementara @tuffbluee pula menambah, “Open lagi please, dah lama tunggu, dah sold out!”

Fenomena ini bukan sekadar tanda kebangkitan semula sebuah judul legenda, tetapi juga bukti bahawa cinta Rangga dan Cinta masih bernafas di hati generasi kini. Karya muzikal ini membawa gabungan puisi, irama dan sinematografi memukau, diserikan dengan lagu-lagu ciptaan Melly Goeslaw dan Anto Hoed yang pernah menjadi runut bunyi kepada kenangan remaja seluruh Nusantara.

Rangga & Cinta tidak hanya mengajak penonton bernostalgia, tetapi juga menghidupkan kembali semangat cinta yang polos dan tulus, cinta yang belajar memahami kehilangan, dan cinta yang masih bernyanyi meski masa telah jauh meninggalkan.

Tempat tayangan khas amat terhad! Dapatkan tiket anda sekarang di laman web rasmi TGV Cinemas atau melalui aplikasi mudah alih mereka, dan jadi sebahagian daripada keajaiban baharu kisah cinta paling ikonik Nusantara ini.

Comments
* The email will not be published on the website.