Dentuman tumbukan, maruah yang tercalar dan luka lama yang tidak pernah benar-benar sembuh menjadi nadi kepada The Furious: Pertaruhan Maruah, sebuah filem aksi-drama tempatan yang tampil dengan emosi lebih keras dan mendalam daripada sekadar pertarungan di gelanggang. Di sebalik peluh, darah dan kemarahan yang meledak, filem ini sebenarnya membawa kisah tentang keluarga, kehilangan dan harga sebuah legasi yang cuba dipertahankan sebelum semuanya musnah.
Bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 28 Mei 2026, The Furious: Pertaruhan Maruah dipersembahkan oleh Act 2 Pictures bersama Golden Screen Cinemas, Astro Shaw dan SunStrong Entertainment dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), manakala pengedaran rasmi dikendalikan oleh GSC Movies. Filem ini turut menerima sokongan kerajaan menerusi inisiatif Film In Malaysia Incentive (FIMI) FINAS sebagai usaha memperkukuhkan perkembangan filem tempatan berkualiti.

Malam Gala The Furious: Pertaruhan Maruah yang berlangsung pada 19 Mei 2026 di GSC Mid Valley Megamall pula berlangsung penuh meriah dengan kehadiran rakan media, tetamu industri dan barisan pelakon utama yang memeriahkan tayangan perdana filem tersebut. Turut hadir memeriahkan acara ialah Hans Isaac selaku Pengerusi FINAS bersama Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS. Kehadiran tokoh industri tersebut memperlihatkan sokongan besar terhadap perkembangan filem aksi tempatan berskala besar seperti ini.
Aura malam gala itu sendiri terasa cukup luar biasa. Sorakan penonton, reaksi spontan terhadap babak pertarungan serta emosi berat yang dibawa jalan cerita membuatkan satu dewan seakan terbawa-bawa dengan intensiti filem tersebut. Ramai yang menyifatkan The Furious: Pertaruhan Maruah bukan sekadar filem aksi biasa, tetapi sebuah naskhah yang berjaya menggabungkan pertarungan fizikal dengan konflik emosi secara lebih matang dan dekat dengan jiwa penonton. Antara ungkapan yang paling banyak kedengaran selepas tayangan gala berakhir, rata-rata memuji kekuatan lakonan, momentum cerita dan aksi tinju yang terasa lebih realistik dan padu.

Filem arahan sulung Heng Aik Siong ini menjadi debut penting buat pengarah tersebut selepas sekian lama dikenali sebagai pembantu pengarah kepada Adrian Teh. Menerusi The Furious: Pertaruhan Maruah, mereka bersama-sama membentuk sebuah dunia penuh ketegangan yang menggabungkan aksi tinju realistik dengan konflik emosi kekeluargaan yang rapuh dan menyakitkan. Mengangkat genre aksi dan drama, filem ini mengisahkan dua beradik, Firdaus dan Hakim, yang membesar dalam dunia berbeza selepas kematian tragis bapa mereka, Hameed: seorang legenda tinju yang cukup dihormati suatu ketika dahulu.
Firdaus, lakonan Zul Ariffin, memilih hidup dengan disiplin dan memikul tanggungjawab keluarga dalam diam, manakala Hakim yang dibawa oleh Sky Iskandar membesar jauh di luar negara dengan luka emosi, rasa marah dan dendam yang tidak pernah reda. Namun ketenangan yang dibina bertahun-tahun mula runtuh apabila seorang YouTuber dan peninju bernama Danial, dilakonkan Ikmal Amry, secara terbuka menghina legasi arwah bapa mereka. Penghinaan tersebut memaksa Hakim pulang ke tanah air demi mempertahankan maruah keluarga, sekali gus mempertemukannya semula dengan Firdaus dalam hubungan yang masih dipenuhi ketegangan dan dendam lama.


Namun segalanya berubah apabila pertarungan Hakim dengan Danial berakhir dengan tragedi tidak dijangka, memaksa Firdaus yang sudah meninggalkan dunia tinju kembali semula ke gelanggang. Bukan sekadar untuk bertarung, tetapi untuk menyelamatkan kembali legasi “The Furious” yang hampir musnah. Selain aksi tinju yang agresif dan intens, kekuatan sebenar The Furious: Pertaruhan Maruah terletak pada emosi yang dibawa setiap watak. Filem ini tidak sekadar bercakap tentang kemenangan di atas gelanggang, tetapi tentang manusia yang sedang bertarung dengan rasa bersalah, kehilangan dan harga diri mereka sendiri.
Barisan pelakon seperti Sandra Lim, Zamarul Hisham dan Marisa Yasmin turut memperkuatkan naratif filem ini dengan konflik emosi yang terasa dekat dan nyata. Dengan gabungan aksi tinju realistik, drama kekeluargaan yang dekat dengan jiwa penonton serta emosi yang kuat, The Furious: Pertaruhan Maruah dijangka menjadi antara filem aksi tempatan paling mencuri perhatian tahun ini. Dan mungkin dalam gelanggang kehidupan sebenar… pertarungan paling sukar bukanlah melawan musuh di depan mata, tetapi melawan luka yang sudah lama bersarang di dalam diri.
