11 Jul
11Jul

Langit terkadang tidak bersuara, tapi membawa ribut yang menggoncang dada. Begitulah filem BADAK, karya terbaharu pengarah M. Raihan Halim, menyeret kita perlahan-lahan masuk ke dalam ruang sunyi yang pekat dengan kasih sayang, pengorbanan dan luka keluarga yang tak terubati. Selepas kejayaan La Luna, Raihan kembali mengadun kisah yang lebih mentah dan jujur, kali ini menyentuh perihal bapa dan anak, dunia muzik yang membising tetapi juga menyembuhkan, dan cinta yang memilih jalan diam.

BADAK akan menemui penonton Malaysia bermula 2 Oktober 2025, manakala pawagam Singapura menyusul pada 16 Oktober. Diterajui Shaheizy Sam, Wan Hanafi Su, Aida Amron dan Kahoe Hon, filem ini menampilkan kolaborasi produksi 3 negara, Malaysia, Singapura dan Indonesia, dengan semangat lintas sempadan yang padu dan sinematik.

Watak Badak lakonan Shaheizy Sam membawa jiwa yang berat, pekak tapi pekat dengan kasih. Dia membesarkan Mirah, anak gadis tunggalnya dengan penuh kelembutan dan maruah dalam ruang hidup yang sempit tapi bererti. Dunia mereka hanya terisi dengan gerak tangan, pandangan mata dan rasa yang tidak pernah dirakam oleh kata-kata. Sehinggalah suatu hari, Mirah berubah menjadi sensasi hip-hop, dunia mula menuntut suara. Lalu keheningan yang selama ini membalut hidup mereka mulai retak.

Abah (Wan Hanafi Su) pula melatari kisah ini sebagai ayah yang pernah gagal berhubung dengan anaknya. Sebuah bayangan silam yang menghantui perjalanan Badak kini. Watak Jay (Kahoe Hon) membawa dimensi kota yang lebih mentah dan liar, dunia muzik bawah tanah yang membuka jendela baru kepada pertentangan antara identiti dan kesetiaan.

Transformasi fizikal Sam mengundang kekaguman. Beliau menaikkan berat sebanyak 30kg dalam masa lima bulan, hanya untuk kemudian menurunkannya semula demi melakonkan dua bentuk fizikal dalam satu watak. Itu bukan sahaja komitmen, ia adalah manifestasi betapa filem ini menuntut lebih daripada lakonan, tetapi jiwa yang menyelami.

BADAK berdiri sebagai naskhah yang menjadikan kesunyian sebagai bahasa. Ia tidak bergantung pada dialog berlebihan atau gimik, tetapi membiarkan emosi mengalir dari gerak tubuh, dari mata yang diam-diam menangis, dan dari detik-detik sederhana yang merobek hati. Naratifnya tidak minta simpati. Ia hanya mahu difahami. Ia tidak memaksa penonton menangis, tetapi membenarkan kita menyelami perasaan yang kita sendiri sukar namakan.

Sinematografi filem ini tenang dan bijak membingkai sunyi, menghormati ruang kosong, dan membiarkan muzik menjadi medium perlawanan antara dua dunia: bapa dan anak, sunyi dan bising, warisan dan perubahan. Penceritaan M. Raihan Halim kali ini lebih peribadi, seolah-olah satu surat yang tidak pernah dihantar tetapi masih terasa hangat di dalam poket hati.

Filem ini diterbitkan bersama Clover Films, GSC, Papahan Films, pelbagai rakan serantau lain dan diedarkan oleh GSC Movies. Ia turut disokong oleh Singapore Film Commission dan Infocomm Media Development Authority. Gabungan tenaga kreatif dari pelbagai latar ini menghasilkan sebuah karya yang penuh jiwa, tidak tunduk kepada formula komersial semata, tetapi menjulang martabat naratif Asia Tenggara dengan megah dan berani.

BADAK ialah sebuah karya yang perlu dirasai lebih daripada ditonton. Ia berbicara tentang hubungan darah, tentang luka yang diwariskan tanpa niat, tentang impian yang tidak seiring, dan tentang keberanian mencintai dalam bentuk yang bukan biasa biasa. Ketika dunia mendesak untuk bersuara, filem ini mengingatkan kita bahawa kadangkala cinta yang paling tulus itu hadir tanpa suara.

Tayangan perdana trailer eksklusif BADAK boleh disaksikan mulai 11 Julai 2025. Nantikan, kerana barangkali kamu akan temui serpihan dirimu dalam sunyi Badak yang merintih lembut di antara muzik dan air mata.

Comments
* The email will not be published on the website.