oleh: zizi hashim
16 Jul
16Jul

Sekilas pandang, poster susu kambing di dinding restoran mamak itu tampak biasa saja. Namun di mata Janna Nick, ia menyimpan kisah yang menunggu untuk dilahirkan. Dari situ terdetik ilham, terbitlah Susu Lima Kupang, sebuah telefilem yang mengalir dari hati seorang anak seni, mengangkat naskhah yang sarat makna tentang kasih, pengorbanan, dan harga sebuah ketabahan.

Ditayangkan pada 19 Julai 2025, jam 10 malam di slot Cerekarama TV3, telefilem ini adalah naskhah ketiga dalam rangkaian Dari Layar Ke Lensa, satu inisiatif segar TV3 yang mengangkat empat nama besar iaitu Janna Nick, Siti Saleha, Fattah Amin dan Zahiril Adzim untuk duduk di kerusi sutradara. Bukan sekadar mengarah, mereka menceritakan dunia dari sisi mereka sendiri, dengan naratif jujur yang membalut realiti dalam seni visual yang menyentuh jiwa.

Susu Lima Kupang menelusuri hidup Zakaria (lakonan Aiman Badrul), seorang anak kecil berusia 9 tahun yang memikul tanggungjawab lebih besar daripada tubuhnya. Dia tinggal bersama ibunya yang menghidap autisme (Trisha Ooi) dan neneknya (Farah Ahmad). Tanpa kehadiran seorang ayah, hidupnya dihujani ejekan dan celaan, menjadikan sekolah tempat yang kurang dirindukan. Sebaliknya, Zakaria lebih memilih bersama kambing peliharaannya, Maryam, yang setia mengikutinya ke mana sahaja.

Namun Maryam bukan sekadar haiwan peliharaan. Tatkala radio kesayangan ibunya rosak dan menimbulkan kekacauan emosi, Zakaria tekad mahu mengganti radio itu. Cadangan neneknya untuk menjual susu Maryam menjadi penyuluh harapan. Dari sinilah perjuangan seorang anak kecil bermula, menjual susu kambing demi senyuman ibu tercinta. Lima kupang nilainya, tapi bagi Zakaria, itu adalah dunia.

“Ilham cerita ini datang secara rawak. Saya nampak poster susu kambing masa tengah meeting dengan team produksi, dan saya terus terdetik, kenapa tak buat cerita pasal kambing?” kata Janna yang mengarahkan naskhah ini untuk produksi luar buat pertama kalinya. Baginya, pengalaman ini menguji lebih daripada sekadar kreativiti, ia menuntut kepimpinan, kesabaran, dan kecekapan mengurus tenaga serta bajet yang terbatas.

Cabaran teknikal turut menyelit, terutamanya sewaktu penggambaran dengan kambing sebenar yang enggan memberi kerjasama dalam masa yang terhad. Namun setiap detik yang sukar itu membina sebuah naskhah yang berlapis dan berjiwa, membawa penonton masuk ke dunia Zakaria tanpa perlu banyak kata. “Saya mahu penonton faham bahawa dalam Islam, tiada istilah anak haram. Yang haram itu perbuatannya. Manusia tetap mulia,” ujar Janna penuh makna. 

“Dan saya harap orang ramai akan lebih menghargai apa yang mereka ada. Kita semua ada cabaran hidup, tapi kebahagiaan tetap boleh dicari, walaupun dalam serba kekurangan.” Dengan lakonan jujur dan mengesankan dari barisan pelakon muda dan berpengalaman, Susu Lima Kupang menyentuh emosi tanpa dipaksa. Ia bukan hanya tentang susu kambing atau radio lama, tetapi tentang sebuah usaha kecil yang digerakkan oleh cinta besar, cinta seorang anak kepada ibunya, yang melebihi segala.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Susu Lima Kupang pada Sabtu ini, hanya di TV3. Dan sebagai penutup manis kepada projek Dari Layar Ke Lensa, nantikan telefilem Pencuri Rumah Imam arahan Zahiril Adzim yang bakal disiarkan pada 26 Julai 2025, di slot dan waktu yang sama.

Comments
* The email will not be published on the website.