oleh: zizi hashim
09 Jul
09Jul

Satu kisah bisa menggegar nurani, apatah lagi bila ia lahir dari lorong-lorong gelap yang sarat luka dan aib, lalu dibawa ke layar dengan niat yang tulus, menyentuh hati yang terlupa, dan menyuluh jiwa yang kelam. Itulah yang diangkat Fattah Amin dalam karya sulung arahannya untuk telefilem, Noktah Dosa, yang bakal menghiasi slot Cerekarama TV3 pada Sabtu ini, 12 Julai, jam 10 malam.

Dihasilkan menerusi projek Dari Layar Ke Lensa, sebuah inisiatif unik TV3 yang menobatkan 4 pelakon arus perdana sebagai pengarah, naskhah ini bukan sekadar pertaruhan teknikal semata, tetapi sebuah usaha memperhalusi naratif bangsa dari kacamata seniman sendiri. Selain Fattah, projek ini turut menampilkan arahan Janna Nick (Susu Lima Kupang), Zahiril Adzim (Pencuri Rumah Imam) dan Siti Saleha, yang bersama-sama menyuntik roh peribadi ke dalam visual yang dirakam.

Noktah Dosa menelusuri langkah Hafiz (dilakonkan oleh Nafiz Muaz), seorang pelajar sarjana sosiologi yang sedang menyelidik sisi gelap dunia pelacuran. Kajian yang bersifat akademik akhirnya menyingkap lapisan emosi dan kemanusiaan apabila Hafiz bertemu Kamelia (Datin Elvina Mohamad), wanita yang terperangkap dalam dunia jual tubuh yang tidak pernah dia pilih. Perkenalan itu bukan sahaja merobek stereotaip yang selama ini membalut persepsi masyarakat, malah membuka ruang pengharapan bahawa cinta yang suci dan hidayah dari Ilahi bisa hadir dalam bentuk yang paling tidak disangka.

Namun, keinginan untuk menyelamatkan Kamelia daripada cengkaman Madam (Jasmin Hamid), ibu ayam yang memanipulasi hidup wanita itu, bukan hal yang mudah. Dunia yang mereka jejaki dipenuhi duri, trauma dan air mata. Adakah pengampunan itu benar-benar milik semua, atau hanya untuk yang belum tercalar teruk oleh dunia?

Menggarap tema besar seperti dosa, hidayah dan peluang kedua, Fattah menegaskan bahawa naskhah ini mahu mengajak penonton berfikir bahawa manusia tidak harus mudah menjatuhkan hukum. “Hidayah itu hak mutlak Tuhan. Ia tidak memilih siapa. Kadang, seorang pelacur itu lebih dekat dengan Tuhan berbanding kita yang kelihatan baik di luar. Noktah Dosa mahu sampaikan bahawa setiap insan ada ruang untuk berubah,” ujar Fattah, penuh harap.

Salah satu babak paling berat untuk diarahkan, menurut Fattah, ialah adegan bilik mandi, simbolik kepada penyucian Kamelia dari segala noda. “Saya mahu solekan yang mewakili watak itu mengalir di wajah dan jatuh ke lantai, sebagai metafora dirinya yang dibersihkan. Ia penggambaran jam 2 pagi, ulang ambil berkali-kali, tapi saya puas bila dapat visual yang cukup menyampaikan maksud, walaupun tidak sempurna,” jelasnya jujur.

Barisan pelakon yang mantap terdiri dari Nafiz Muaz, Elvina Mohamad dan Jasmin Hamid memperkukuh nadi cerita yang tidak hanya mengajak empati, tetapi juga membentang realiti yang lazim dipinggirkan. Noktah Dosa bukan sahaja sebuah karya sinematik, tetapi satu renungan tentang siapa kita untuk menilai siapa, tentang ketabahan seorang wanita yang tidak pernah diberi pilihan, dan tentang seorang lelaki yang memilih untuk melihat lebih jauh dari dosa.

Sebagai pelengkap pengembaraan Dari Layar Ke Lensa, dua lagi telefilem yang bakal menemui penonton ialah Susu Lima Kupang arahan Janna Nick (19 Julai) dan Pencuri Rumah Imam arahan Zahiril Adzim (26 Julai), yang masing-masing dijadualkan pada slot dan waktu yang sama. Mungkin, dalam Noktah Dosa, kita bakal temui sesuatu yang selama ini terpendam – bahawa hidayah itu tidak selalu turun dalam surau, masjid, atau kitab... kadangkala ia menjelma dalam lorong-lorong yang kita sendiri takut untuk pandang. Saksikan telefilem ini Sabtu, 12 Julai, 10 malam di slot Cerekarama TV3.

Comments
* The email will not be published on the website.