oleh: zizi hashim
02 Jul
02Jul

Langkah pertama ke arah layar yang lebih jujur bermula di sini, dengan sebuah naskhah yang merentap ruang sunyi dalam hati, lalu mempersoalkan keberanian menjadi diri sendiri. Rentak Dua Hati, telefilem sulung arahan Siti Saleha, tampil sebagai pembuka tirai kepada inisiatif khas Dari Layar Ke Lensa, projek sempena ulang tahun ke-41 TV3 yang mengetengahkan 4 pelakon ternama yang kini duduk di kerusi pengarah. Sebuah eksperimen kreatif yang menjanjikan lebih dari sekadar naratif biasa. Ia adalah cermin jiwa yang memantul pengalaman peribadi dan keberanian menongkah arus.

Melalui kisah Adila (lakonan Auni Yusri), seorang peguam muda bertudung yang diam-diam menjadi DJ malam, Siti Saleha membuka pintu kepada perbincangan tentang identiti, prinsip dan cinta yang lintas budaya. Pertemuan Adila dengan Fabian (Zhen Ning), seorang lelaki berbangsa Cina, mula menghidupkan sisi dirinya yang lama terkurung namun bila rahsia kehidupannya terbongkar kepada keluarga Fabian, dunia Adila mula retak. Tekanan dari keluarga, kejamnya suara netizen dan dilema antara minat, cinta dan maruah menjadikan Adila cerminan ramai wanita hari ini yang cuba berdiri teguh di tengah badai pilihan hidup.

Apa yang menjadikan Rentak Dua Hati begitu signifikan bukan hanya pada naratifnya, tetapi pada keberanian Siti Saleha sendiri melangkah ke dunia pengarahan. “Ceritanya datang dari hati saya. Saya tulis, saya hidupkan, dan saya faham keletihan di sebalik lensa,” kata Saleha dalam nada jujur. “Berbeza dengan berlakon, jadi pengarah buat saya belajar tengok keseluruhan dunia. Dari pakaian, lokasi, mood, hingga suara watak. Memang penat, tapi puas.”

Watak Adila pula, kata Saleha, merupakan lambang kerumitan wanita kontemporari yang cuba kelihatan kuat walau dalam diam sering terbelah jiwa. “Saya percaya ramai wanita akan rasa dekat dengan Adila. Dia nampak tenang tapi hakikatnya bergelut. Saya nak penonton tahu: kita semua ada dilema, tapi keberanian jadi diri sendiri itu yang paling mahal,” ujarnya dengan penuh empati.

Bagi Auni Yusri, peluang membawa watak utama di bawah pengarahan pelakon senior seperti Siti Saleha adalah sebuah pengalaman yang mengubah rentak kerjaya. “Saya masih baru, tapi bila Kak Saleha pilih saya, saya tahu ini peluang untuk tunjuk sisi saya yang sebenar. Dia sabar bimbing saya di set dan buat saya percaya, saya boleh,” kongsinya tulus. Rentak Dua Hati turut mempertemukan barisan pelakon yang unik dan segar termasuk Zhen Ning serta Khatijah Tan yang bersama mewarnai dilema Adila di persimpangan hidup: antara cinta yang tak mudah diterima masyarakat dan harga sebuah keberanian.

Telefilem ini bakal menemui penonton Sabtu ini, 5 Julai jam 10 malam menerusi slot Cerekarama TV3. Sebuah naskhah yang bukan hanya mengetuk pintu emosi, tetapi juga membuka ruang renungan tentang siapa kita sebenarnya dalam diam. Menariknya, Rentak Dua Hati hanya permulaan. Projek Dari Layar Ke Lensa akan diteruskan sepanjang Julai menerusi tiga lagi telefilem: Noktah Dosa arahan Fattah Amin (12 Julai), Susu Lima Kupang arahan Janna Nick (19 Julai) dan Pencuri Rumah Imam arahan Zahiril Adzim (26 Julai).

Setiap minggu menjanjikan rasa berbeza, digarap dari sudut pandang eksklusif yang lahir daripada jiwa mereka sendiri. Jika layar selalunya tempat menonton, Dari Layar Ke Lensa mengajak kita menyelam dan di dalamnya, penonton mungkin akan menemui bayang-bayang sendiri.

Comments
* The email will not be published on the website.