Sebentuk perkahwinan tak pernah hadir dengan jaminan bahagia tanpa ranjau. Kadangkala, ia lebih mirip panggung kekecohan. Penuh tawa, curiga, tangisan kecil, dan pengorbanan yang diam-diam menyesakkan dada. Itulah denyut yang cuba ditangkap dalam naskhah terbaharu 'Selamat Pengantin Haru!', drama sitkom bergenre mockumentary yang bakal menyerikan slot Akasia TV3 bermula 9 Julai 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam.
Diarahkan oleh Kyoll Hamzah dan diterbitkan oleh Zeel Production Sdn Bhd, drama 13 episod ini menyingkap liku kehidupan Amelie (Janna Nick), wanita urban yang penuh keinginan berdikari, dan Bazlee (Dini Schatzmann), lelaki kampung yang tidak pernah benar-benar meninggalkan pangkuan keluarganya. Sebaik akad dilafaz, hidup baharu mereka bermula, namun bukan seperti yang dibayangkan.
Bukan hanya kehadiran adik-beradik yang manja dan terlalu mengharap, tetapi juga kemunculan Syafiqa, sepupu jauh yang masih menyimpan bara cinta lama, menggoyah kestabilan yang masih rapuh. Di tengah rumah tangga yang masih mentah, Amelie terpaksa menyusun sabar, satu demi satu, sambil mencari suara sendiri di dalam bisingnya tuntutan keluarga dan budaya yang asing.
Namun di sebalik kacau-bilau yang lucu, Selamat Pengantin Haru! menyelitkan cerminan realiti rumah tangga moden yang sering terabaikan, bahawa cinta perlukan keberanian untuk bertolak ansur, dan kadangkala, perlu juga ruang untuk ketawa. Lakonan penuh spontan Janna Nick dan Dini Schatzmann memberi nadi segar pada drama ini, memperlihatkan sisi mereka yang mungkin belum pernah dilihat sebelum ini.
“Walaupun ini kali keempat saya berlakon dengan suami sendiri, kali ini jauh lebih mencabar. Sebab genre komedi ringan ini perlukan keseimbangan antara jenaka dan emosi, tanpa nampak dibuat-buat,” ujar Janna Nick. “Tapi saya percaya ramai pasangan muda akan terasa dekat dengan kisah Amelie dan Bazlee.” Drama ini turut diserikan dengan barisan pelakon sokongan berbakat seperti Malia Baby, Dato Tamimi Siregar dan Serena Redzuawan yang melengkapkan landskap keluarga yang penuh warna daripada yang terlalu prihatin, hingga yang terlalu mengganggu.
Selamat Pengantin Haru! bukan sekadar menjual tawa, tetapi mengajak penonton menyelami makna sebenar menerima pasangan seadanya, walau datang dari dunia yang berlainan. Ia adalah kisah tentang dua hati yang cuba membina rumah, di atas landasan yang sentiasa bergegar, namun terus dipertahankan, dengan cinta dan sedikit rasa kelakar.
Untuk yang ingin menyelami drama ini lebih awal, strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton di Google Play dan App Store. Saksikan bagaimana dua jiwa berlainan cuba menyusun langkah dalam satu kehidupan yang tidak pernah dijanjikan mudah, tapi selalu layak untuk diperjuangkan.