Suasana hiburan tempatan kembali bergelora dengan naskhah segar ketika Infinitus Productions, penerbit di sebalik fenomena Hantu Kak Limah dan Don Dukun, memperkenalkan taruhan terbaharu mereka, Sumpahan Nilam Utama. Nadi filem komedi-thriller ini berdenyut di persimpangan humor, penyiasatan dan enigma ghaib, sekali gus menawarkan sesuatu yang benar-benar lain untuk penonton Malaysia.
Naskhah ini sedang rancak menjalani penggambaran dengan kolaborasi bersama Directors Think Tank dan Sunstrong Entertainment, dan dijadualkan menyapa pawagam seluruh negara pada tahun 2026. Di sebalik layar, sosok kreatif Hyrul Anuar memimpin pengarahan, individu yang memahat identitinya melalui 3 Janda Melawan Dunia dan iklan komersial yang sering disebut 'cinematic' oleh penggiat industri. Dengan reputasi yang teguh, Hyrul membawa perspektif yang berani, menyulam komedi dengan ketegangan misteri secara seimbang.


Sumpahan Nilam Utama menempatkan fokusnya pada perjalanan sekumpulan remaja, sebuah fasa coming-of-age yang kacau-bilau namun sarat kejujuran. Ceritanya menapak pada misteri kebun manggis yang dikhabarkan berhantu, lalu merebak menjadi pencarian bukti penculikan yang menjerumuskan mereka ke dalam rahsia gelap sekolah. Ilham, Hakim, Danial dan Belon, pelajar tingkatan 5 yang penuh keberanian polos menyorok di asrama pada cuti peristiwa demi menyiasat desas-desus yang menimbulkan tanda tanya. Namun misi nakal itu berubah dramatik apabila Suri, gadis impian Ilham, hilang entah ke mana. Farid, pengawas berdisiplin tinggi, pula muncul pada detik genting.
Langkah kecil mereka ke kebun itu berakhir dengan penemuan bukti yang mengganggu fikiran; pintu misteri semakin terbuka, dan apa yang ditemui jauh lebih menyeramkan daripada cerita hantu yang berselirat di kalangan pelajar.


Energi filem ini diperkukuh oleh gabungan pelakon muda seperti Idan Aedan, Razin Qidran, Farihin Arnia, Taufiq Izmir dan Muizzuddin, kesemuanya membawa jiwa remaja yang berkarektor dan bersahaja. Kehadiran pelakon berpengalaman seperti Dato’ Tamimi, Ellie Suriaty, Dr. Rosdeen Suboh, Anas Ridzuan, Aloy Paradoks dan Taqim Zaki menambah lapisan kematangan, memberi imbangan antara jenaka remaja dan ketegangan misteri.
Menurut Penerbit Eksekutif Infinitus Entertainment, Gayatri Su-lin Pillai, usaha ini ialah kesinambungan komitmen mereka untuk memperkaya sinema negara. “Kami mahu menghadirkan filem yang menyatukan pelbagai genre dengan cara yang dekat dengan masyarakat. Sumpahan Nilam Utama mengundang penonton untuk merasai gabungan komedi, penyiasatan dan misteri dengan gaya segar yang sangat menggambarkan identiti Hyrul,” katanya.


Bagi Penerbit filem, Syahrul Imran, karya ini menampilkan rasa yang jarang ditonjolkan. “Gabungan elemen coming-of-age dan misteri penyiasatan memberi pengalaman yang unik. Pelakon muda kami membawa personaliti yang membentuk watak-watak ini dengan begitu hidup. Kami teruja menantikan respons penonton.”
Dibalut dalam dunia remaja yang naif tetapi berani, Sumpahan Nilam Utama dijangka membentangkan pengembaraan yang lucu, degup saspens yang tidak dijangka, serta ritual misteri yang mencetus rasa ingin tahu. Di sebalik semua itu, kisah ini mengalirkan pertanyaan yang lebih mendalam, sejauh mana keberanian seorang remaja bertahan ketika rahsia yang mereka bongkar semakin mengancam?
Penonton boleh mula menantikan Sumpahan Nilam Utama pada tahun 2026. Untuk perkembangan terkini, ikuti Infinitus Films MY di semua platform media sosial.
