oleh: zizi hashim
16 Jul
16Jul

Empat puluh tahun berlalu, namun nama Sheila Majid tetap mengalun seperti siulan angin yang tak pernah hilang dari pohon kenangan. November nanti, sejarah akan kembali menulis satu bab penting. Tidak dengan pena biasa, tetapi dengan irama, air mata, dan sorak-sorai ribuan hati yang tumbuh bersama lagu-lagu yang membentuk zaman. 'Sheila Majid 40 Years in Music' bukan persembahan mengenang, ia adalah kitab hidup yang terbuka di hadapan khalayak. Dedaunan masa lalu yang masih hijau, bernafas dan bersuara.

Pementasan agung ini bakal berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 8 November 2025, anjuran Altus Prohouse dengan kerjasama TopGallant Show, menghimpun bukan sekadar peminat, tetapi seluruh roh seni Nusantara. Saban tahun, Sheila bukan sekadar bertahan. Beliau melangkah, kadangkala dalam sepi, selalunya dalam gemilang, mengubah haluan muzik Malaysia, mendefinisi semula apa itu keanggunan dalam genre jazz, R&B dan pop klasik. Konsert ini menjadi medan meraikan semua itu: dari Sinaran yang memancar ceria era 80-an, ke Legenda yang masih bergema di pentas cinta kini.

Empat dekad bukan angka sebarangan. Ia lambang daya tahan, kepercayaan yang tak pernah luntur, dan suara yang terus-menerus memanggil pulang setiap kali teraba-raba mencari erti. Sheila Majid, si genit berwibawa itu, bukan hanya penyanyi. Dia adalah penjaga khazanah rasa, penyambung zaman dan pemilik emosi yang disulam indah ke dalam setiap bait-bait lagunya.

Buat Sheila sendiri, konsert ini bukanlah pentas membesarkan diri. Malah beliau mengakui, kelangsungan karier ini lahir daripada tangan-tangan ajaib yang pernah membentuk perjalanan seninya. Dari produser ke pemuzik iringan, dari penulis lirik hingga jurusolek pentas, semuanya mewarnai kisah panjang yang akan dilagukan dalam satu malam nan bersejarah ini. Penganjuran berskala besar ini menghimpunkan kekuatan produksi terbaik negara.

Namun di tengah-tengah semua itu, berdiri teguh seorang wanita, elegan dan rendah hati, yang mengakui sendiri bahawa segala ini masih membuatnya gementar. “Saya sedikit gementar untuk pentas sebesar ini, kerana saya sentiasa mahu beri yang terbaik buat peminat. Tapi saya fikir, kenapa tidak? Ini satu penanda penting, dan saya rasa inilah masa dan tempat yang paling tepat,” ujar Sheila dalam sidang media pada petang 15 Julai 2025 baru-baru ini.

Lebih manis, ini bukan sekadar satu lagi pementasan. Ia adalah janji yang pernah diungkap kepada peminat seusai konsert Big Band di PWTC pada 2023 lalu, bahawa ulang tahun ke-40 dalam dunia muzik akan disambut dengan sesuatu yang benar-benar istimewa. Dan kini, janji itu tertunai. “Empat puluh tahun adalah tempoh yang sangat panjang. Saya sendiri tak pernah terbayang akan diberi keberkatan untuk terus disayangi dan disokong oleh peminat selama ini,” kata Sheila, penuh rasa terharu. 

Bersama pasukan yang telah menjadi denyut kreatif kariernya, seperti Mac Chew, Jenny Chin dan Jennifer Thompson, konsert ini menjanjikan pengalaman muzik yang tersusun, menyeluruh dan penuh nostalgia. Lebih mengkagumkan, pereka pentas dan pencahayaan tersohor Steve Ho juga akan berganding, membawa sentuhan kelas dunia yang pernah dinikmati Jacky Cheung dan Eason Chan.

Sheila menyatakan konsert ini akan berlangsung selama 3 jam atau setidaknya 2 setengah jam, penuh dengan karya-karya emasnya dari pelbagai era. "Untuk 3jam itu, ia akan menjadi sebuah persembahan penuh Sheila Majid. Kami masih meneliti senarai lagu, tapi yang pasti, kebanyakan lagu kesayangan peminat akan dibawakan. Bermula dengan lagu yang cukup digemari ramai, Sinaran,” katanya sambil tersenyum.

Konsert ini mengangkat Sheila sebagai ikon, tetapi juga sebagai manusia biasa yang pernah jatuh, bangkit, lalu terus melangkah. “Saya tidak pernah menyangka masih di sini selepas empat dekad,” akuinya merendah diri. Namun bukan rendah diri itu yang buat kita kagum tetapi cara beliau bangkit dengan begitu artistik. Setiap nota yang bakal dilantunkan nanti adalah lambang ketekunan, kesetiaan, dan keberanian melawan arus perubahan. Konsert ini bukan penghujung. Ia adalah jembatan menuju babak seterusnya, mungkin lebih megah, mungkin lebih intim, tetapi dia tetap Sheila: wanita yang menyanyi dengan jiwanya, dan menjadikan kita sebahagian daripada puisinya.

'Sheila Majid 40 Years in Music' adalah lambang kecintaan peminat terhadap seorang artis yang begitu konsisten dalam mutu dan nilai, tetapi juga simbol sebuah zaman yang tak mungkin diulang. Empat puluh tahun lalu, pentas seperti Axiata Arena bahkan belum wujud. Sheila mengingatkan “Zaman saya mula menyanyi dulu, hanya ada Stadium Negara, Stadium Merdeka dan PWTC. Sekarang, saya fikir, kenapa tidak pilih lokasi sebesar ini? Saya pun dah sedar, saya kini ada peminat Gen Z juga… dan mereka sangat teruja nak hadir. Jadi masuk akal untuk cari lokasi yang boleh tampung semua,” katanya dengan jenaka lembut yang memikat.

Tiket rasmi mula dijual pada 17 Julai jam 10 pagi menerusi www.ticket2u.com.my/sheilamajid40, dengan pilihan kategori bermula RM268 hingga ke pakej eksklusif PARTY ZONE bernilai RM3,400. Zon istimewa ini membolehkan peminat menari, menyanyi dan meraikan malam tersebut dari jarak terdekat dengan Sheila, sambil menerima pek cenderamata khas yang akan diumumkan kelak.Untuk peminat Orang Kelainan Upaya (OKU), pembelian khas boleh dibuat menerusi talian WhatsApp di +6019-5951931.

'Sheila Majid 40 Years in Music' bukan perayaan masa lalu semata-mata. Ia adalah jendela masa depan, pengiktirafan kepada seniman wanita yang tetap berdiri dalam gelombang perubahan zaman. Dari Sinaran hingga Legenda, dari kaset ke streaming, dari Stadium Merdeka ke Axiata Arena, nama Sheila Majid tetap utuh, tetap hidup, tetap didendangkan. Tandakan kalendar. Simpan air mata bahagia untuk 8 November. Kerana malam itu, bukan sekadar sejarah yang akan disulam, tetapi juga kasih yang telah berakar dalam setiap jiwa yang pernah menyanyikan lagu-lagunya.

Comments
* The email will not be published on the website.