oleh: zizi hashim
07 Sep
07Sep

Tiga tahun sunyi tanpa suara, akhirnya ruang hening itu dipecahkan dengan kemunculan semula Shazriq Azeman melalui balada terbarunya, “Masih Ada Kau Lagi”. Karya ini lahir bukan sekadar sebagai lagu, tetapi sebagai sebuah luahan hati, ditulis ketika Shazriq sedang melintasi cabaran dan persimpangan besar dalam hidupnya. Dorongan daripada rakan kreatifnya, Omar K, menjadi pemangkin untuknya melangkah keluar dari balik tabir, tempat di mana selama ini dia lebih selesa menulis buat orang lain, kembali ke hadapan sebagai penyanyi.

Setiap notasi dalam “Masih Ada Kau Lagi” terasa seperti hela nafas yang sarat dengan kenangan. Shazriq mengaku, setiap kali mendendangkannya, dirinya diingatkan semula kepada luka dan rindu yang belum benar-benar sembuh. Lagu ini menjadi salah satu karya paling peribadi dalam senarai kariernya, penuh dengan kejujuran, kelembutan, dan kepedihan yang sukar disembunyikan.

Kolaborasi ini menandakan kerjasama keduanya bersama Alternate Records, dengan proses rakaman hanya memakan masa dua hari. Walau singkat, hasilnya memperlihatkan sisi matang Shazriq, baik dari segi penghayatan vokal mahupun kepekaan emosi. Dengan nada suara serak basah yang penuh tenaga, lagu ini hidup dalam keaslian, seakan membawa pendengar untuk turut merasa berada di titik rawan yang sama.

Menurut Omar K, kekuatan lagu ini terletak pada kesederhanaan susunan muzik yang minimalis, namun sengaja dibiarkan lapang agar emosi Shazriq dapat melata tanpa halangan. “Vokal Shazriq luar biasa. Kalau dia dapat material yang tepat, bulu roma boleh meremang. Dia ada kebolehan untuk menghidupkan cerita lagu sampai pendengar rasa seolah-olah mereka sendiri sedang mengalaminya,” ujarnya dengan penuh keyakinan.

Selain bakat, disiplin Shazriq turut menjadi tulang belakang setiap rakaman. Setiap sesi dihadiri dengan fokus dan idea, menjadikan setiap cubaan nyanyiannya sarat momen berharga. “Itu tanda seorang artis sebenar,” tambah Omar K lagi.

Balada moden pop kontemporari ini mengisahkan cinta yang dikhianati, namun rindu tetap membekas. Liriknya menyingkap perjalanan jiwa dari kekeliruan dan kehampaan, menuju keberanian untuk melepaskan, meski kenangan manis masih segar mengekori langkah. Baitnya yang sederhana namun menusuk hati, seperti: Biarpun aku yang tersakiti, Biar ku melangkah pergi mencari, Takdir yang tersembunyi.

Lebih menarik, “Masih Ada Kau Lagi” turut dipilih sebagai runut bunyi rasmi drama Bintang Di Langit Syawal, yang bakal menghiasi slot Samarinda TV3 mulai 14 Oktober 2025. Kehadiran lagu ini dalam naskhah televisyen dijangka memberi dimensi emosional tambahan yang lebih menyentuh penonton.

Kini, “Masih Ada Kau Lagi” sudah boleh dinikmati di Spotify, Apple Music, YouTube Music dan seluruh platform digital kegemaran anda. Sebuah balada yang bukan hanya untuk didengar, tetapi untuk dirasai seperti luka lama yang perlahan-lahan menemukan suaranya kembali.

Comments
* The email will not be published on the website.