Hujung minggu di tengah kota Kuala Lumpur terasa berbeza petang itu. Udara di sekitar KLCC bergetar dengan debaran lembut, bukan dari bunyi enjin atau dentuman muzik, tetapi dari aura nostalgia yang merayap perlahan. Masa bagaikan berhenti seketika untuk memberi laluan kepada cinta lama yang ingin bernafas semula. Pintu TGV KLCC terbuka satu demi satu, menyingkap lautan wajah yang pernah tumbuh bersama filem “Ada Apa Dengan Cinta?”.
Ada yang datang berpasangan, ada yang membawa anak remaja mereka, generasi baharu yang mungkin hanya mengenal 'Rangga & Cinta' dari potongan adegan di media sosial, tapi malam itu, mereka datang untuk menyaksikan kisah itu hidup kembali. Sinar kamera memantul lembut ke arah sutradara Riri Riza yang tampil dengan senyuman tenang, sementara penerbit tersohor Mira Lesmana berdiri di sisi, matanya bercahaya bangga.


Di belakang mereka, dua bintang muda yang kini menjadi wajah cinta generasi baharu, Leya Princy dan El Putra Sarira melangkah ke karpet merah dengan aura polos namun memikat hati. Dan kemudian, saat yang ditunggu-tunggu. Nicholas Saputra muncul dengan senyum malu-malu kucingnya. Lelaki yang dua dekad lalu mencipta ikon “Rangga” di layar perak. Sorakan lembut bergema di ruang legar, seakan penonton tahu, cinta yang pernah mereka saksikan kini benar-benar kembali, dengan bentuk dan bahasa yang baru.
“Bertemu kembali dengan penonton Malaysia adalah sesuatu yang sangat istimewa,” ujar Riri Riza ketika ditemui media. “Kisah ini lahir dari cinta terhadap manusia dan perasaan yang tak lekang oleh waktu. Kami mahu penonton bukan hanya bernostalgia, tetapi melihat diri mereka sendiri dalam versi baharu Rangga dan Cinta.” Malam gala itu bukan sekadar tayangan, tetapi pesta jiwa. Setiap tetamu yang hadir seolah-olah menjadi saksi kebangkitan sebuah bahasa lama yang telah lama kita rindu. Bahasa rindu yang diterjemahkan melalui lensa, cahaya dan puisi.


Filem 'Rangga & Cinta' membuka tirai dengan suasana sinematik yang memukau. Layar dipenuhi warna pastel dan gerak kamera yang lirih, menggambarkan jiwa muda yang masih mencari arah. Leya Princy memancarkan pesona Cinta versi baharu. Berani, ingin tahu, namun masih terperangkap dalam lembutnya emosi. Sementara El Putra Sarira menampilkan Rangga dengan nuansa introspektif, seolah-olah menulis puisi di setiap tatapan mata.
Nicholas Saputra meski tidak menjadi sebahagian daripada filem ini, kehadirannya membawa makna simbolik, seolah-olah memberi restu daripada generasi pertama kisah cinta yang pernah mengubah arah sinema Nusantara. Penonton berdiri memberi tepukan hormat, dan Riri Riza tersenyum kecil sambil menundukkan kepala, tanda bahawa sejarah dan masa depan sedang bersalaman di malam itu.


“Saya selalu percaya cinta tidak pernah tamat. Ia hanya berganti bentuk, berganti wajah,” kata Riri Riza sewaktu ditemui media. “Rangga & Cinta ialah cerita tentang jiwa muda yang sedang mencari makna baru dalam dunia yang semakin kompleks tetapi di hujungnya, tetap tentang manusia dan perasaannya.” Mira Lesmana menambah dengan lembut, “Filem ini bukan kesinambungan secara literal, tetapi kesinambungan emosi. Ia menunjukkan bagaimana generasi kini berfikir, mencintai dan menafsirkan makna hubungan.”
'Rangga & Cinta' menampilkan visual yang artistik, berlapis makna, menggabungkan gaya penceritaan klasik Riri Riza dengan naratif moden yang lebih introspektif. Leya Princy menyerlah dengan ekspresi yang kompleks antara ragu dan keberanian. El Putra pula menghidupkan watak lelaki muda yang memikul warisan emosi dan pilihan moral yang sukar. Keduanya menghadirkan semangat baharu, namun tetap membawa roh lembut yang pernah ditiupkan oleh Nicholas dan Dian dua dekad lalu.


Usai tayangan, tepukan panjang memenuhi panggung. Ketika ditemui selepas tayangan, Nicholas Saputra berkata perlahan, “Melihat karya ini terasa seperti melihat versi lain dari sebuah perjalanan yang saya pernah jalani. Saya berterima kasih kerana kisah cinta ini terus hidup dalam bentuk baru.” Kerjasama Miles Films dan Primeworks Studios untuk membawa 'Rangga & Cinta' ke Malaysia dianggap langkah berani. Bukan hanya dari segi pasaran, tetapi sebagai jambatan budaya antara dua industri kreatif serumpun. Ia memperlihatkan betapa sinema masih mampu menyatukan dua negara melalui bahasa yang paling universal iaitu rasa.
Sebelum malam berakhir, lagu tema filem, “Rangga Cinta” nyanyian Eva Celia dan Bilal Indrajaya, berkumandang lembut di ruang legar. Para tetamu beransur keluar, membawa pulang lebih daripada sekadar tontonan, mereka membawa pulang kenangan yang diperbaharui. Di luar panggung, langit Kuala Lumpur bergemerlapan. Angin malam terasa lembut, dan di tengah hiruk-pikuk kota, ada gema yang tinggal lama, gema cinta yang kembali menyala setelah lama berdiam diri.

