oleh: zizi hashim
22 May
22May

Bukan semua warisan hadir bersama kebanggaan. Ada yang ditinggalkan dalam bentuk luka, ada yang diwariskan sebagai sumpahan, dan ada juga yang terus hidup sebagai bayang hitam yang enggan lenyap ditelan waktu. Daripada kegelisahan itulah lahirnya Polong, naskhah seram thriller terbaharu arahan Zulkarnain Azhar yang kini menghantui pawagam seluruh negara bermula 28 Mei 2026. Diterbitkan oleh Golden Star Pictures Sdn. Bhd. dengan kerjasama 10 Star Cinemas Sdn. Bhd. sebagai pengedar serta Primeworks Studios selaku rakan pemasaran, filem ini mengangkat tema legasi ilmu hitam, dosa yang tidak pernah ditebus dan akibat yang terpaksa ditanggung oleh generasi seterusnya.

Menjelang tayangan rasmi di pawagam, Polong terlebih dahulu mencuri perhatian menerusi Malam Gala dan Tayangan Perdana yang berlangsung pada 20 Mei 2026 di 10 Star Cinemas, Hextar World, Petaling Jaya. Sejak tetamu melangkah masuk ke ruang acara, suasana yang menyelubungi lokasi sudah cukup untuk membangkitkan rasa tidak selesa, seolah-olah membawa para hadirin memasuki dunia gelap yang menjadi nadi kepada filem ini.

Dekorasi bertemakan mistik, pencahayaan suram dan elemen visual yang diinspirasikan daripada naratif filem menjadikan malam tersebut terasa berbeza daripada kebiasaan. Barisan pelakon utama termasuk Mimi Lana, Nadiya Nisaa, Namron, Fad Anuar dan Jun Lojong turut hadir memeriahkan acara bersama pengarah Zulkarnain Azhar, wakil produksi, rakan industri serta media tempatan.

Lebih menarik, reaksi penonton sepanjang tayangan memperlihatkan bagaimana Polong berjaya mencipta ketegangan yang berterusan. Ada yang terkejut, ada yang menjerit, malah tidak kurang juga yang mengakui masih dibayangi beberapa babak tertentu selepas tayangan berakhir. Aura seram yang menyelimuti malam gala itu seolah-olah menjadi petanda awal bahawa Polong bukan sekadar sebuah filem seram biasa, tetapi sebuah pengalaman yang mengheret penonton masuk ke dalam dunia penuh misteri, trauma dan kegelapan yang sukar dilupakan.

Menggabungkan elemen seram tradisional Nusantara dengan lapisan psikologi yang lebih mendalam, Polong tidak sekadar bergantung kepada kejutan atau kemunculan makhluk ghaib semata-mata. Sebaliknya, ia menyelongkar sisi paling kelam dalam jiwa manusia: tentang ketamakan, penyesalan dan harga yang perlu dibayar apabila seseorang memilih jalan gelap demi memenuhi keinginan sendiri. Filem ini menampilkan Mimi Lana sebagai Fatima, seorang wartawan muda yang bercita-cita tinggi dan obses mencari kebenaran.

Dalam satu penyiasatan yang pada awalnya sekadar usaha membongkar sejarah hitam seorang bomoh wanita pembunuh bersiri bernama Maria Hadi, Fatima tanpa sedar telah membuka pintu kepada sesuatu yang selama ini cuba dikurung daripada dunia manusia. Maria Hadi, yang dilakonkan oleh Jun Lojong, pernah berusaha menebus dosa-dosanya pada penghujung hayat. Namun segala usaha itu ternyata tidak cukup untuk menghapuskan jejak hitam yang ditinggalkannya. Apabila rahsia masa lalu mula terbongkar, satu entiti yang dikenali sebagai Polong kembali bebas dan mula memburu mereka yang terlibat.

Keadaan memaksa Fatima mencari perlindungan daripada Marissa, watak yang dibawakan oleh Nadiya Nisaa, anak kepada Maria yang memilih hidup dalam pengasingan. Dalam pencarian jawapan untuk menghentikan malapetaka tersebut, Marissa berdepan pilihan yang amat mengerikan, sama ada menerima warisan puaka yang diwariskan ibunya atau mencari jalan memutuskan rantaian kejahatan itu buat selama-lamanya.  Turut memperkuatkan naratif filem ini ialah penampilan Namron, Fad Anuar, Amir Nafis, Riezman Khuzaimi, Nesa Idrus dan Elizad Sharifuddin, yang masing-masing memainkan peranan penting dalam menghidupkan dunia gelap yang dibina menerusi kisah ini.

Menurut Zulkarnain Azhar, ketakutan sebenar dalam Polong bukan sekadar berpunca daripada makhluk ghaib, tetapi daripada manusia yang sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi kehendak dan nafsu mereka sendiri. “Polong cuba memperlihatkan bahawa ada warisan tertentu yang bukan membawa perlindungan, tetapi kehancuran kepada generasi seterusnya. Ketakutan paling besar bukan datang daripada makhluk ghaib semata-mata, tetapi daripada manusia yang sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi keinginan mereka,” jelas beliau.

Pernyataan itu menjadi nadi utama filem ini. Di sebalik kemunculan entiti menyeramkan dan pelbagai kejadian mistik yang mengganggu, Polong sebenarnya berbicara tentang beban masa lalu yang tidak pernah benar-benar pergi. Dosa yang tidak diselesaikan akan terus meresap, membesar dan akhirnya menuntut harga daripada mereka yang tidak pernah pun melakukan kesalahan tersebut. Dengan durasi sekitar 120 minit dan klasifikasi P16, filem ini menawarkan pengalaman yang sarat ketegangan, emosi dan konflik dalaman yang mampu membuat penonton berfikir jauh selepas lampu pawagam dinyalakan semula.

Lebih daripada sebuah filem seram biasa, Polong hadir sebagai refleksi bahawa tidak semua perkara boleh ditinggalkan begitu sahaja. Ada rahsia yang terus hidup dalam diam. Ada kesalahan yang enggan dilupakan. Dan ada legasi yang tidak pernah benar-benar mati.Apabila masa lalu kembali mengetuk pintu, persoalannya bukan lagi bagaimana untuk melarikan diri tetapi sejauh mana seseorang sanggup berdepan dengan kebenaran yang selama ini cuba disembunyikan.

Comments
* The email will not be published on the website.