Langkah pertama Adli bukan ke surau, tapi ke dalam rumah Tok Imam. Bukan dengan niat menimba ilmu, tetapi menyembunyikan identiti sebenar sebagai seorang pencuri yang melarikan diri daripada undang-undang. Namun anehnya, dari ruang yang kelam dan penuh kepura-puraan itulah cahaya perubahan mula menyusup perlahan-lahan. Itulah nadi utama telefilem Pencuri Rumah Imam, karya kedua arahan Zahiril Adzim yang akan menghiasi slot Cerekarama TV3 pada 26 Julai ini.
Sebagai sebahagian daripada projek Dari Layar Ke Lensa sempena ulang tahun ke-41 TV3, naskhah ini menjadi penutup kepada siri arahan oleh empat figura seni iaitu Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim yang meninggalkan sebentar dunia lakonan untuk menyarung topi pengarah. Namun Zahiril tampil dengan sesuatu yang lebih bersifat peribadi, lebih reflektif, dan dalam diam menyelitkan persoalan besar tentang manusia, Tuhan dan jalan pulang.
Telefilem ini mengetengahkan Adli (Fikry Ibrahim), seorang penjenayah yang menyamar sebagai orang berada bagi menyembunyikan masa silamnya. Kampung Tok Imam Saleh (Razak Ahmad) menjadi tempat persembunyian tetapi juga medan ujian. Di sebalik hasrat menipu dan melindungi diri, Adli mula melihat cermin baru: cermin yang memantulkan siapa dirinya yang sebenar, dan siapa dia boleh jadi.
Kepercayaan Tok Imam yang berjiwa besar membuka jalan ke arah perubahan, tetapi Khadijah (Shiqin Kamal), anak gadis Tok Imam, tidak mudah terpedaya. Keraguan Khadijah menjadi suara yang mewakili kita sebagai penonton, patutkah peluang kedua diberikan kepada seseorang yang datang dengan niat yang diragui?
Yang memikat tentang naskhah ini ialah caranya menyorot keinsafan bukan sebagai klimaks, tetapi sebagai proses, perlahan, tidak sempurna, tetapi jujur. Zahiril tidak cuba mengajar, jauh sekali menghakimi. Beliau membiarkan karektor-karektornya berkembang sendiri, dengan ruang untuk penonton membuat tafsiran tersendiri.
Salah satu adegan yang sukar dilupakan ialah ketika Adli bersembunyi dalam van jenazah, babak yang mungkin lucu pada zahirnya, tapi menyimpan getar simbolik yang mendalam. Ia menggambarkan bagaimana manusia selalunya hanya mengingati kematian saat diri terdesak, dan betapa dekatnya kita dengan titik akhir walau sedang melarikan diri daripada dosa.
Menurut Zahiril, meskipun naskhah ini dibina atas kerangka komedi santai, beliau tidak menolak jika penonton mahu membacanya dengan lensa yang lebih berat. “Kalau orang dapat mesej baik daripada karya saya, saya anggap itu satu bonus. Mudah-mudahan saya pun dapat saham akhirat,” katanya jujur.
Selain soal keinsafan dan agama, Pencuri Rumah Imam juga menyentuh isu ketamakan dan pengaruh wang terhadap jiwa manusia. “Duit memang jahat,” ujar Zahiril. “Ia boleh merosakkan keluarga, persahabatan, malah mencetus perang. Benda sekecil-kecil pun boleh jadi besar bila manusia terlalu ghairah kejar kekayaan.”
Barisan pelakonnya yang mantap seperti Fikry Ibrahim yang penuh kontra, Shiqin Kamal yang tegas dan Razak Ahmad sebagai imam berjiwa lapang, menjadikan naskhah ini tidak sekadar menghiburkan, tetapi juga mencuit hati dan menyentuh minda. Pencuri Rumah Imam mungkin kelihatan seperti komedi ringkas, tetapi di sebalik skrip yang bersahaja, terselit renungan tentang peluang kedua, tentang niat yang boleh berubah, dan tentang manusia yang sentiasa dalam proses belajar mengenal diri dan penciptanya.
Tidak memaksa penonton untuk percaya bahawa setiap orang boleh berubah, tetapi ia meletakkan benih harapan bahawa perubahan itu mungkin. Kadang-kadang bukan niat yang membawa kita ke jalan yang betul, tapi peluang. Dan bila peluang datang daripada seseorang yang percaya pada kita, walau kita sendiri tak yakin, itu mungkin detik yang merubah segalanya. Pencuri Rumah Imam mengajak kita ketawa, tapi dalam masa yang sama mengingatkan bahawa kehidupan ini penuh lorong aneh dan kadangkala, lorong yang kita ambil untuk lari sebenarnya membawa kita pulang.
Sabtu ini, 26 Julai, jam 10 malam, bukalah hati ketika menonton. Kerana kadang-kadang, mesej yang paling dalam disampaikan melalui jenaka yang paling ringan. Dan mungkin, seperti Adli, kita pun sedang mencari jalan pulang dengan cara kita sendiri.