oleh: zizi hashim
13 Feb
13Feb

Kuala Lumpur, 13 Februari 2026 menyaksikan pelancaran rasmi RR2026: Jwanjih "Kenyang!”, sebuah platform pra-tinjau yang menyatukan keseluruhan penawaran Ramadan dan Raya TV3 tahun ini. Atmosfera yang terbangun memancarkan komitmen berterusan TV3 dalam merangka kandungan yang relevan dengan rutin sahur, berbuka dan persiapan Syawal, merentas televisyen serta platform digital selari perubahan landskap tontonan masa kini.

Ramadan Lebih Akrab, Lebih Autentik
Musim Ramadan 2026 dibuka dengan Oh Mummy! tajaan Darlie & Ayam Brand, bersiaran 14 Februari hingga 14 Mac 2026, setiap Sabtu jam 7.00 malam di TV3. Lima episod ini menampilkan Elfira Loy bersama keluarga, mengisahkan keseharian seorang ibu selebriti yang menyeimbangkan kasih sayang, komitmen kerja dan cabaran keibubapaan.

Menyusul pada 15 Februari hingga 15 Mac 2026, setiap Ahad jam 7.00 malam, Anak Mama Masak Apa Tu? tajaan Baba’s menggabungkan Rozita Che Wan dan Aaisyah dalam lima episod yang menyatukan kreativiti kanak-kanak dan kepakaran ibu. Dapur keluarga menjadi ruang interaksi yang sarat telatah spontan dan kehangatan hubungan.

Waktu berbuka pula diperkaya dengan Jom Berbuka tajaan Mi Sedaap, bersiaran 14 Februari hingga 14 Mac 2026, setiap Sabtu jam 7.30 malam di TV3. Lima episod menampilkan Angah & Isteri, Dato’ Fazley & Anak, Nabila Huda & Anak, Cat Farish & Isteri serta Fiza Frizzy & Suami berkongsi tradisi berbuka, resipi keluarga dan pengalaman Ramadan dalam suasana santai.

Slot petang Ahad jam 3.00 petang bermula 22 Februari hingga 22 Mac 2026 menyajikan Resipi Serasi tajaan MAGGI. Ain Edruce dan Amirul Hafiz meneroka dinamika pasangan melalui masakan dan rutin Ramadan dalam lima episod yang ringan namun reflektif.

Dominasi Digital: Drama Mikro Setiap Hari
Strategi digital TV3 diperhebat dengan dua drama mikro berjumlah 45 episod setiap satu. Mr. Perfect Ramadan tajaan Men’s Biore bersiaran 19 Februari hingga 4 April 2026, setiap hari jam 12.00 tengah hari di TikTok Drama Sangat & Tonton. Lakonan Muaz Zabir dan Ariana Yusof mengangkat perjalanan seorang anak kota memahami nilai hidup serta makna Ramadan.

Bisik Asmara Kita pula hadir 21 Mac hingga 19 April 2026, setiap hari jam 8.00 malam di TikTok Drama Sangat & Tonton. Gandingan Zul Ariffin dan Sophia Albarakbah membawakan kisah pasangan suami isteri yang membina kembali cinta berteraskan kejujuran dan kesederhanaan.

Sahur Sarat Refleksi
Nuansa sahur diraikan melalui Sembang Sahur 2026 tajaan Musolla Ar-Raudhah, bersiaran 19 Februari hingga 19 Mac 2026, setiap Rabu dan Khamis jam 11.00 malam di TV3. Sembilan episod bual bicara langsung dikendalikan Elly Mazlein, Dayah Bakar, Muaz Mohamed dan Fadzly Fuad, mengupas isu kehidupan, kerohanian dan perkembangan semasa dalam nada bersahaja namun berinformasi.

Syawal: Humor, Gaya & Spektakular
Apabila Syawal menghampiri, variasi program diperluas. Telemovie Kampong Gatal (KGG) bersiaran 25 Mac 2026, Rabu jam 9.00 malam di TV3. Lakonan Riena Diana, Syarul Ezani, Nabila Razali, Nik Rifaei’ dan Amirullah Azmi menampilkan komedi berlatar komuniti kampung yang tercetus daripada kejadian luar jangka.

Persiapan Aidilfitri dirakam dalam Raya Macam Influencer tajaan IN2IT, bermula 25 Februari 2026 jam 6.00 petang di TikTok & Instagram TV3 serta siaran televisyen pada 21 Mac 2026, Sabtu jam 11.00 pagi. Lapan episod bersama Arena Wan dan Athalia mengangkat perspektif generasi masa kini dalam menyambut Ramadan dan Syawal melalui gaya hidup moden.

Fesyen dan hiburan disatukan menerusi Melodi Glam Raya Runway tajaan Watsons & TikTok Shop, bersiaran 12 Mac 2026, Khamis jam 3.00 petang di TikTok MBuzz Terhangat. Fikry Ibrahim dan Ain Edruce mengemudi pertunjukan koleksi Raya terkini bersama pereka fesyen dan selebriti tempatan.

Kemuncaknya, Melodi Raya 2026 tajaan Unifi Mobile bersiaran 26 Mac dan 2 April 2026, Khamis jam 9.00 malam di TV3. Dua episod istimewa ini menampilkan barisan selebriti tempatan dan segmen khas untuk tontonan seisi keluarga sepanjang perayaan.

Komitmen Menyeluruh
Keseluruhan 11 program ini menggambarkan kesungguhan TV3 membina pengalaman Ramadan dan Syawal yang menyeluruh, menyinergikan kekuatan siaran televisyen dan platform digital sebagai pilihan utama penonton. Setiap slot waktu, dari tengah hari, petang, malam hingga sahur, dirangka dengan pertimbangan gaya hidup audiens masa kini.

Ramadan dan Raya 2026 bersama TV3 menjanjikan perjalanan yang kaya warna, penuh cerita dan sarat kebersamaan. Saksikan di TV3 atau strim melalui platform digital TV3, kerana momen berharga wajar diraikan bersama insan tersayang.

Comments
* The email will not be published on the website.