oleh: zizi hashim
26 Nov
26Nov

Datang satu hembusan sunyi menyusup ke ruang pawagam seluruh negara; hembusan yang membawa bersama nama Malam Terlarang, sebuah naskhah yang kini melangkah sebagai filem seram tempatan paling gah tahun 2025. Gelombang penontonnya tidak menunjukkan tanda surut, malah kutipan terkini yang mencecah RM11 juta menjadi saksi betapa kisah gelap ini terus mencengkam nadi para penonton tempatan.

Penerbit Eksekutif merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menyifatkan sambutan luar biasa ini sebagai sebuah kejutan yang amat menggembirakan. Terutamanya selepas tayangan filem ini bermula di rangkaian pawagam Singapura pada 20 November, yang turut membuka pintu baharu bagi karya tempatan menapak kukuh dalam pasaran serantau. “Respon penonton sangat di luar jangkaan. Hangat, kuat, dan penuh keterujaan,” ujar beliau, sekaligus mengukuhkan keyakinan terhadap daya saing filem Malaysia.

Sementara itu, roh Malam Terlarang bukan semata-mata terletak pada ketakutan; ia mengalir jauh lebih dalam. Berpaksikan idea asal Hazo Mahayuddin bersama Haris M. Nor, Ariff Zulkarnain dan Nazifdin Nasrudin, filem ini mengupas sisi manusia yang rentan terhadap obsesi kuasa gelap, bagaimana keghairahan mengejar ilmu hitam mampu menukar kasih menjadi ancaman, keluarga menjadi medan retak, dan kewarasan menjadi korban.

Barisan pelakon gah seperti Zul Ariffin, Sofia Jane, Shasha Abedul, Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Amir Nafis, Haneesya Hanee, Aila Azizul dan Sadiq M. Jamil menghadirkan persembahan yang meneguhkan jiwa filem ini. Setiap watak digarap seakan tercabut daripada realiti, lalu diletakkan tepat dalam dunia gelap Malam Terlarang, sebuah dunia yang terasa dekat, namun terlalu asing untuk disentuh.

Astro Shaw dan Astro Gempak turut mengumumkan siri penampilan istimewa para pelakon di pawagam terpilih, peluang bagi peminat untuk bertemu wajah di sebalik karakter yang mengundang ngeri dan simpati serentak.

Dengan sinematografi yang mencecah tahap ritual visual, serta alunan bunyi yang mengiringi detik-detik ngeri seperti jampi yang tidak kedengaran, Malam Terlarang bukan setakat filem seram, ia adalah pengalaman yang membungkus penonton ke dalam kepekatan atmosfera yang membentang tanpa belas. Setiap babak terasa seperti pintu yang terbuka ke satu rahsia yang lebih kelam daripada yang dijangka.

Filem ini kini bergerak seperti bayang yang enggan hilang, terus memikat penonton tua dan muda untuk kembali ke pawagam, menyelami sisi gelap manusia yang jarang dituturkan.

Comments
* The email will not be published on the website.