Derap malap dari Raccoon City kembali kedengaran, dan kali ini mimpi ngerinya hadir dalam wajah yang sama sekali baharu. Francais seram aksi ikonik Resident Evil bersiap sedia untuk kembali ke layar lebar menerusi sebuah reinvensi arahan Zach Cregger, pengarah di sebalik Weapons dan Barbarian. Menjelang tayangannya di pawagam pada 16 September 2026, barisan poster rasmi baharu Resident Evil kini diperkenalkan, membawa satu amaran ringkas yang cukup untuk membangkitkan keresahan penggemar francais tersebut, “Incoming call from Raccoon City…”
Diterbitkan Columbia Pictures dan Constantin Film dengan kerjasama TriStar Pictures, naskhah terbaharu ini bukan sekadar mahu menghidupkan kembali sebuah nama besar. Sebaliknya, Cregger membawa cerita serba baharu ke dalam semesta Resident Evil, dengan filem tersebut turut dirakam untuk IMAX bagi memperbesar skala kekacauan dan terornya.


Kali ini, pusat ceritanya ialah Bryan, seorang penghantar perubatan lakonan Austin Abrams. Apa yang bermula sebagai perjalanan seorang lelaki biasa berubah menjadi perlumbaan hidup dan mati apabila Bryan tanpa sengaja terperangkap dalam sebuah malam yang semakin kehilangan kewarasannya. Dalam sekelip mata, keadaan di sekelilingnya runtuh menjadi kacau-bilau. Bryan terpaksa bertahan dalam perlumbaan tanpa henti untuk menyelamatkan diri, ketika satu malam yang menentukan nasibnya bertukar menjadi pengalaman mengerikan yang tidak memberinya banyak ruang untuk bernafas.
Di situlah Resident Evil baharu menemukan taruhannya. Bukan sekadar pada monster atau ancaman yang mengintai dari kegelapan, tetapi pada manusia biasa yang harus mencari jalan untuk terus hidup ketika dunianya tiba-tiba tidak lagi mengenal aturan. Selepas membina reputasi menerusi Barbarian dan Weapons, Zach Cregger bukan sahaja menduduki kerusi pengarah, malah menulis skrip Resident Evil bersama Shay Hatten.


Filem ini diterbitkan oleh Robert Kulzer, Zach Cregger, Roy Lee, Miri Yoon, Carter Swan dan Asad Qizilbash, sementara Oliver Berben, Victor Hadida, Richard Wright dan Robert Bernacci bertindak sebagai penerbit eksekutif. Selain Austin Abrams, barisan pelakonnya turut diperkuatkan oleh Zach Cherry, Kali Reis dan Paul Walter Hauser.
Selepas pelbagai wajah, wabak dan mimpi buruk yang pernah membentuk sejarah panjang francais ini, Resident Evil kini memilih sebuah lorong berbeza: cerita baharu, protagonis baharu dan malam baharu untuk diteror. Namun ada satu nama yang masih membuat pencinta Resident Evil tahu bahawa malapetaka tidak pernah benar-benar berakhir. Raccoon City sedang memanggil. Dan pada 16 September, persoalannya cuma satu: siapa yang cukup bernasib baik untuk keluar hidup-hidup?
