oleh: zizi hashim
08 Jul
08Jul

Pentas akhir telah terbentang, bukan di atas bumi yang dikenali, tetapi dalam sebuah ruang ghaib bernama Infinity Castle, benteng terakhir para iblis. Tanjiro Kamado dan para pejuang Demon Slayer Corps kini berdiri di ambang takdir, membawa luka lama, harapan yang tertinggal, dan semangat yang tidak mudah padam.

Bermula daripada satu tragedi. Adik tersayang, Nezuko, direnggut menjadi iblis, Tanjiro telah menempuh medan yang penuh dengan darah dan air mata. Bersama Zenitsu Agatsuma dan Inosuke Hashibira, ikatan persaudaraan yang lahir dari keperitan itu menjadi senjata paling ampuh dalam peperangan panjang ini.

Namun perjuangan mereka tidak pernah sendiri. Para Hashira, barisan pendekar tertinggi Demon Slayer Corps, telah menjadi tonggak yang memimpin jalan. Api menyala bersama Flame Hashira, Kyojuro Rengoku di atas Mugen Train; dentuman menggegar dalam bayang malam Daerah Hiburan bersama Sound Hashira, Tengen Uzui; kabus sunyi menyelubungi langkah mereka bersama Mist Hashira, Muichiro Tokito dan cinta yang lembut namun gagah daripada Love Hashira, Mitsuri Kanroji di Desa Pandai Pedang.

Ketika sesi latihan Hashira digerakkan demi persiapan perang terakhir, sosok yang selama ini membayangi mereka, Muzan Kibutsuji, akhirnya muncul di Rumah Ubuyashiki. Serangan itu menggugat keseimbangan. Dalam sekelip mata, Tanjiro dan para Hashira tercampak ke ruang paling gelap dan menyesakkan, hasil tipu daya Muzan: Infinity Castle.

Ruang itu tiada lantai yang stabil, tiada langit yang tetap, hanya lorong-lorong halusinasi yang menelan keyakinan. Namun mereka tidak punya pilihan selain mara ke hadapan. Peperangan terakhir telah bermula. Segala latihan, kehilangan dan janji yang pernah terucap kini teruji di gelanggang sebenar.

Aksi yang memukau, emosi yang menyentuh, dan sinematografi bertaraf dunia bakal menghiasi Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba – Infinity Castle, diarahkan oleh Haruo Sotozaki dan diadaptasi daripada karya asal Koyoharu Gotoge. Diterbitkan oleh ufotable, filem ini bakal membawa penonton menyelami babak penamat yang penuh debar dan haru dalam kisah epik ini.

Tayangan rasmi bermula 14 Ogos 2025 di pawagam, dalam bahasa Jepun dengan sari kata Bahasa Malaysia, Inggeris dan Cina. Bersedialah untuk menyaksikan detik yang akan mengubah segalanya, kerana di dalam Infinity Castle, hanya keberanian yang mampu menerangi jalan pulang.

Comments
* The email will not be published on the website.