Langkah sebuah malam akan ditandai cahaya purnama, saat tiga pemuzik dari dua tanah air berpadu dalam satu pentas bergelar Panggung Purnama. Bertempat di Zepp Kuala Lumpur pada 28 September 2025 ini, konsert sulung anjuran UdaraLaskhar menjanjikan getar rasa yang sukar dilupakan, menampilkan Pamungkas dan Bilal Indrajaya dari Indonesia, serta Fugo sebagai suara kebanggaan Malaysia.
Bagi Fugo, kesempatan kembali sepentas dengan kedua sahabat senada ini bagaikan sebuah reunion penuh makna. “Rasanya seperti pulang ke rumah, kerana muzik selalu menemukan kita di titik paling jujur,” ujar mereka dengan senyuman, seolah -olah mengingatkan bahawa persahabatan dalam muzik tidak pernah mengenal sempadan.
Sebagai headliner, Pamungkas menyiapkan sebuah persembahan istimewa. Bukan hanya menyanyikan lagu-lagu yang telah lama bersemi di hati peminat, beliau juga memilih Panggung Purnama sebagai detik pertama untuk memperdengarkan single terbaharunya, Sambung, yang akan dilancarkan secara rasmi pada 12 September 2025. “Judulnya Sambung. Lagu ini akan saya hadiahkan pertama kali secara langsung di Panggung Purnama. Semoga ia benar-benar menghubungkan saya dengan hati pendengar,” kata Pamungkas dalam temu bual maya dari Bijou Cafe, Ara Damansara.
Tidak ketinggalan, pertanyaan tentang kemungkinan Pamungkas bergabung dengan Bilal Indrajaya untuk menggantikan Noh Salleh dalam lagu Yang Tercinta dijawabnya dengan tenang, “Ya, itu perlu saya minta izin dulu kepada Noh Salleh.” Bilal pula sudah pun menyulam persiapan dengan penuh teliti. Sama seperti Fugo, beliau ingin momen ini menjadi lebih daripada sekadar konsert; ia adalah ruang untuk mencipta memori yang akan tinggal lama dalam benak peminat. Bagi Bilal, sebuah persembahan yang jujur adalah doa yang tersampaikan tanpa kata, dan di atas pentas itulah segala doa akan bersatu dengan melodi.
Pihak penganjur optimis bahawa Panggung Purnama mampu bersinar walau September dihujani pelbagai konsert besar. “Pamungkas, Bilal Indrajaya dan Fugo masing-masing punya kekuatan tersendiri. Kami percaya Panggung Purnama akan meninggalkan gema indah,” kata John Labu, wakil UdaraLaskhar. Tambahnya lagi, semangat para pemuzik ini memberi keyakinan bahawa konsert tersebut bakal menjadi ruang saksi lahirnya kenangan baharu buat ribuan penonton.
Bagi yang ingin hadir, promosi Beli Dua Tiket, Dapat Diskaun 13% menggunakan kod MDKDUO boleh dinikmati bermula 27 Ogos hingga 1 September 2025. Tiket masih tersedia dalam beberapa kategori: Bintang (RM179), Langit (RM199), Awan (RM249), Bumi (RM239) dan Purnama (RM399), boleh diperoleh melalui www.ilassotickets.com.
Dan tatkala tirai malam di Zepp Kuala Lumpur terangkat, yang hadir bukan sekadar menyaksikan sebuah persembahan, melainkan merasai penyambungan jiwa melalui harmoni. Sebuah malam yang dijanjikan sarat cahaya, gema, dan rasa, Panggung Purnama menunggu untuk menyambung benang antara muzik dan jiwa.