Sesekali, sebuah filem bukan hanya bicara visual atau aksi mendebarkan, tetapi gema sunyi di antara babak, getaran suara yang tidak terucap, hadir melalui muzik. Begitulah dua trek runut bunyi yang selama ini tersembunyi dari Ejen Ali The Movie 2, kini mula meniti tangga carta digital, satu demi satu, seolah menyeru jiwa-jiwa yang pernah dilukis oleh filem itu sendiri.
Disulam dari gabungan minda kreatif seperti Hakim Kamal, Fai HK, Kayrol Ami dan Rezavebrian, lagu "Some Other Day" nyanyian FUGO berdendang lembut seperti bisikan masa lalu. Bukan hanya melodi yang menenangkan, tetapi bait-bait liriknya persis memeluk kenangan, tentang rakan seperjuangan, tentang perpisahan yang datang tanpa amaran, tentang janji-janji yang pernah kita pegang dengan kedua tangan. Ketika suara FUGO meluncur dalam korus "Dan kita akan okay, and we will be alright", ia bukan sekadar ayat penyedap hati, tetapi sebuah pengakuan sunyi bahawa meski dunia berubah arah, sesetengah hubungan tetap kekal utuh dalam jiwa.
Satu penghormatan penuh rasa terhadap lagu klasik yang pernah dipopularkan oleh Dato’ M. Nasir, versi recode ini membawa roh baharu yang lebih kontemporari dan bersahaja. Puteri Khareeza dan Kai Deva adalah dua permata dari pelantar bakat Alternate Records & Talents menyampaikan emosi dengan kelembutan yang nyaris magis. Susunan muzik oleh Omar K dan Raja Syafiq memperhalus semula karya Azri Yunus dengan nuansa lebih mellow, menjemput pendengar menyelami emosi dalam tenang.
Lagu "Hanya Kamu" dari Omar K & Raja Recode (feat. Puteri Khareeza & Kai Deva) ini bukan sahaja sesuai buat saat-saat larut malam, malah seperti pelindung suara bagi hati yang mahu beristirahat dari hiruk-pikuk dunia. Kedua-dua lagu ini bukan sahaja menyambung naratif Ejen Ali The Movie 2, malah memperluas semesta emosinya. Ia membuka pintu memori dan menjemput kita masuk. Duduk, dengar, dan rasai kembali magis sebuah perjalanan yang jauh lebih mendalam daripada sekadar misi rahsia.
Dengarkan "Some Other Day" dan "Hanya Kamu" di semua platform digital utama. Biarkan mereka menjadi latar suara kepada nostalgia yang belum selesai. Misi belum berakhir. Terus sokong Ejen Ali The Movie 2 yang kini masih menemui penonton di pawagam, dan unlock fasa seterusnya, bukan sahaja dalam jalan cerita, tetapi dalam hati kalian semua.