oleh: zizi hashim
01 Aug
01Aug

Luruhnya sepi dalam jiwa barangkali bakal terubat pada malam itu, ketika langit Kuala Lumpur mendakap cahaya purnama yang lain macam terangnya. Bukan bulan yang tergantung di langit, tetapi sinaran tiga pemuzik yang kian menyalakan rasa: Pamungkas, Fugo dan Bilal Indrajaya, trio yang tak perlu digilap lagi auranya. Di tangan UdaraLaskhar, konsert Panggung Purnama bukan hanya pertemuan suara dan nada. Ia seumpama mantera yang ditiup ke dalam nadi, menyatu dengan debar penonton yang sedia menunggu malam magis itu, 28 September 2025, di Zepp Kuala Lumpur.

Di bawah bayang lampu Zepp yang biasanya bergemuruh dengan sorakan, kali ini kita akan mendengar sesuatu yang lebih halus, lebih dalam. Suara-suara yang membelai luka, yang menjahit kembali jiwa yang koyak perlahan-lahan. Pamungkas, penyanyi dan penulis lagu dari Indonesia yang pernah menundukkan ribuan perasaan dengan To The Bone, bakal hadir buat pertama kali secara solo di Kuala Lumpur. Tidak sekadar bintang pop alternatif, dia adalah perakam rasa, pembaca jiwa, dan pencerita sunyi yang berjaya menyentuh hati tanpa perlu berteriak.

Sementara itu, Fugo, kugiran tanah air yang saban hari kian bersinar akan memikul tugas membuka malam dengan karya-karya yang sudah menjadi lagu tema kehidupan ramai. Dari Lagu Balada Kala Hujan yang mendayu seolah-olah hujan turun dalam dada, hinggalah As Long As We Stay yang menjadi puisi ketahanan cinta, Fugo bukan sekadar pembuka pentas, mereka adalah penyambut rasa.

Tidak cukup dengan dua, datang pula Bilal Indrajaya, seniman yang selalu muncul dengan aura waktu lampau, menyanyi seolah-olah dari bilik paling dalam dalam diri kita. Bilal bukan penyanyi konvensional, dia membawa kita masuk ke dalam kabin perasaan yang redup, mendayu, dan sukar dilupakan. Lagu-lagunya seperti Niscaya atau Ruang Kecil menyimpan dunia kecil yang boleh runtuh hanya dengan sebaris lirik.

Menurut John Labu, pengasas UdaraLaskhar yang menganjurkan malam ini, gabungan tiga nama ini bukan kebetulan, tapi hasil kurasi bertahun. “Panggung Purnama kali ini berasaskan satu falsafah: untuk mereka yang sedang sunyi, yang sedang kuat, dan yang ingin jatuh cinta semula dengan perasaan sendiri,” ujar John, yang juga penyair separuh masa. Tiket-tiket sudah pun mula dijual melalui www.ilassotickets.com, dengan kategori:

  • Bintang (RM179)
  • Langit (RM199)
  • Bumi (RM239)
  • Awan (RM249)
  • Purnama (RM399)

Harga mungkin berbeza, tetapi rasa yang dijanjikan tetap sama. Malam yang membuat kita pulang sebagai versi diri yang sedikit lebih jujur dan sedikit lebih sembuh.Mereka bertiga tidak datang hanya untuk menyanyi. Mereka datang untuk menemani kita menangis tanpa perlu menjelaskan mengapa. Melepaskan malam ini, ibarat membiarkan cinta pergi sebelum sempat dirasa. Kerana Panggung Purnama bukan hanya konsert, ia sebuah luahan jiwa, bisikan hati dan upacara rindu yang telah lama tertangguh.

Comments
* The email will not be published on the website.