oleh: zizi hashim
04 Oct
04Oct

Langkah seorang penyanyi muda seringkali penuh kejutan, dan bagi Najmi Niery, tuah itu hadir lewat sebuah korus yang sederhana. Rezeki mengetuk pintu lewat lagu ciptaan dan nyanyiannya, ASING, kini diangkat sebagai runut bunyi rasmi drama popular 'Hospital Loveline' di slot Akasia TV3, sekaligus menjadi titik bersejarah dalam perjalanan kariernya yang masih hijau.

Bagi seorang penyanyi baharu yang masih bertatih dalam industri, ini bukan sekadar peluang, tetapi detik bersejarah yang merakamkan namanya di antara karya besar. Najmi sendiri mengaku tidak menyangka. Lagu yang pernah “terperam” selama dua tahun itu asalnya mahu diberi kepada artis lain, sama ada dari Malaysia mahupun Indonesia. Namun hanya dengan mendengar bahagian korus, pihak TV3 jatuh hati.

Dari situlah, Najmi segera menyiapkan keseluruhan lagu ini bersama dua sahabat pemuziknya, menukar sebuah demo ringkas menjadi karya penuh jiwa. “Kalau mengikut idea asal, ASING sebenarnya lebih rancak,” katanya, tersenyum. “Tetapi bila ditugaskan untuk dijadikan OST, kami sengaja melunakkannya, menjadikannya lebih santai dan tenang, agar benar-benar sejiwa dengan nadi cerita Hospital Loveline.”

Tema ASING menyentuh inti rasa yang universal iaitu kehilangan. Tentang seseorang yang tiba-tiba merasa janggal, seakan terdampar di dunia yang asing setelah insan tersayang tiada. Dahulu ada kerusi yang terisi di meja makan, kini kosong. Dahulu ada gelak tawa berdua, kini hanya sunyi yang berbicara. Namun Najmi menekankan bahawa rasa asing itu bukan kejanggalan semata-mata. Ia adalah lumrah, sesuatu yang dialami hampir setiap hati, satu proses untuk menerima bahawa cinta yang hilang masih boleh hidup dalam kenangan.

Kejujuran tema ini terasa dekat, membuat ASING berdiri berbeza dengan single-single Najmi sebelum ini. Kalau dahulu karyanya lebih perlahan dan galau, kali ini dia memilih nuansa lain: sebuah lagu rancak namun tetap easy listening, berunsur akustik, ringan tetapi tidak kosong, tenang tanpa kehilangan kedalaman. Ia sebuah keberanian untuk keluar dari zon selesa, sekaligus bukti evolusi seorang anak seni yang tidak mahu terikat dengan formula lama.

Bagi Najmi, peluang ini adalah lebih daripada sekadar pencapaian kerjaya. “Saya anggap ia suatu penghormatan. Ini kali pertama lagu ciptaan saya dijadikan OST, dan saya sangat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menyumbang sesuatu yang mungkin menyentuh jiwa penonton Hospital Loveline,” ujarnya penuh syukur.

ASING hadir hasil kerjasama Alternate Records Sdn Bhd, Naj&CO, dan Malika Entertainment, dengan edaran oleh Universal Music Malaysia. Kini ia sudah boleh didengar di semua platform digital, dari Spotify hingga Apple Music, sementara visualizer rasminya tersedia di saluran YouTube Najmi Niery.

Lagu ini tidak hanya menemani perjalanan watak-watak dalam drama, tetapi juga menjadi gema kepada mereka yang sedang berjuang dengan sunyi. Kerana pada akhirnya, rasa asing yang datang selepas kehilangan bukanlah kelemahan, tetapi bahasa lain untuk mengingat bahawa kita pernah dicintai dengan sepenuh hati.

Comments
* The email will not be published on the website.