Secebis ketakutan mula menjalar ketika majlis Tayangan Perdana Menjelang Maghrib 2 bergema di TGV Cinema One Utama pada malam 17 November 2025. Hawa dingin pawagam malam itu terasa seperti petanda awal kepada kengerian yang bakal menunggu penonton, apabila filem ini menghuni semua pawagam Malaysia kelak. Kembali ke latar 1920-an, kisahnya memulihkan kembali trauma lama tentang wanita yang dipasung, tema yang pernah menggoncang jiwa penonton lewat filem pertamanya, namun kali ini diolah dengan lebih muram, lebih pekat, dan lebih menyentuh jiwa.
Kemeriahan Tayangan Perdana Menjelang Maghrib 2 turut diserikan oleh kehadiran sang sutradara, Helfi C.H. Kardit, yang tampil dengan aura tenang tetapi sarat cerita. Dari raut wajahnya sahaja sudah tergambar betapa filem ini bukan hanya karya seni, tetapi sebahagian daripada sejarah peribadinya. Kisah pasung yang pernah dilihatnya sewaktu membesar di Sumatera, yang kemudian menjelma menjadi inspirasi mendalam untuk naskhah ini. Turut hadir ialah pelakon utamanya, Aditya Zoni, figura popular Indonesia yang turut dikenali oleh peminat Malaysia. Kehidupannya pernah menjadi perhatian ramai ketika mendirikan rumah tangga bersama model kelahiran Malaysia, Yasmin Ow, sebelum berpisah. Kehadirannya pada malam itu membawa lapisan emosi yang unik, seolah-olah riwayat peribadinya sendiri memberi gema kepada karektor Giandra yang penuh tekad dan kerentanan.



Pengarahnya, Helfi C.H. Kardit, memilih untuk terus setia pada tema pasung kerana ia bukan hanya elemen cerita, ia adalah luka peribadi yang pernah disaksikannya sewaktu tinggal di sebuah daerah di Sumatera. Ada wajah yang terkurung, ada tubuh yang dirantai demi ‘rawatan’, dan ada stigma yang melekat tanpa belas kasihan. Semua itu dibawa masuk ke dalam alam Menjelang Maghrib 2, menghidupkan sebuah naratif yang menggabungkan horor, budaya, kepercayaan mistik, dan trauma sosial.
Karya susulan ini sebenarnya bukan kesinambungan langsung, tetapi spin-off yang menyelami amalan pasung sebagai kaedah rawatan gangguan mental pada masa kolonial Belanda atau Hindia Belanda sekitar tahun 1920. Elemen sejarah itu menjadikan filem ini terasa seperti manuskrip gelap yang ditemui semula. Setiap babak dihias dengan unsur tahyul, budaya tempatan, dan ketidakseimbangan sosial sewaktu negara masih dipijak penjajah. Deretan pelakon seperti Aditya Zoni, Ajeng Fauziah, Muthia Datau, Aisha Kastolan, dan Aurelia Lourdes menguatkan naratif, sementara watak-watak sampingan menambah lapisan konflik yang membentuk dunia Desa Karuhun, desa yang terletak di kaki gunung, sunyi namun sarat misteri.



Di tengah kekacauan mitos, perubatan tradisional, dan kehadiran kolonial, berdirilah Giandra seorang doktor muda lulusan STOVIA yang menemukan berita tentang seorang gadis bernama Layla yang dipasung oleh keluarganya. Dipandu rasa ingin tahu dan prinsip perubatan moden, Giandra berangkat ke desa itu, hanya untuk mendapati dunia yang lebih gelap daripada yang pernah dibayangkannya. Layla menjadi nadi cerita, sementara Rikke, wartawan kacukan Belanda-tempatan, membuka pintu kepada kisah yang menghubungkan trauma peribadi dengan sejarah kolektif.
Menjelang Maghrib 2 bukan hanya seram. Ia menghadirkan getaran budaya, kepercayaan magis yang mencabar logik, dan pertanyaan tentang kuasa yang memerangkap wanita dalam pasungan atas nama rawatan. Ia mengingatkan kita bahawa ketakutan kadang terbit daripada tangan manusia sendiri. Sewaktu filem pertama mencatat kutipan hampir RM2 juta di Malaysia pada 2022, Helfi kini menyimpan harapan yang sama agar sambungan ini mencuri perhatian peminat filem seram. Reaksi penonton Indonesia sejak 4 September lalu jelas positif, satu bukti bahawa kisah gelap Layla dan Giandra masih relevan, masih menakutkan, dan masih menikam hati.

Menjelang 20 November 2025, bersedialah untuk kembali ke masa silam, masa yang tidak pernah selesai menuntut pengakuan.