Sunyi kadangkala lebih menakutkan daripada jeritan. Ada sesuatu tentang ilmu hitam yang membuat manusia tidak pernah benar-benar berani memandangnya terlalu lama. Seolah-olah setiap nama yang disebut mampu membuka pintu kepada sesuatu yang tidak sepatutnya disentuh. Dari kegelisahan itulah Polong hadir membawa ketakutan yang terasa lebih dekat, lebih kelam dan lebih mengganggu emosi berbanding filem seram biasa.
Menjelang tayangan rasminya di pawagam seluruh negara pada 28 Mei 2026, filem arahan Zulkarnain Azhar itu mula mencetuskan fenomena tersendiri di media sosial selepas pelancaran poster dan trailer rasminya pada 7 Mei lalu. Ruang digital dibanjiri pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya mengakui rasa meremang, tidak selesa dan terganggu hanya selepas menonton beberapa minit sedutan rasmi filem tersebut.

“Baru trailer dah meremang.”
“Trailer pun dah goosebumps. Hope filemnya memang tak mengecewakan.”
Itu antara komen yang mula tular dan dikongsi semula pengguna media sosial, memperlihatkan bagaimana aura gelap Polong sudah mula menghantui penonton sebelum filemnya sendiri ditayangkan. Malah ada yang menyifatkan filem tersebut sebagai “wajib tonton” buat peminat genre seram tempatan, terutama selepas melihat gabungan visual disturbing, elemen gore dan atmosfera sinematik yang terasa lebih berat dan tidak selesa berbanding kebanyakan filem horror biasa.
Berbeza daripada naskhah seram tipikal yang hanya bergantung kepada jumpscare, Polong memilih pendekatan lebih gelap dan psikologikal dengan menggabungkan unsur mistik, jenayah dan trauma manusia dalam satu naratif yang perlahan-lahan menghimpit emosi penonton. Dari poster rasminya sahaja, dunia Polong sudah terasa seperti ruang yang dipenuhi rahsia lama, legasi dosa silam dan ketakutan yang tidak pernah benar-benar mati.

Diterbitkan oleh Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB), filem ini turut mendapat sokongan pengedaran daripada 10 Star Cinemas Sdn Bhd bersama kerjasama pemasaran oleh Primeworks Studios. Menguatkan lagi dunia menyeramkan tersebut ialah barisan pelakon seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Jun Lojong, Namron dan Nadiya Nisaa yang masing-masing membawa lapisan emosi tersendiri dalam dunia penuh gangguan tersebut.
Filem ini mengisahkan Fatima, seorang wartawan muda bercita-cita tinggi yang tanpa sengaja membongkar kisah silam Maria Hadi, seorang bomoh wanita bersiri yang pernah cuba menebus dosa di penghujung hayatnya. Namun pencarian terhadap kebenaran itu perlahan-lahan membuka sesuatu yang jauh lebih berbahaya daripada jenayah manusia biasa. Semakin Fatima menyelami masa lalu Maria, semakin banyak rahsia gelap mula muncul. Dan tanpa disedari, dia telah membebaskan satu entiti yang selama ini dipelihara dan cuba dikawal oleh Maria sendiri. Dari situlah dunia Fatima mula berubah menjadi mimpi ngeri yang tidak lagi mampu dijelaskan dengan logik manusia biasa.
Yang membuat Polong terasa lebih mengganggu adalah bagaimana filem ini bermain dengan ketakutan yang dekat dengan budaya dan kepercayaan masyarakat tempatan. Ilmu hitam dalam naskhah ini tidak dipersembahkan sebagai sekadar legenda lama, tetapi sesuatu yang terasa hidup, kotor dan terlalu dekat dengan realiti manusia. Visual gelap, bunyi menyeramkan dan atmosfera penuh tekanan menjadikan trailer rasmi filem ini mula dianggap antara promosi filem seram tempatan paling kuat tahun ini.
Ramai juga percaya Polong berpotensi menjadi antara filem seram tempatan paling keras dan disturbing untuk 2026. Dan jika beberapa minit trailer sahaja sudah cukup membuat ramai tidak senang duduk… mungkin pawagam nanti bakal menjadi tempat di mana ketakutan sebenar mula hidup. Bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 28 Mei 2026.