oleh: zizi hashim
29 Jan
29Jan

Sorakan senyap penonton tempatan bergema jauh melangkaui layar perak apabila The Voice of Hind Rajab mencipta pencapaian luar jangka. Selepas 21 hari tayangan, Malaysia muncul sebagai negara ketiga tertinggi dunia dari segi jumlah tontonan, hanya berada di belakang Perancis dan Itali, malah mengatasi Belgium serta Sepanyol. Angka ini bukan kebetulan, sebaliknya terhasil daripada gelombang empati yang bergerak dari hati ke hati.

Lebih 60,000 tiket terjual di seluruh negara dalam tempoh tiga minggu tayangan, sekali gus mengukuhkan sokongan kolektif rakyat Malaysia menerusi Gerakan Suara Malaysia. Tayangan di 47 lokasi pawagam mencatat peningkatan konsisten dari hari ke hari, memperlihatkan keinginan penonton tempatan untuk mendekati karya yang mengangkat nilai kemanusiaan sejagat secara jujur dan berani.

Pencapaian ini turut mengangkat reputasi The Voice of Hind Rajab di pentas antarabangsa. Momentum yang terbina bukan sekadar soal statistik, tetapi mencerminkan keterbukaan audiens Malaysia terhadap naskhah sinema yang mengajak renungan, bukannya hiburan kosong. Kesedaran awam yang semakin melebar dijangka terus menyemarakkan sokongan terhadap filem ini sepanjang minggu terakhir tayangan.

Naskhah berteraskan kisah benar ini diterbitkan oleh Mime Films dan Tanit Films, dengan Primeworks Studios bertindak sebagai pengedar serta rakan pemasaran rasmi di Malaysia. Sentuhan pengarahan Kaouther Ben Hania, pengarah tersohor dari Tunisia yang dikenali dengan penceritaan bernuansa kemanusiaan dan keberanian artistik, memberi roh yang mendalam pada setiap bingkai visual.

Barisan pelakon antarabangsa seperti Saja Kilani, Motaz Malhees, Amer Hlehel dan Clara Khoury menyampaikan naratif ini dengan kejujuran emosi yang menggugah, menjadikan kisah Hind Rajab terasa dekat, meskipun latarnya jauh. Setiap watak dipersembahkan tanpa retorik berlebihan, sebaliknya membiarkan emosi berbicara dengan tenang namun menikam rasa.

Lebih istimewa, setiap tiket yang terjual membawa makna nyata apabila Media Prima menyumbangkan RM1.00 daripada bahagiannya ke Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima. Sokongan ini menjadikan pengalaman menonton bukan sekadar apresiasi seni, tetapi satu bentuk solidariti yang boleh dirasa dan dikira.

The Voice of Hind Rajab berdiri sebagai rakaman sejarah, suara yang enggan dipadam, serta peringatan bahawa sinema mampu menjadi wadah empati yang melangkaui sempadan bahasa dan negara. Minggu terakhir tayangan membuka ruang buat penonton yang belum melangkah ke pawagam untuk menjadi sebahagian daripada suara kolektif ini, suara yang lahir daripada kemanusiaan, kehilangan dan harapan yang tidak pernah padam.

Comments
* The email will not be published on the website.