oleh: zizi hashim
30 Oct
30Oct

Membuka tabir tentang sumpah dan cinta yang tertinggal di antara dunia manusia dan roh laut, filem terbaharu terbitan Astro Shaw diberi judul Malam Terlarang ini menghidupkan kembali ritual dan mitos yang nyaris lenyap ditelan arus zaman: kisah puja pantai dan legenda dewi laut bernama Pamakbul. Sosok mistik yang menjadi legenda di sepanjang pesisir Nusantara. Tidak sekadar menjanjikan remang seram, tetapi sebuah upacara visual yang mempertautkan ketakutan, dosa dan cinta dalam satu lingkaran takdir.

Malam 28 Oktober telah berlangsung dengan meriahnya tayangan perdana Malam Terlarang di GSC Mid Valley dan layar besar itu menjadi saksi kepada karya yang begitu menawan. “Bukan kerana saya berada di dalamnya, tapi sungguh, filem ini indah dan menggetarkan,” ujar Shasha Abedul seusai tayangan. “Setiap bingkai terasa hidup. Emosinya, seninya, semuanya berpadu dengan begitu sempurna. Saya benar-benar bersyukur menjadi sebahagian daripadanya.”

Filem arahan sutradara Nurhanisham Muhammad, atau lebih dikenali sebagai Labu, ini merupakan debut sulungnya sebagai pengarah filem panjang selepas kejayaan beliau sebagai pengarah fotografi dan penerbit drama premium X-Change. Melalui Malam Terlarang, Labu menghadirkan dunia yang diselubungi kabus spiritual dan realiti sosial yang menggigit. Sebuah karya yang tidak sekadar menggerunkan, tetapi juga menggetarkan perasaan dengan kemanusiaan yang kompleks.

Berlatarkan tahun 1980-an, kisah ini berpusat pada Mawar (lakonan Shasha Abedul), seorang gadis berusia 18 tahun dari Kampung Pasir Larung. Mimpinya menjadi wartawan terhenti apabila dia perlu menjaga ibunya, Sarimah (lakonan Sofia Jane), sementara bapanya, Omar (lakonan Zul Ariffin) sibuk mendaki tangga politik. Namun segalanya berubah selepas kematian misteri kakaknya, Safar. Gangguan mistik dan kejadian ganjil mula menghantui hidupnya, mendorong Mawar untuk menyelami rahsia yang terkubur di antara dosa dan darah keluarganya sendiri.

Shasha menghidupkan watak Mawar dengan energi yang luar biasa. Tidak lagi sekadar mangsa kepada kuasa ghaib, tetapi sosok wanita muda yang berani menyoal makna ketakutan itu sendiri. “Saya pernah berlakon dalam banyak filem seram,” katanya, “tetapi pengalaman kali ini benar-benar berbeza. Ia menyentuh sisi emosi dan spiritual yang tidak pernah saya alami.”

Zul Ariffin pula mempersembahkan watak Omar dengan perubahan fizikal dan emosi yang menonjol, manakala Sofia Jane tampil buat pertama kali sebagai teraju utama filem seram selepas lebih dua dekad meninggalkan layar besar. “Saya memang peminat tegar genre seram,” ujar Sofia yang kali terakhir muncul dalam Susuk (2008). “Tetapi yang menarik tentang Malam Terlarang ialah ia tidak berhenti pada ketakutan, ia berbicara tentang jiwa manusia, politik, dan bagaimana kita berpura-pura sempurna di hadapan dunia.”

Menambah warna dalam barisan pelakon ialah Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Amir Nafis, Haneesya Hanee, Aila Azizul, dan Sadiq M. Jamil di mana masing-masing menghadirkan lapisan emosi dan tenaga yang memperkukuh struktur cerita.

Seperti dijelaskan oleh Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw merangkap penerbit eksekutif, “Genre seram sentiasa mendapat tempat di hati penonton, tetapi Malam Terlarang membawa sesuatu yang lebih asli. Ia diinspirasi dari ritual pantai dan kepercayaan masyarakat Nusantara, unsur yang jarang disentuh dan kini diangkat dengan keindahan sinematik.”

Filem ini menjalani penggambaran di Pantai Morib dan Kuala Selangor, di tengah paya bakau dan pesisir laut yang menawan namun di situlah juga cabaran sebenar bermula. Ketika penggambaran ritual pantai, ribut datang tiba-tiba dan produksi terpaksa berhenti. Keesokan harinya, seorang bomoh dipanggil untuk “menenangkan laut” sebelum kamera kembali berputar.

Keajaiban teknikal filem ini turut terserlah melalui kolaborasi dengan pasukan VFX dari Indonesia yang pernah mengerjakan Qodrat dan Sri Asih. Muziknya pula disulam oleh MonoloQue, dengan alunan gamelan Pahang dan vokal Mak Yong oleh Zamzuriah Zahari, menjadikan setiap detik terasa magis, seolah roh Pamakbul sendiri sedang menari di antara bunyi ombak.

Malam Terlarang bukan hanya filem seram, ia adalah renungan tentang obsesi dan kerakusan manusia. Ia mempersoalkan apa yang terjadi bila manusia menukar Tuhan dengan keinginan sendiri, bila kasih bertukar menjadi sumpahan. Filem ini akan mula menghantui pawagam seluruh Malaysia dan Brunei pada 30 Oktober, dan sudah pun mencatat tayangan awal di Kemboja pada 27 Oktober.

Ketika musim Halloween berlabuh, biarlah Malam Terlarang menjadi kisah yang menggoncang bawah sedarmu, tentang cinta, sumpah, dan laut yang tidak pernah tidur. Kerana setiap ombak menyimpan rahsia, dan setiap rahsia menuntut untuk didengar.

Comments
* The email will not be published on the website.