Gelora muzik serumpun bakal kembali membanjiri Kuala Lumpur Ogos ini apabila Latihan Pestapora Malaysia 2026 secara rasmi mengumumkan barisan penuh artis yang bakal menjayakan festival rentas budaya paling dinanti-nantikan tahun ini. Selepas mencetuskan keterujaan luar biasa menerusi jualan “Blind Sale Tickets” sebelum ini, festival anjuran Hitman Solutions dan Boss Creator akhirnya tampil dengan gabungan nama besar dari Malaysia dan Indonesia yang cukup dekat di hati peminat muzik Nusantara.
Dijadual berlangsung pada 15 Ogos 2026 di Stadium Hoki Nasional, festival ini kembali dengan skala lebih besar, lebih meriah dan lebih emosional. Bukan sekadar sebuah acara muzik biasa, tetapi sebuah ruang yang meraikan identiti budaya serumpun menerusi muzik, kolaborasi dan pengalaman festival yang lebih menyeluruh. Membawa semangat asal Pestapora dari Indonesia, edisi kali ini bakal menampilkan barisan artis popular seperti Tulus, Juicy Luicy, Bernadya, Mahalini, Maliq & D’Essentials, Rhoma Irama bersama Soneta Group, Nadhif Basalamah dan Romantic Echoes sebagai antara nama utama yang paling dinanti-nantikan peminat tempatan.



Dari Malaysia pula, festival ini menghimpunkan generasi baharu muzik tempatan menerusi kemunculan Aisha Retno, Aziz Harun, Gerhana Skacinta, Masdo, Insomniacks dan FUGŌ yang bakal membawa gabungan persembahan solo dan kolaborasi eksklusif sepanjang festival berlangsung. Namun apa yang benar-benar membuat Latihan Pestapora Malaysia 2026 terasa lebih istimewa adalah konsep kolaborasi rentas generasi dan genre yang menjadi identiti utama festival ini.
Antara persembahan eksklusif yang diumumkan termasuk gabungan Rhoma Irama bersama Maliq & D’Essentials, kolaborasi Masdo dan Gerhana Skacinta serta persembahan khas Nadhif Basalamah bersama Aziz Harun dan Aisha Retno yang dijangka menjadi antara momen paling dinanti malam tersebut. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal, sambutan luar biasa terhadap jualan tiket fasa awal membuktikan bahawa festival rentas budaya seperti ini semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tempatan.



“Membawa Latihan Pestapora ke Malaysia merupakan satu pencapaian besar buat kami. Ia bukan sahaja kejayaan dari sudut penganjuran, tetapi juga satu kejayaan budaya,” katanya. Tambah beliau lagi, kejayaan jualan “Blind Sale Tickets” menjadi bukti bahawa peminat Malaysia mempunyai keyakinan besar terhadap pengalaman festival yang dibawa oleh jenama Pestapora.
Dalam masa sama, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keerand D menjelaskan bahawa pihak penganjur mahu memastikan pengalaman festival tahun ini benar-benar lebih baik dan bermakna buat pengunjung. “Kami mahu barisan artis tahun ini benar-benar mencerminkan apa yang peminat ingin lihat dan alami sendiri, bukan sekadar besar dari segi nama tetapi juga bermakna dari segi pengalaman,” jelasnya.



Beliau turut mendedahkan bahawa edisi 2026 bakal menampilkan beberapa penambahbaikan termasuk penyediaan stesen air percuma di seluruh kawasan festival selain pengalaman festival yang lebih selesa berbanding edisi terdahulu. Sementara itu, Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup menyifatkan Latihan Pestapora sebagai sebuah gerakan budaya yang semakin berkembang di rantau ini.
“Kami melihat bagaimana peminat Malaysia sanggup ke Jakarta setiap tahun untuk merasai pengalaman Pestapora. Melalui Latihan Pestapora, kami mahu membawa semangat dan pengalaman itu lebih dekat dengan mereka,” ujarnya. Festival ini turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Perbadanan Stadium Malaysia, Warrior, Sunway Putra Hotel serta rakan media dan radio seperti ERA FM, HITZ FM, MIX FM dan Sinar FM. Tiket rasmi kini boleh didapati menerusi laman:
Latihan Pestapora Malaysia


Dan mungkin untuk satu malam nanti, Stadium Hoki Nasional bukan sekadar menjadi lokasi festival biasa… tetapi berubah menjadi ruang besar tempat muzik Malaysia dan Indonesia kembali menyatu dalam semangat serumpun yang sukar dijelaskan dengan kata-kata. Jumpa di sana!