Merdeka yang baru saja kita raikan seolah mendapat sambungan gema baharu, kali ini melalui nyanyian yang lahir dari jiwa suci Qawwali. Pada 1 November 2025, pentas Idea Live Arena, 3 Damansara bakal menjadi saksi kepada sebuah malam yang dijangka penuh takzim. Ustad Rahat Fateh Ali Khan, maestro Qawwali dunia, kembali mengalunkan magisnya di Malaysia. Lebih indah lagi, buat pertama kalinya beliau akan berkongsi pentas bersama darah dagingnya sendiri, Shahzaman Ali Khan, menandai kelahiran bab baru dalam salasilah muzik keluarga Khan yang agung.
Nama Rahat sudah sebati dengan keindahan rohani dan lenggok sufi yang menusuk jiwa. Mewarisi sentuhan agung bapa saudaranya, Ustad Nusrat Fateh Ali Khan, Rahat menjelma sebagai ikon sufi dan penyanyi Bollywood playback paling berpengaruh, dengan karier yang merentang lebih tiga dekad. Dari arena penuh sesak di pelbagai benua, hingga ke layar perak dengan lagu-lagu ikonik, suaranya telah menembusi sempadan, menyatukan penggemar muzik tradisional dan pengikut sinema kontemporari.
Dibesarkan dalam bayangan dan cahaya bapa saudaranya, legenda tak terganti Ustad Nusrat Fateh Ali Khan, beliau bukan sahaja menjaga warisan, tetapi membentuk dirinya sebagai suara sufi paling berpengaruh zaman moden. Lebih tiga dekad, Rahat mengisi ruang konser dengan sold-out, menghidupkan festival besar, bahkan menyulam suaranya dalam nadi Bollywood. Dari “O Re Piya” yang mendayu, “Teri Meri” yang romantis, “Mann Ki Lagan” yang melambungkan namanya, hinggalah ke “Afreen Afreen” dari Coke Studio yang mendunia. Setiap dendangan adalah gema yang merentasi generasi.
Namun, perjalanan ini kini memasuki bab baru. Bersama Shahzaman, darah dagingnya yang mewarisi semangat Qawwali, Rahat mengizinkan kita menyaksikan peralihan obor seni yang jarang dapat dilihat. Suara muda itu bukan sekadar pengulangan, tetapi tafsiran baharu terhadap tradisi, membawa roh Nusrat ke masa depan dengan nafas segar. Ayah dan anak ini di pentas yang sama, simbol kesinambungan, simbol cinta, simbol legasi.
April lalu, Singapura menjadi saksi. Lebih 5,000 peminat membanjiri The Star Theatre untuk persembahan selama tiga jam yang penuh qawwali, ghazal, dan lagu-lagu Bollywood. Sorakan dan air mata penonton membuktikan bahawa suara Rahat bukan hanya hiburan, tetapi pengalaman rohani yang menyentuh hingga ke dasar jiwa. Malam di Malaysia kelak dijangka lebih syahdu, kerana ia bukan hanya pertunjukan seni, tetapi pertemuan lintas generasi yang memadukan tradisi dengan masa depan.
CEO dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, sendiri menegaskan, “Sambutan luar biasa di Singapura benar-benar membuktikan kekuatan suaranya. Sebab itu kami mahu membawa pengalaman ini ke Malaysia, agar peminat di sini dapat menikmati keindahan asli qawwali.”
Sebagai tanda penghargaan, pemegang kad Mastercard diberikan keistimewaan lebih awal. Pra-jualan eksklusif dibuka mulai 2 September 2025, jam 11 pagi untuk tempoh 48 jam, manakala tempat duduk pilihan ditawarkan sepanjang bulan pertama jualan umum bermula 4 September 2025, jam 12 tengah hari di priceless.com. Tambah istimewa, tiga pembeli tiket terawal dalam tempoh pra-jualan akan menikmati pengalaman peribadi: bertemu artis secara dekat, peluang yang pasti menjadi memori seumur hidup.
Mulai 4 September 2025, jam 12 tengah hari, tiket umum akan dijual melalui www.hitmanlive.com dengan kategori harga berikut Bronze – RM199, Silver – RM259, Gold – RM299, Platinum – RM359, Diamond – RM399, VIP – RM499 dan VVIP – RM799. Malam itu dijanjikan sebagai satu perayaan suara. Qawwali abadi, ghazal penuh emosi, dan lagu Bollywood yang telah membekas dalam jiwa berjuta-juta manusia. Ia akan menjadi malam di mana Rahat dan Shahzaman menyalakan api warisan keluarga Khan, menghidupkan semula roh Nusrat, sambil menulis bab baharu dalam buku muzik dunia.
Konsert ini dianjurkan oleh Hitman Solutions, dengan Varnam sebagai rakan media rasmi, serta Raaga FM dan THR Gegar FM sebagai rakan radio rasmi. Untuk pertanyaan lanjut, hubungi +6012-2655783 atau e-mel ke concerts@hitman.group.