oleh: zizi hashim
17 Jul
17Jul

Segugus rasa akan disingkap, sehelai demi sehelai, saat dua nama besar dari Indonesia, Tulus dan Juicy Luicy, bertemu di satu panggung yang tidak sekadar menyuarakan muzik, tetapi memekarkan ilham. Pada tanggal 17 Ogos 2025, Kuala Lumpur bakal menjadi nadi kepada Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025, yang menjanjikan bukan hanya denting irama, tetapi juga lintasan jiwa yang mendalam.

Dipersiapkan dengan rapi oleh Expoindo dan disokong oleh penganjur tempatan Thrive, festival ini menghadirkan konsep yang tidak lazim. Satu ruang yang menghubungkan lagu-lagu dengan kisah di sebalik penciptaannya. RIF tidak menjanjikan kebisingan pesta, tetapi menawarkan refleksi melalui melodi, perjalanan yang mengizinkan hati bernafas perlahan di tengah-tengah huru-hara dunia yang terlalu cepat.

Nama Juicy Luicy, kumpulan pop alternatif yang telah menawan pendengar dengan karya seperti Lantas, Lampu Kuning dan Sialan, diumumkan lebih awal sebagai wajah utama festival. Mereka dijadualkan menyapa para peminat dalam slot malam bermula jam 7.30 malam, menjanjikan satu persembahan penuh letupan emosi dan cerita yang tidak pernah mati.

Sebulan kemudian, pengumuman kemunculan Tulus dalam barisan RIF memperkuat harapan. Penyanyi yang kerap menggauli tema kemanusiaan dan kelembutan ini akan tampil lebih awal, pada sesi petang bermula 1.30 petang, membawa nada-nada tenang yang menyelinap masuk ke benak dengan penuh kejujuran. Gabungan Tulus dan Juicy Luicy di dua ruang waktu berbeza seolah-olah membelah hari kepada dua babak, satu tenang, satu bergelora, dan kita diundang menjadi saksi kedua-duanya.

Menurut Bram Tulong, mewakili Expoindo, pemilihan nama ‘Ruang Inspirasi’ tidak sekadar branding, ia lahir dari hasrat untuk menyediakan tempat di mana muzik tidak hanya hadir untuk telinga, tetapi juga menyentuh batin. Lagu-lagu Juicy Luicy yang banyak bergelut dengan rasa kehilangan, kerinduan dan kenangan yang tertinggal di bahu, terbukti dekat dengan generasi muda Malaysia, yang sering mencari makna di sebalik bait lirik yang sederhana tapi dalam.

RIF bukan konvensi, ia percubaan berani untuk mendekatkan dua budaya melalui bahasa paling universal: muzik. Festival ini disusun bukan sahaja untuk menjadi platform hiburan, tetapi juga medan memperkuat hubungan serumpun Malaysia-Indonesia. Seperti yang disuarakan oleh Johnathon Wong dari BBO Events, RIF membawa misi menjadi jambatan budaya menghubungkan industri, mempertemukan hati, dan menyebarkan semangat positif ke seluruh rantau.

Malah, ada cita-cita lebih jauh. Expoindo kini merancang untuk memperluas RIF ke bandar-bandar utama lain di Malaysia, sebagai satu langkah membina komuniti muzik yang inklusif dan bernafas lintas sempadan. Sebuah platform serantau yang bukan sahaja mempertemukan pemuzik hebat, tetapi menyatukan jiwa-jiwa yang hauskan rasa yang lebih daripada sekadar hiburan.

Tiket untuk persembahan Tulus telah mula dijual sejak 17 Julai lalu, tersedia melalui aplikasi rasmi BBO EVENTS atau terus di www.ri-fest.com/kualalumpur. Beberapa kategori tersedia, antaranya VVIP (RM1028), VIP (RM628), Gold (RM458), Platinum (RM318) dan Silver (RM268). Untuk pemegang tiket Juicy Luicy, satu butang UPGRADE boleh ditekan dalam aplikasi yang sama bagi mendapatkan harga istimewa untuk sesi petang.

Apa yang ditawarkan oleh RIF 2025 bukan sesuatu yang kerap hadir dalam landskap konsert kita. Ia adalah festival yang menyulam lapisan rasa menggabungkan kekuatan puisi dalam lirik Tulus dengan kebisingan penuh emosi dari Juicy Luicy. Ia tentang meletakkan dua dimensi ke atas satu pentas dan membiarkan penonton memilih bagaimana mereka ingin disentuh.

Dan jika muzik itu punya wajah, maka RIF 2025 adalah wajah yang menatapmu tepat ke mata, sambil berkata: “Tak mengapa jika kamu belum utuh. Lagu-lagu ini akan memelukmu dulu.”

Comments
* The email will not be published on the website.