oleh: zizi hashim
24 Jun
24Jun

Derap langkah seorang badut jalanan lazimnya mengundang tawa. Di sebalik solekan yang menceriakan wajah kanak-kanak, tersimpan harapan untuk membawa pulang sedikit rezeki demi meneruskan kehidupan. Namun, tidak semua senyuman lahir daripada kebahagiaan. Ada yang menyembunyikan kesedihan, ada yang menutup luka, dan ada yang akhirnya berubah menjadi amarah yang tidak lagi mampu dibendung.

Di situlah Badut Gendong bermula. Filem terbaharu daripada Universe Qodrat ini tidak sekadar mahu menakutkan penonton dengan kelibat makhluk ghaib. Sebaliknya, ia membawa sebuah kisah yang jauh lebih mengganggu jiwa, tentang bagaimana kehilangan, kemiskinan dan ketidakadilan mampu melahirkan "raksasa" dalam diri manusia. Filem ini akan menemui penonton Malaysia bermula 25 Jun 2026.

Selepas kejayaan Qodrat (2022) dan Qodrat 2 (2025) yang berjaya membina kelompok peminat tersendiri di Malaysia, Badut Gendong memperluaskan dunia Universe Qodrat dengan pendekatan yang jauh lebih psikologikal dan emosional. Walaupun berada dalam universe yang sama, naskhah ini berdiri kukuh dengan identiti tersendiri melalui gabungan elemen seram, aksi, spiritual serta kritikan sosial yang jarang diberikan ruang dalam filem komersial. Di kerusi sutradara ialah Charles Gozali, pembikin filem yang memilih untuk membawa penonton keluar daripada formula seram konvensional.

Baginya, ancaman sebenar tidak semestinya datang daripada dunia ghaib. Sebaliknya, ia lahir daripada manusia yang terlalu lama memendam luka. Watak utama, Darso, merupakan seorang badut gendong, penghibur jalanan yang menyara kehidupan bersama isterinya, Darsi. Dalam serba kekurangan, pasangan ini masih menemukan kebahagiaan apabila mengetahui Darsi sedang hamil. Namun impian mereka musnah sekelip mata apabila sekumpulan penjenayah merompak dan membunuh Darsi dengan kejam. Dalam keadaan hati yang remuk, Darso membawa pulang jasad isterinya ke kampung halaman dengan meletakkannya di dalam kostum badut yang menjadi sumber rezekinya selama ini. Namun apa yang menanti di sana jauh lebih mengerikan

Ketika sebuah karnival tradisional sedang berlangsung, kekecohan tercetus akibat tindakan ganas seorang pemaju yang menindas penduduk kampung. Kekejaman itu membawa kepada sumpahan oleh bomoh kampung, Ki Kamboja, sebelum beliau dibunuh. Tanpa diduga, sumpahan purba tersebut merasuki jasad Darsi dan mengubah seluruh perjalanan Darso yang pada awalnya hanya mahu menuntut keadilan. Daripada seorang suami yang kehilangan segala-galanya, Darso perlahan-lahan berubah menjadi simbol kemarahan golongan bawahan yang terlalu lama dipinggirkan.

Menurut Charles Gozali, watak Darso sengaja dibina sebagai sisi gelap kepada Ustaz Qodrat. Kedua-duanya berkongsi luka yang sama iaitu kehilangan insan tersayang, namun memilih jalan yang berbeza. Seorang mempertahankan cahaya, manakala seorang lagi tenggelam dalam kegelapan. Pertembungan dua watak ini bakal menjadi asas kepada pengembangan Universe Qodrat pada masa akan datang. Penerbit Linda Gozali pula mengakui keputusan membina sebuah cross-universe merupakan langkah yang berani. Namun baginya, untuk melahirkan musuh yang benar-benar mampu mencabar Ustaz Qodrat, watak tersebut perlu lahir daripada realiti masyarakat sendiri.

"Kami membina Darso daripada kehidupan sebenar. Terlalu ramai yang dipinggirkan, terlalu banyak ketidakadilan berlaku sehingga ada manusia yang akhirnya kehilangan harapan. Di situlah Badut Gendong menjadi cerminan kepada masyarakat hari ini," katanya. Mewakili penerbit Malaysia, Datuk Ahmad Izham Omar, menyifatkan filem ini sebagai sebuah karya yang mempunyai nilai produksi luar biasa dan berjaya menggabungkan elemen mistik, aksi dan emosi dalam sebuah penceritaan yang cukup berkesan. Beliau percaya Badut Gendong mempunyai potensi besar untuk menarik perhatian penonton di pelbagai negara.

Watak Darso dihidupkan dengan penuh intensiti oleh Marthino Lio, bergandingan bersama Clara Bernadeth, Derby Romero, Dayinta Melira, Barry Prima dan Jose Rizal Manua. Gabungan lakonan mereka memperkukuhkan dunia yang dibina Charles Gozali, sebuah dunia yang bukan sekadar menyeramkan, tetapi juga meresahkan kerana terlalu dekat dengan realiti kehidupan. Apa yang membezakan Badut Gendong daripada kebanyakan filem seram serantau ialah keberaniannya menggunakan budaya badut gendong dan ritual tradisional Indonesia sebagai latar kepada kisah yang lebih besar tentang kemanusiaan.

Badut Gendong bukan sekadar kisah sumpahan. Bukan sekadar kisah makhluk halus. Tetapi kisah tentang manusia yang dihancurkan oleh sistem, kemiskinan dan ketidakpedulian masyarakat sehingga akhirnya memilih jalan yang paling gelap. Dalam dunia yang semakin dipenuhi filem seram berasaskan kejutan dan penampakan, Badut Gendong memilih pendekatan yang lebih mendalam. Ia mengingatkan bahawa kadangkala hantu bukanlah perkara yang paling menakutkan.

Sebaliknya, yang paling menggerunkan ialah apabila manusia kehilangan harapan, lalu membiarkan luka mengambil alih seluruh hidup mereka. Dan mungkin, itulah sebabnya Badut Gendong bukan sekadar sebuah filem seram. Ia adalah cerminan kepada sisi paling gelap dalam diri manusia yang sering kita abaikan.

Comments
* The email will not be published on the website.