oleh: zizi hashim
16 Jan
16Jan

Gelombang apresiasi penonton terus menyala buat Papa Zola The Movie, sebuah karya animasi tempatan yang kini mencatat sejarah baharu apabila kutipannya mencapai RM59.8 juta di Malaysia, sekaligus mengangkat jumlah keseluruhan RM60 juta untuk tayangan Malaysia dan Brunei. Kejayaan monumental ini menyerlahkan keberanian penggiat animasi tempatan yang semakin matang, semakin yakin mengembangkan imaginasi dengan mutu produksi bertaraf global.

Tahun 2025 turut menjadi saksi kepada lonjakan karya animasi apabila dua judul besar Papa Zola The Movie dan Ejen Ali The Movie 2 mengumpulkan kutipan gabungan RM118.2 juta, masing-masing dengan pencapaian RM59.8 juta dan RM58.5 juta. Rekod sebegini mengukuhkan kedudukan animasi Malaysia sebagai nadi penting yang menyuburkan industri perfileman tempatan.

Sejak hari pertama tayangan, Papa Zola berjaya merangkul tumpuan penonton daripada berbagai peringkat usia. Keakraban ceritanya, sisi humor yang bersahaja, serta nilai kekeluargaan yang dirawat dengan lembut menjadikan pengalaman menonton terasa intim seakan mengimbas kembali memori masa kecil yang polos dan penuh harapan. Lebih jauh daripada hiburan ringan, filem ini membawa sentuhan moral dan identiti tempatan yang dirajut dengan teliti. Kejujuran naskhahnya, disokong produksi yang kemas, merupakan faktor utama yang mendorong filem ini meluncur laju di carta kutipan.

Kejayaan RM60 juta tidak sekadar angka, tetapi gema inspirasi kepada para pembikin filem untuk terus menghasilkan karya yang berani, berdimensi luas dan mampu bersaing dalam lanskap serantau. Kisahnya bertumpu pada Papa Zola, seorang ayah yang menghimpun seluruh dayanya demi kesejahteraan keluarga kecilnya. Satu pertemuan tidak terduga dengan rakan lama dari organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency) membuka kembali lembaran silamnya. Ketegangan memuncak apabila Pipi, anak kesayangannya, diculik makhluk asing. Bersama Mama Zila, Papa Zola terpaksa melangkah ke medan yang penuh risiko untuk menyelamatkan Pipi dan memastikan dunia tetap terlindung daripada ancaman misteri tersebut.

Nafas kejayaan filem ini kini merentasi sempadan. Papa Zola The Movie sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei, sebelum mengembara ke layar Indonesia bermula 23 Januari 2026. Set pengedaran antarabangsa turut meluaskan perjalanan filem ini ke India, Vietnam, serta kawasan Timur Tengah merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Turki pada April 2026.

Kejayaan ini memberi isyarat bahawa naratif tempatan, apabila dipersembahkan dengan keberanian dan kehalusan teknikal, mampu bergerak melintasi budaya dan bahasa. Papa Zola bukan hanya hadir sebagai animasi keluarga, ia muncul sebagai manifestasi harapan bahawa karya Malaysia mampu berdiri setara dengan yang terbaik di rantau ini.

Comments
* The email will not be published on the website.