oleh: zizi hashim
28 May
28May

Landskap filem fantasi aksi tahun ini seperti kembali menemukan nadinya apabila Masters Of The Universe akhirnya memperlihatkan poster IMAX rasmi yang selama ini dinanti peminat seluruh dunia. Selepas lebih empat dekad nama He-Man hidup dalam imaginasi generasi yang membesar bersama kartun, komik dan figura aksi ikonik Mattel, naskhah live-action berskala epik itu kini bersedia membuka semula gerbang Eternia ke layar perak.

Aura yang mengiringi kemunculan poster tersebut terasa seperti satu panggilan lama yang akhirnya disahut semula. Sosok Prince Adam berdiri megah dengan Sword of Power di tangan, seolah membawa kembali denyut keberanian yang pernah membentuk zaman kanak-kanak ramai peminat budaya pop era 80-an dan 90-an. Namun kali ini, segalanya hadir dengan tona lebih matang, lebih megah dan jauh lebih sinematik.

Diterbitkan oleh Amazon MGM Studios bersama Mattel Studios, filem ini bakal ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 4 Jun 2026 menerusi Sony Pictures International Releasing. Naskhah arahan Travis Knight itu menjadi antara projek fantasi sci-fi paling besar tahun ini, selain dilihat sebagai percubaan serius menghidupkan semula dunia Masters Of The Universe untuk generasi baharu.

Dalam filem ini, Nicholas Galitzine memegang watak Prince Adam yang telah terpisah dari dunia Eternia selama 15 tahun sebelum Sword of Power membawanya pulang ke tanah asal yang kini musnah di bawah pemerintahan kejam Skeletor lakonan Jared Leto. Demi menyelamatkan keluarga dan seluruh dunia yang pernah menjadi rumahnya, Adam perlu menerima takdir sebenar dirinya sebagai He-Man: manusia paling berkuasa di alam semesta.

Turut membintangi filem ini ialah Camila Mendes sebagai Teela dan Idris Elba sebagai Duncan atau Man-At-Arms, selain Alison Brie, Morena Baccarin, James Purefoy, Charlotte Riley dan Jóhannes Haukur Jóhannesson. Kehadiran Jared Leto sebagai Skeletor pula memberi lapisan baharu kepada antagonis klasik tersebut dengan aura yang lebih teatrikal, sinis dan mengganggu.

Apa yang membuatkan versi kali ini terasa lebih istimewa ialah bagaimana Travis Knight cuba mengimbangi elemen nostalgia dan pembaharuan moden dalam satu dunia yang tetap menghormati akar asalnya. Knight sendiri mengakui beliau membesar bersama figura He-Man dan kartun Masters Of The Universe, menjadikan projek ini seperti sebuah mimpi zaman kecil yang akhirnya direalisasikan di layar besar.

Lebih menarik, produksi filem ini turut mengambil inspirasi daripada pelbagai versi Masters Of The Universe terdahulu termasuk siri animasi Filmation tahun 1983, filem live-action kultus 1987 lakonan Dolph Lundgren hinggalah siri animasi moden Netflix. Bahkan, filem ini juga memuatkan elemen humor dan self-awareness yang menjadikan dunianya terasa lebih segar tanpa kehilangan identiti asal.

Transformasi Nicholas Galitzine menjadi He-Man juga menjadi antara perhatian utama peminat. Pelakon tersebut menjalani latihan fizikal intensif selama beberapa bulan demi membentuk tubuh yang benar-benar menyerupai ikon legenda tersebut. Menurut Travis Knight, Galitzine bukan sekadar membawa fizikal seorang He-Man, tetapi juga sisi empati dan hati besar yang menjadi kekuatan sebenar karakter itu.

Selain visual dan aksi, muzik filem ini turut diberikan perhatian luar biasa apabila komposer terkenal Daniel Pemberton dipilih menghasilkan skor rasmi. Lebih mengujakan, gitaris legenda Queen, Brian May turut terlibat menyumbangkan permainan gitarnya dalam beberapa momen penting filem ini, termasuk babak transformasi pertama He-Man.

Dalam dunia yang semakin sarat dengan reboot dan adaptasi nostalgia, Masters Of The Universe tampaknya hadir bukan sekadar mahu mengulang kenangan lama. Filem ini cuba menghidupkan kembali semangat keberanian, pengharapan dan kuasa untuk percaya pada diri sendiri: sesuatu yang sejak dahulu menjadi roh sebenar He-Man. Dan ketika poster IMAX rasmi akhirnya dilepaskan kepada umum, satu perkara menjadi semakin jelas, pemburuan kuasa Grayskull kini benar-benar sudah bermula.

Comments
* The email will not be published on the website.