Gemuruh sokongan penonton terus memayungi perjalanan The Voice of Hind Rajab, mencatatkan 39,000 tontonan setakat ini di 51 lokasi seluruh Malaysia dan Brunei. Satu angka yang menghadirkan rasa takjub serta keyakinan baharu terhadap kekuatan naskhah bertunjangkan kemanusiaan.
Khabar gembira ini dikongsikan Zainal Rashid Ahmad (ZRA), yang menyuarakan keterujaannya terhadap gelombang solidariti rakyat. Ucapnya, “Terima kasih rakyat Malaysia dan semua yang hadir pada hari ke-9, 10, dan 11 tayangan. Kita akan naik ke tangga ketiga, negara yang paling banyak penonton bagi The Voice of Hind Rajab.”
Semangat penonton bukan sahaja konsisten, malah mencipta rekod kecil yang mempesonakan. ZRA menyambung, “Mungkin hari ini kita mampu potong Belgium dengan sokongan anda. Kejutan paling besar, kita terima 3,000 tontonan pada hari Jumaat, 7,400 pada hari Sabtu dan lebih 5,000 orang pada Ahad semalam.”
Ungkapan ini menggambarkan perubahan arus persepsi bahawa filem berasaskan tragedi sejarah Palestin mampu berdiri sebaris karya arus perdana. ZRA menekankan,
“Kita tak pernah menjangkakan sebuah filem tentang perjuangan kemanusiaan boleh berada dalam kumpulan kutipan box office Malaysia. Ini membuktikan negara kita mempunyai pasaran berpotensi untuk karya seumpama ini.”


Momentum meningkat saban hari, dengan anggaran mampu melangkaui 80,000 penonton menjelang minggu mendatang, seiring kesedaran awam yang semakin membesar. Karya ini merupakan usahasama Mime Films dan Tanit Films, dengan Primeworks Studios sebagai pengedar serta rakan pemasaran rasmi. Arahan pengarah Tunisia tersohor, Kaouther Ben Hania, disempurnakan oleh lakonan penuh jiwa Saja Kilani, Motaz Malhees, Amer Hlehel dan Clara Khoury, menjadikan kisah Hind Rajab terakam dengan kekuatan dokumentasi dan nilai sejarah.
Filem ini hadir sebagai rekod visual tragedi seorang kanak-kanak Palestin yang terperangkap dalam kenderaan pada 29 Januari 2024, ketika usaha sukarelawan cuba menyelaras bantuan kecemasan tetapi tidak sempat menyelamatkannya. Kisah ini terus hidup melalui layar, merangkul jiwa penonton dengan kesedihan mendalam dan keteguhan harapan.

Sebagai tanda solidariti, Media Prima menyumbangkan RM1.00 bagi setiap tiket terjual ke Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima menjadikan setiap tontonan bukan hanya pengalaman, tetapi juga manifestasi empati.