oleh: zizi hashim
09 Jan
09Jan

Gemuruh dunia perfileman Malaysia kembali bergoncang apabila MIKAEL diperkenalkan secara rasmi sebagai karya yang menggabungkan tiga elemen yang jarang ditemukan dalam satu naskhah iaitu aksi bertenaga, komedi gelap yang sinis, serta mitologi jin Nusantara yang selama ini hanya berkeliaran dalam cerita lisan dan dongeng folklore. Pendedahan pandang pertama ini membuka sebuah lorong baharu dalam sinema tempatan, menghadirkan watak seorang pegawai polis yang diuji takdir sebagai pemburu jin di tengah dunia moden yang semakin sarat kekacauan ghaib.

Sutradara Zahir Omar bersama penulis June Tan mengemudi produksi ini dengan visi yang jelas, disokong pula oleh tenaga besar ACT 2 Pictures sebagai penerbit utama. Keghairahan itu turut diperkuat oleh kolaborasi strategik Golden Screen Cinemas, Astro Shaw, Katalyst Connections dan SunStrong Entertainment, serta sokongan rasmi daripada Kementerian Komunikasi dan Digital berserta FINAS. Gabungan organisasi ini menjanjikan sebuah projek berskala besar yang mahu mengangkat naratif supernatural tempatan ke tahap lebih signifikan, dengan Alicafé mengisi ruang sebagai Penaja Minuman Rasmi.

Kepercayaan masyarakat terhadap kewujudan jin sudah lama meresap dalam budaya Nusantara, namun paparan mereka di layar perak sering terbatas dalam formula seram semata-mata. MIKAEL memilih pendekatan yang lebih luas: mencipta semesta di mana jin menjadi elemen kosmik yang memiliki agenda tersendiri, bergerak selari dengan dunia manusia yang semakin renggang keseimbangannya. Struktur ini melahirkan pengalaman tontonan yang penuh hentakan adrenalin, disulami humor yang tidak berselindung, dan dihiasi pertembungan kuasa ghaib yang menuntut keberanian.

Penceritaan filem ini bermula dengan satu kejadian ngeri ketika majlis perkahwinan di sebuah pekan kecil. Pertumpahan darah itu menyeret Mikael ke penyiasatan yang lebih suram daripada yang dijangka. Penemuan nubuatan kuno tentang kebangkitan Raja Jin membawa erti bahawa tujuh pelindung yang menjaga perbatasan dua alam sedang rebah satu persatu. Bagi menunda kemusnahan, Mikael perlu menemukan secebis artifak purba yang diyakini mampu menghalang kehadiran Raja Jin ke dimensi manusia.

Tugasnya bukanlah perjalanan seorang diri. Takdir menemukan dia dengan Winston, seorang penjual ramuan hitam yang eksentrik namun memiliki ilmu aneh yang berguna; Sarjan Kok, anggota polis muda yang tampak canggung tetapi berjiwa teguh; serta Aisyah, pencuri artefak ghaib yang bergerak secepat bayang-bayang. Dinamika kumpulan ini menambah warna kepada misi yang menuntut ketangkasan fizikal dan kecerdasan jiwa, sementara musuh yang mereka hadapi jauh melampaui sekadar antagonis biasa.

Watak utama yang diperankan Datuk Remy Ishak memikul karakter Mikael dengan aura wira yang kompleks, penuh kecekalan dan renungan batin. Zahir Omar, dalam penjelasan visinya, menyifatkan filem ini sebagai dunia di mana manusia dan jin berkongsi ruang yang tidak pernah stabil, disulam unsur kepercayaan tempatan, amalan ilmu hitam dan humor pantas yang menjadi identiti karya. Beliau menegaskan bahawa MIKAEL direka untuk memberi pengalaman tontonan yang mengujakan serta memperkenalkan figura wira yang mampu menghantar makhluk ghaib kembali ke alam asal.

Rangkaian pelakon lain yang menghidupkan dunia ini hadir dengan karakter yang kaya lapisan: Norreen Iman sebagai Winston yang eksentrik, Fabian Loo sebagai Sarjan Kok yang bersemangat, Alicia Amin sebagai Aisyah yang lincah, Ahirine Ahirudin sebagai Khatijah atau Atnak yang berwajah misteri, Megat Sharizal sebagai Penghulu Qabil yang berkarisma, Anas Ridzuan sebagai Dr Zaid si penganalisis ghaib, serta Amir Nafis sebagai Torsim, entiti yang memberi dimensi tambahan kepada konflik.

Pengumuman mengenai tarikh tayangan dan kandungan promosi seterusnya bakal menyusul, namun pandang pertama ini sudah pun meletakkan MIKAEL dalam radar peminat aksi-supernatural yang mengimpikan kelainan. Dunia yang dibangunkan filem ini terasa luas, bertekstur dan sarat persoalan metafizik, menjadikannya antara judul tempatan yang paling dinanti untuk tahun ini.

Comments
* The email will not be published on the website.