Kadang, cinta tak memilih jalan yang mudah. Ia menyeberang batas, menembusi prasangka, lalu berselisih dengan luka yang belum sembuh. Cinta yang muncul tanpa isyarat, bertunas di tanah asing, menyilang sempadan budaya dan keyakinan. Di celah perbezaan, ia mencari makna; di celah luka, ia menagih pengertian. Itulah yang terjadi dalam Isan Nikah, sebuah filem komedi berjiwa Islamik dari Thailand yang bakal menemui penonton Malaysia mulai 17 Julai 2025. Sebuah kisah jenaka yang menyimpan harapan, trauma dan keberanian dalam satu naskhah.
Naskhah terbaharu hasil sulaman tangan kreatif Kriangkrai Monwichit, sutradara yang sebelum ini mencuri perhatian menerusi filem seram Islamik Khong Khaek, kali ini melangkah ke wilayah yang lebih manis dan menggelikan hati, tetapi tetap mengakar pada persoalan besar: bagaimana cinta mampu melampaui agama, budaya dan sejarah luka? Ia adalah gambaran tentang keberanian dua hati untuk memilih satu jalan, meski jalan itu penuh onak dan curiga.
Filem ini diperkuatkan oleh barisan pelakon terkenal Thailand seperti Nattawut Sanyabut (Bak Kai), Kamonporn Sangwatcharasoontorn (Sophia), Chatchai Chinnasri, Adull Borsu, dan ramai lagi, menjadikan naskhah ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga kaya dengan lapisan emosi dan identiti budaya. Bukan kisah cinta biasa tetapi tentang usaha menjadi manusia yang lebih terbuka, tentang melepaskan beban yang bukan kita yang ciptakan, dan tentang keberanian dua insan memilih masa depan yang tidak semua orang sanggup tempuh.
Isan Nikah diterbitkan oleh Monwichit Entertainment, dan diedarkan untuk tayangan Malaysia oleh Empire Film Solution Sdn. Bhd. Menurut Pengarah Urusan, Mohamad Zubir Badar Shair, naskhah ini dipilih kerana keberaniannya menampilkan sisi lain filem Thailand. Jauh dari genre seram yang biasa ditonton, sebaliknya hadir dengan rasa ringan yang mencuit, namun tetap menggugah jiwa. “Filem ini hadir tepat pada waktunya. Ketika dunia sedang haus akan cerita-cerita ringan yang menyembuhkan, namun masih menyentuh perkara yang besar,” ujar Mohamad Zubir Badar Shair, Pengarah Urusan Empire Film Solution.
Mengisahkan Sophia, gadis Muslim dari Pattani yang ingin berkahwin dengan Bak Kai, pemuda Buddha dari daerah Isan, Thailand. Naskhah ini membuka jendela ke dalam dunia yang jarang diperlihatkan di layar utama. Demi cinta, Bak Kai rela memeluk Islam. Namun, perkahwinan mereka digugat oleh Bang Lee, abang Sophia yang terperangkap dalam trauma lama. Ditinggalkan ibu yang dulu memilih lelaki dari Isan dan membiarkan luka menjadi nanah dalam jiwa.
Bang Lee, watak dilakonkan oleh influencer popular Amadkuciasree Doloh, menjadi penggerak utama komedi dalam filem ini, dengan usaha lucu dan kadang-kadang keterlaluan untuk menggagalkan perkahwinan adiknya. Tapi di sebalik kelucuan itu, tersembunyi rasa takut kehilangan, takut sejarah berulang, dan takut menerima sesuatu yang tidak dikenali.
Filem ini merentasi dimensi hiburan dan keinsafan. Penonton diajak menyelami budaya Selatan Thailand — melalui bahasa tempatan, makanan tradisi, dan cara hidup masyarakat Muslim yang sering dipinggirkan dalam naratif arus perdana. Kriangkrai Monwichit memilih untuk tidak hanya bercerita tentang cinta, tetapi juga tentang kepercayaan, penerimaan, dan luka yang diwariskan dalam keluarga.
“Lama kita didedahkan dengan filem Thai yang seram atau penuh aksi. Tapi filem seperti Isan Nikah memperlihatkan sisi lembut, lucu dan kemanusiaan masyarakat Muslim di Selatan Thai yang jarang sekali diangkat,” jelas Zubir. Keunikan filem ini terletak pada keberaniannya menyentuh topik sensitif, perkahwinan antara agama, perbezaan budaya, dan warisan trauma keluarga, tetapi disampaikan dengan tawa dan ringan yang membalut luka.
Bukan naskhah yang memaksa kita memilih sisi, sebaliknya mengajak kita memahami bahawa manusia, dalam apa jua agama atau budaya, hanya ingin dicintai dan diterima. Dengan gabungan nilai komedi, kemasyarakatan, serta paparan budaya yang jarang ditonjolkan, Isan Nikah bukan sahaja relevan, malah terasa sangat dekat dengan masyarakat Malaysia yang turut berkongsi sejarah dan denyut yang serupa.
Bersedialah untuk ketawa, mungkin menangis sedikit, dan akhirnya pulang dengan hati yang lebih lunak terhadap perbezaan. Kerana cinta, jika jujur, akan selalu mencari jalan, meski terhalang oleh sejarah, agama mahupun sempadan. Tontonlah Isan Nikah mulai 17 Julai 2025 di pawagam seluruh Malaysia, sebuah komedi yang melucukan, sekaligus mengetuk pintu hati.