Ada ketikanya, cinta tidak benar-benar berakhir. Ia sekadar berubah menjadi kenangan yang terus berjalan bersama waktu. Begitulah perjalanan Dilan, watak yang selama ini hidup dalam ingatan jutaan peminat, kini kembali dengan langkah yang lebih matang, namun masih memikul sisa-sisa cerita yang belum sepenuhnya selesai. Selepas mengundang perdebatan dalam kalangan peminat tentang siapa yang lebih layak mengisi ruang di hati Dilan: Milea atau Ancika?
Falcon Pictures akhirnya melancarkan poster dan treler rasmi Dilan ITB 1997, sekaligus membuka tirai kepada fasa baharu kehidupan watak ikonik itu. Treler berdurasi lebih dua minit membawa penonton meninggalkan zaman persekolahan yang penuh kenakalan dan kata-kata puitis. Kini, Dilan melangkah ke kampus Institut Teknologi Bandung (ITB), memasuki alam universiti sambil cuba memahami kehidupan daripada sudut yang lebih dewasa.


Dalam perjalanan itulah muncul Ancika, lakonan Niken Anjani, seorang wanita yang mesra, spontan dan sederhana. Kehadirannya perlahan-lahan menghidupkan semula debar dalam hati Dilan, menghadirkan harapan bahawa mungkin masih ada ruang untuk memulakan sesuatu yang baharu. Namun, kisah cinta Dilan tidak pernah semudah itu. Bayang-bayang Milea, yang kembali dilakonkan oleh Raline Shah, masih menjadi sebahagian daripada perjalanan emosinya. Masa lalu terus hadir sebagai kenangan yang sukar dilepaskan, menjadikan setiap langkah ke hadapan terasa lebih rumit.
Menurut penerbit Frederica, treler tersebut bukan sekadar memperlihatkan kisah cinta baharu, tetapi mengajak penonton menyelami proses pendewasaan Dilan. "Kami mahu penonton bukan sahaja melihat kisah cinta Dilan, tetapi turut merasai bagaimana dia membesar. Daripada seorang remaja yang bersahaja kepada seseorang yang mula memahami erti kehilangan, kenangan dan peluang untuk membuka hati semula," katanya.


Pengarah Fajar Bustomi pula menegaskan bahawa filem ini masih mengekalkan kehangatan yang menjadi identiti dunia Dilan. Menurutnya, Dilan tetap mampu membuat penonton tersenyum, namun kali ini emosi yang dibawa terasa lebih hangat dan dekat dengan realiti kehidupan. Momen-momen kecil yang sederhana menjadi nadi kepada penceritaan, menjadikan kisah ini lebih menyentuh hati.
Bagi Nazril Irham atau Ariel NOAH, yang sekali lagi menghidupkan watak Dilan, perubahan terbesar watak itu bukan terletak pada usianya, tetapi cara dia melihat kehidupan. Dilan kini mula memikirkan masa depan, namun masih mengekalkan sisi puitis dan keikhlasan yang selama ini membuatkan ramai jatuh hati kepadanya. Pertemuannya dengan Ancika membuka ruang kepada perasaan baharu, walaupun perjalanan tersebut tidak akan berlangsung tanpa cabaran.
Sementara itu, Niken Anjani menyifatkan Ancika sebagai seorang wanita yang sederhana, jujur dan tidak gemar berdrama. Menurutnya, kesederhanaan itulah yang membuatkan Ancika mampu menghadirkan rasa tenang dalam hidup Dilan, sekaligus menjadikan watak tersebut begitu menggemaskan untuk diterokai. Poster rasmi yang turut dilancarkan memperlihatkan suasana romantik yang hangat, melambangkan langkah baharu Dilan bersama Ancika, namun dalam masa sama memberi isyarat bahawa kisah silam bersama Milea belum benar-benar hilang daripada hatinya.
Dilan ITB 1997 dijadualkan menemui penonton di pawagam Malaysia bermula 23 Julai 2026. Satu perkara mungkin sudah berubah ialah Dilan kini lebih dewasa. Namun satu perkara lagi kekal sama. Cara dia membuat penonton kembali percaya bahawa cinta, walau sesukar mana pun jalannya, sentiasa punya ruang untuk menemukan babak yang baharu.