oleh: zizi hashim
13 Jun
13Jun

Keberanian dalam sinema selalunya diukur melalui sejauh mana seseorang pembikin filem sanggup mencabar batas yang pernah wujud sebelumnya. Ada yang memilih jalan selamat, ada pula yang memilih untuk mempertaruhkan segala-galanya demi mencipta sesuatu yang belum pernah dilakukan. Itulah langkah yang diambil oleh pengarah tersohor, Adrian Teh, menerusi filem aksi terbaharunya, Chelot. Sebelum sempat menemui penonton di pawagam, filem tersebut sudah pun mengukir namanya dalam sejarah apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records bagi kategori Babak Aksi ‘Single Take’ Terpanjang Dalam Filem.

Pencapaian itu bukan sesuatu yang datang dengan mudah. Babak berkenaan dirakam menggunakan hanya satu kamera tanpa sebarang suntingan sepanjang 5 minit 19 saat, merentasi jarak sejauh 1.9 kilometer. Ketepatan masa, koordinasi pelakon, pergerakan kamera dan ratusan elemen teknikal lain perlu berjalan sempurna dalam satu rakaman berterusan yang tidak memberi ruang untuk kesilapan.

Di sebalik rakaman yang kelihatan lancar di layar, tersimpan ratusan jam kerja yang jarang diketahui umum. Pasukan produksi mengambil masa sehingga 150 hari untuk membuat persediaan, disusuli 60 jam raptai sebelum kamera mula merakam. Seramai 300 kru produksi digerakkan bagi menjayakan adegan tersebut, manakala 50 buah kereta prop digunakan untuk memastikan setiap detik berlangsung mengikut perancangan.

Nama Adrian Teh sememangnya cukup sinonim dengan filem-filem aksi berskala besar seperti PASKAL: The Movie dan MALBATT: Misi Bakara. Namun selepas kejayaan MALBATT pada tahun 2022, beliau memilih untuk berehat seketika daripada genre tersebut bagi meneroka bentuk penceritaan yang berbeza.

Kepulangannya menerusi Chelot hadir dengan misi yang lebih besar. Menurut Adrian, hasratnya bukan sekadar kembali menghasilkan filem aksi, tetapi memperkenalkan sesuatu yang benar-benar segar dan belum pernah disaksikan dalam sinema Malaysia. Baginya, rekod yang tercipta ini bukan milik seorang individu, sebaliknya hasil usaha kolektif seluruh pasukan yang bertungkus-lumus menjayakan visi tersebut.

Beliau turut mengakui bahawa proses merancang adegan tanpa suntingan itu memakan masa berbulan-bulan kerana setiap pergerakan perlu dirancang dengan teliti sebelum hari penggambaran. Sokongan daripada Polis Diraja Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut memainkan peranan penting dalam merealisasikan cabaran teknikal yang kompleks itu.

Menambahkan lagi keterujaan peminat, poster teaser rasmi yang menampilkan Beto Kusyairy dan Shukri Yahya telah pun diperkenalkan kepada umum. Kehadiran dua nama besar tersebut memberi bayangan bahawa Chelot bakal tampil dengan kombinasi aksi, intensiti dan penceritaan yang berbeza daripada karya-karya Adrian sebelum ini.

Diterbitkan menerusi kerjasama ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro Shaw, SunStrong Entertainment dan Marvelous Culture & Film, filem ini dilihat sebagai antara naskhah tempatan yang paling dinantikan tahun ini. Walaupun makna sebenar di sebalik tajuk Chelot masih menjadi misteri, Adrian memberi jaminan bahawa segala persoalan bakal terjawab apabila filem itu menemui penonton tidak lama lagi.

Rekod sudah pun tercipta. Kini tumpuan beralih kepada satu persoalan yang lebih besar: mampukah Chelot mengulangi kejayaan itu di pawagam dan mengubah landskap filem aksi tempatan sekali lagi? Sama-sama kita tunggu dan lihat...

Comments
* The email will not be published on the website.