oleh: zizi hashim
06 Aug
06Aug

Gelombang yang pernah dicetuskan Projek: High Council belum berakhir. Selepas meninggalkan impak besar menerusi siri premium pada 2023 dan disusuli filem Kahar: Kapla High Council pada 2024, dunia yang penuh hierarki, kuasa dan konflik itu kini berkembang lebih jauh menerusi KUDRAT 1968, sebuah prekuel yang membawa penonton kembali ke titik paling awal kelahiran sistem yang akhirnya menjadi simbol kepada fenomena High Council.

Lebih istimewaAstro Shaw mencipta sejarah dengan memperkenalkan konsep "Satu Cerita, Dua Format", pendekatan pertama seumpamanya di Malaysia. Sebelum filem ditayangkan di pawagam, penonton terlebih dahulu akan disajikan empat episod siri premium Astro Originals, sekaligus memberi ruang untuk mengenali dunia, watak dan konflik KUDRAT 1968 dengan lebih mendalam sebelum pengalaman sinematik diteruskan di layar lebar.

KUDRAT 1968 mengangkat kisah asal-usul sistem hierarki rahsia yang diwujudkan oleh para pelajar sendiri. Prekuel ini membuka lembaran yang selama ini hanya menjadi misteri dalam francais High Council, memperlihatkan bagaimana sebuah sistem yang dibina atas pengaruh, ketakutan dan kuasa mula bertapak sehingga membentuk legasi yang dikenali hari ini. Selepas pengumuman Mierul Aiman sebagai teraju utama, Astro Shaw kini memperkenalkan lima lagi tonggak penting iaitu Zarif Ghazzi, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith.

Kesemua mereka dipilih menerusi sesi uji bakat bagi menghidupkan generasi pertama dalam dunia KUDRAT 1968 dengan karakter dan tenaga yang tersendiri. Naskhah ini diterajui oleh showrunner Zulaikha Zakaria, yang sebelum ini memainkan peranan penting dalam Projek: High Council dan Projek: EXIT, selain menandakan kemunculan pertama Khairi Asyraff sebagai pengarah bersama di bawah produksi PASAL Productions. Gabungan dua nama ini dijangka membawa nafas baharu kepada francais yang sudah mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Menurut Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif KUDRAT 1968, Raja Jastina Raja Arshad, pemilihan pelakon dan pasukan kreatif dilakukan bagi memastikan dunia KUDRAT 1968 berkembang dengan identiti yang tersendiri. "Hari ini, kami memperkenalkan enam pelakon utama yang akan membawa penonton kembali ke asal-usul High Council. Setiap pelakon yang dipilih menerusi sesi uji bakat ini akan membawa karakter dan tenaga tersendiri untuk menghidupkan generasi pertama dalam dunia KUDRAT 1968."

Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan baharu yang diperkenalkan bukan sekadar strategi pemasaran, tetapi satu evolusi dalam pengalaman menonton. "Empat episod siri premium Astro Originals ini membolehkan kami membina dunia KUDRAT 1968 dengan lebih mendalam, sekali gus memberikan penonton pemahaman yang lebih menyeluruh terhadap watak dan naratif sebelum mereka menyaksikan filem ini di pawagam. Kami melihat pendekatan ini sebagai satu evolusi dalam cara sesebuah cerita dibangunkan, dipersembahkan dan dinikmati oleh penonton."

Diterbitkan oleh Astro Shaw bersama ZAK Capital, Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures dan HM Entertainment, KUDRAT 1968 mengisahkan seorang pelajar yang dipaksa memasuki institusi yang dibina atas nama bapanya. Namun, di sebalik legasi yang diwarisi, dia berdepan dilema sama ada mempertahankan sistem yang telah membentuk dirinya atau menjadi individu yang akan menghancurkannya. Lebih daripada sebuah prekuel, KUDRAT 1968 ialah peluang untuk melihat bagaimana sebuah legenda bermula.

Setiap kuasa pasti mempunyai asal-usul, setiap sistem pasti mempunyai pencetusnya, dan setiap sejarah sentiasa menyimpan kebenaran yang belum pernah diceritakan. Tahun ini, penonton akhirnya bakal menyaksikan bab pertama yang membentuk seluruh dunia High Council.

Comments
* The email will not be published on the website.